Faisal Asyraf
(Dari kiri) Khamid Istakhori, Apolinar Tolentino, Ingrid Liaw dan Irene Xavier di luar pekarangan pejabat Suhakam untuk menyerahkan petisyen.
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja Indonesia menuntut inkuiri awam dilaksanakan selepas secara salah dipenjara dan disebat kerana didakwa tidak mempunyai pas pekerja sah.
Pada April, Sabri Umar ditahan lalu dijatuhi hukuman penjara 11 bulan dan lima sebatan rotan oleh mahkamah sesyen mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Sementara menunggu rayuannya didengar, dia disebat di penjara Tawau, pada 23 Jun.
Mahkamah Tinggi Tawau membebaskan Sabri, pada Julai, selepas peguamnya berjaya membuktikan dia mempunyai pasport Indonesia dan pas pekerja sah daripada majikan, Fu Yee Corporation.
Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Perusahaan Kayu Sabah (STIEU) Ingrid Law, berkata beliau menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), di sini, hari ini, menuntut inkuiri awam dibuat.
“Kami mahukan inkuiri awam diadakan secepat mungkin bagi Sabri kerana kami percaya ini bukan kes terpencil,” katanya.
Sabri tidak hadir pada penyerahan petisyen terbabit kerana menghadiri perkara penting di Sabah.
Petisyen itu, ditandatangani lebih 40 NGO, mendakwa Sabri dibawa di hadapan majistret dalam tempoh 24 jam selepas ditahan dan diruduh secara salah, serta dijatuhi hukuman kerana berada di Malaysia secara haram.
Petisyen berkenaan juga mendakwa rakyat Indonesia itu diserang dan didera ketika berada dalam tahanan polis dan secara salah dipenjara selama 94 hari, bermula 19 Apr hingga 22 Jul.
Kandungan petisyen turut mendakwa Sabri pada mulannya disoal siasat polis selepas majikannya memfailkan laporan terhadapnya atas tuduhan kesalahan seksual.
Sabri bagaimanapun menafikan tuduhan terbabit dengan petisyen mendakwa polis secara paksa menyuruhnya mengakui kesalahan itu ketika siasatan. Namun, dia tidak dikenakan tuduhan bagi kesalahan yang dikatakan itu.
Pihak lain yang hadir ketika menyerahkan petisyen itu adalah Serikat Buruh Kerakyatan Indonesia (Serbuk) Khamid Istakhori, wakil serantau Pekerja Bangunan dan Kayu Antarabangsa, Apolinar Tolentino dan pengerusi bersama Labour Law Reform, Irene Xavier.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan