Malaysiakini
Ini selepas dia dilaporkan menerima komen kebencian bertubi-tubi di akaunnya yang diikuti ramai.
Polis berkata dia dipercayai cuba membunuh diri sebelum dikejarkan ke hospital sekitar jam 11.45 malam kelmarin (6 Ogos).
“Mangsa telah dibawa oleh keluarganya ke hospital dalam keadaan masih bernafas dan meninggal dalam perjalanan," maklum Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya pada satu kenyataan hari ini.
"Hasil siasatan awal dimaklumkan bahawa si mati pernah mengalami tekanan perasaan dan mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya.
"Pemeriksaan tempat kejadian dan fizikal si mati telah dibuat, tiada kesan berlakunya unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).
"Post mortem telah dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya," kata kenyataan itu lagi.
Polis berkata setakat ini tiada laporan yang dibuat oleh si mati atas dakwaan menjadi mangsa gangguan buli siber.
Terdahulu media melaporkan ibu kepada tiga anak, Shashikala Nadarajah, 44, itu "dibuli secara siber" berkaitan penampilan dan koleksi beg tangannya, di akaun media sosial.
Beberapa pengguna TikTok turut menyalahkannya kerana diganggu secara seksual, melalui komen pada video yang dia siarkan mengenai perkara itu.
Menurut seorang lagi pemilik akaun TikTok yang popular Rose Veronica, anak-anak Shashikala memberitahunya ibu mereka tidak boleh bertolak ansur dengan komen negatif di TikToknya, lapor Sinar Daily.
Shashikala mempunyai lebih 30,000 pengikut di TikTok dan dia sering berkongsi pandangannya tentang pelbagai topik seperti persekolahan di rumah, gangguan seksual dan cara mengekalkan penjagaan beg tangan mewah.
Videonya diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Tamil.
Video terakhirnya tiga hari lalu, mengenai dia memulakan persekolahan di rumah untuk tiga anak perempuannya menggunakan sukatan pelajaran Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE).
Ucapan takziah memenuhi ruangan komen pada video Shashikala, dengan ramai yang menasihati mereka yang tidak dapat menangani komen negatif supaya menjauhi media sosial.
"Hatiku remuk dengan berita itu. Kami fikir anda seorang yang sangat kuat dan berani.
"Damailah engkau di sana. Saya kehilangan kata-kata. Sangat sedih," kata seorang pengguna.
Sebab seseorang membunuh diri adalah rumit dan isu kesihatan mental tidak semestinya membawa kepada bunuh diri.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap bunuh diri sebagai isu kesihatan awam tetapi mengatakan ia boleh dicegah dengan campur tangan yang betul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan