Malaysiakini
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Lokman Noor Adam melakukan penghinaan terhadap mahkamah semasa perbicaraan rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah menerima permohonan maaf tanpa syarat bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu petang ini.
Hakim kemudiannya mengeluarkan amaran terakhir agar Lokman tidak mengulangi perbuatan menghina itu.
Hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan menghina, selepas tarikh 3 Ogos sebelum ini dikosongkan kerana timbalan pendakwa raya Izalina Abdullah dijangkiti Covid-19.
Pada 30 Jun lalu, Lokman telah diberikan notis tunjuk sebab oleh Sequerah berhubung tindakannya menghalang penjawat awam dan mendakwa sistem perundangan negara tidak adil semasa Zahid.
Sequerah membuat keputusan bersalah mengikut Perintah 52 Kaedah 2A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
"Mahkamah mengambil kira semua keadaan, kita mendapati Lokman menghina mahkamah berdasarkan penjelasan dibuat (oleh Lokman).
"Isu yang timbul adalah perkara serius. Lokman sudah memohon maaf kepada mahkamah. Ini amaran terakhir dan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Lokman," katanya.
Sebelum itu, semasa prosiding mahkamah terbuka, dan ketika di kandang saksi, ahli politik itu membuat permohonan maaf.
“Saya minta maaf kerana saya tidak faham undang-undang. Saya memohon maaf tanpa syarat kepada mahkamah dan semua pihak dengan sesuci hati.
"Saya berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi. Saya akan patuhi peraturan ditetapkan jika saya masuk mahkamah pada masa lain," kata Lokman.
Lokman diwakili peguam, K Balaguru dan Singara Velan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan