"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri KDN: PAS nak suntik semangat perang?

Malaysiakini

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memandang serius terhadap perarakan menggunakan “replika bersenjata tajam” melibatkan PAS di Setiu, Terengganu pada 17 Februari.

Katanya, perarakan itu menimbulkan kegusaran awam, apatah lagi ketika suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan pilihan raya negeri semakin memuncak.

“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (kaum, agama dan raja) yang masih belum reda sejak pilihan raya umum ke-15 lalu. 

“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan,” katanya.

Semalam, media sosial kecoh apabila gambar perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) dengan imej pahlawan bersenjata tersebar di sosial media.

Berdepan kritikan hebat, pemimpin-pemimpin PAS mempertahankan Himpit dengan menyamakannya dengan acara cosplay, perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Pahlawan serta persembahan opera.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Saifuddin berkata apa jua tindakan yang meluahkan semangat dengan diselangi dengan simbol ketenteraan amatlah tidak wajar.

“Insiden ini kemudian disiar dalam bentuk klip video dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan. 

“Ini mengundang pertanyaan adakah perarakan ini bermaksud menyuntik semangat perang?” soalnya yang mengawal selia pasukan polis.

Saifuddin juga memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru-hara. 

“Tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: