"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penghambaan zaman moden: Suri rumah jalani hukuman penjara 10 tahun hari ini

Awani

PUTRAJAYA: Seorang suri rumah akan mula menjalani hukuman penjara 10 tahun bermula hari ini, selepas gagal dalam rayuan terakhir mengenepikan sabitan ke atas kesalahan pemerdagangan seorang wanita Indonesia dan mengekpoitasi wanita itu untuk bekerja secara paksa.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M.Komathy, menolak rayuan Zaimatulhakma Abdul Hamid terhadap sabitan dan hukuman penjara yang telah dikenakan ke atasnya.

Ketika membuat keputusan itu, Hakim Hadhariah berkata telah dibuktikan bahawa Zaidatulhakma telah mengeksploitasi Supiyah untuk bekerja secara paksa dan dalam erti kata lain, ia merupakan satu bentuk penghambaan zaman moden.

Beliau berkata mahkamah mengekalkan hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen ke atas Zaimatulhakma dan menolak permohonan pendakwaan untuk meningkatkan tempoh hukuman penjara.

Mahkamah Rayuan kemudiannya mengeluaran waran komital ke atas Zaimatulhakma, 49, untuk mula dipenjara hari ini. Ibu kepada dua orang anak itu, sebelum ini telah dijamin RM16,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.

Pada 3 Jun 2020, Mahkamah Sesyen telah mendapati Zaimatulhakma bersalah atas melakukan kesalahan di sebuah rumah di Taman Meru Mulia, Daerah Klang, Selangor antara bulan Mac 2009 dan 27 April 2019.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan diarahkan untuk membayar pampasan RM50,000 kepada mangsa.

Rayuan wanita itu di Mahkamah Tinggi telah ditolak pada 21 Okt 2021, sebelum mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Hadhariah berkata seseorang itu, perlu melayan pembantu rumah mereka sebagai manusia. Dalam kes ini, mangsa mempunyai niat baik untuk menjaga anak perayu, tetapi sebaliknya dia telah dipukul dan disimbah air panas.

Beliau berkata mangsa juga telah tidak dibenarkan untuk pulang dan sepanjang 10 tahun mangsa berada di Malaysia, dia hanya dibayar sejumlah RM6,000.

Semasa perbicaraan mangsa memberikan keterangan bahawa Zaimatulhakma mengajinya sebagai seorang pembantu rumah. Mangsa menyatakan dia menjaga anak majikannya yang tidak boleh bercakap atau berjalan, dan juga membuat kerja-kerja rumah.

Terdahulu, Peguam K.A.Ramu dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan berkata tiada bukti bahawa anak guamnya memperdagangkan mangsa untuk tujuan eksploitasi, dengan melakukan kerja secara paksa dan bentuk paksaan lain.

Beliau berkata Supiyah telah dibawa masuk ke negara ini oleh ejen dikenali sebagai Pak Nawawi dan dia (Supiyah) bekerja dengan seorang majikan berbangsa Cina, sebelum melarikan diri.

Ramu berkata Pak Nawawi yang melakukan pemerdagangan dan bukan Zaimatulhakma, dan menambah bahawa anak guamnya tidak sepatutnya dikenakan pertuduhan di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Timbalan Pendakwa Raya Khushairy Ibrahim sebaliknya menyatakan bahawa, maksud pemerdagangan di bawah undang-undang itu adalah luas, dan menambah bahawa mengugut, menggunakan kekerasan dan bentuk paksaan lain, juga termasuk dalam mengeksploitasi.

"Mangsa telah dipemerdagangkan menerusi kerja paksa. Fakta kes mendedahkan bahawa perayu telah memperdagangkan mangsa selama 10 tahun, dan menambah mangsa juga telah dipukul dan melecur akibat air panas.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: