"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Situasi tegang di Kota Lama Baitulmaqdis

AFP
PASUKAN keselamatan Israel berkawal berhampiran umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di jalan berhampiran dengan perkarangan Masjid al-Aqsa. FOTO AFP
PASUKAN keselamatan Israel berkawal berhampiran umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di jalan berhampiran dengan perkarangan Masjid al-Aqsa. FOTO AFP
Baitulmaqdis: Ketegangan di Kota Lama Baitulmaqdis terus memuncak termasuk pada waktu solat Jumaat, semalam.

Ia berlaku ketika perang antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin Hamas di dalam dan sekitar Gaza berlanjutan hampir seminggu.

Lorong yang biasanya sibuk di kawasan kuaters Muslim di kota lama itu hampir lengang.

Apa yang kelihatan hanya anak muda Palestin yang tidak berjaya menembusi pusat pemeriksaan Israel sekali gus menghalang mereka daripada memasuki perkarangan masjid Al-Aqsa.

Serangan rejim zionis di Gaza kini mengorbankan sekurang-kurangnya 1,900 individu.

Daripada jumlah itu, 614 mangsa adalah kanak-kanak, dan ia menyebabkan pemindahan besar-besaran.

Pihak berkuasa Israel sejak itu menafikan kemasukan mereka yang berumur bawah 55 tahun ke Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci untuk umat Islam.

Sekumpulan gadis muda kemudian menjerit kepada pegawai polis yang cuba menghalang mereka.

Lelaki di bawah had umur yang ditetapkan oleh Israel untuk masuk ke perkarangan masjid itu, kemudian berkumpul di jalan utama menuju dari Pintu Damsyik.

Polis menengking lelaki itu, sehingga seorang pegawai yang bercakap dalam Bahasa Arab dengan tegas mengarahkan mereka supaya bersurai.

"Mereka boleh pergi solat di Gaza jika mereka mahu," kata seorang lagi, ketika penghadang logam tinggi didirikan dalam beberapa saat, menghalang sepenuhnya akses ke tapak suci itu.

Pasukan keselamatan Israel dilihat berkawal di jalan raya dengan jari mereka pada senjata api, dan menuntut orang yang lalu-lalang menunjukkan kad pengenalan mereka.

Di kejiranan Palestin di Wadi Joz, beberapa kilometer ke timur kota lama itu, polis menyuraikan kumpulan penduduk dengan meriam air dan gas pemedih mata selepas mereka cuba menunaikan solat di jalan.

Tiada ulasan: