FMT Reporters
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Kuala Selangor memerintahkan dua remaja mencuci tandas 100 jam selepas mengaku salah membakar tandas awam sehingga menyebabkan kematian rakan mereka tahun lalu.
Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman bersifat khidmat masyarakat itu selepas tertuduh membuat pengakuan.
Dua lelaki 16 tahun itu masing-masing turut dikenakan bon berkelakuan baik RM1,000 selama dua tahun serta melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sepanjang tempoh itu.
“Kamu tidak boleh keluar rumah bersendirian bermula 8 malam hingga 6 pagi, kecuali ditemani ibu bapa masing-masing, selain kena hadir bengkel dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menurut Harian Metro.
Mereka didakwa melakukan khianat dengan api dan menyebabkan kebinasaan terhadap tandas awam gelanggang futsal di Jalan Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam Fasa 3 kira-kira 2.47 petang 28 Ogos 2022.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Sementara itu, JKM mengemukakan laporan akhlak dua remaja itu dan dua syor, termasuk berkelakuan baik.
Dua penasihat awam, termasuk seorang guru yang memberi pernyataan dalam galeri mahkamah menegur perbuatan mereka merosakkan harta awam.
Media sebelum ini melaporkan seorang rakan tertuduh maut kerana terperangkap dalam tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3 disebabkan tindakan dua remaja itu bermain api.
Mangsa berusia 16 tahun ditemui rentung selepas kebakaran tandas itu dipadamkan pasukan bomba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan