Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Kereta Proton Saga dinaiki mangsa yang tercampak di dalam longkang di tepi Jalan Durian Daun, di sini, malam tadi. FOTO Ipd Melaka Tengah
Melaka: Seorang lelaki maut sejurus kereta dipandunya terbabas dan terperosok ke dalam longkang besar di Jalan Durian Daun, di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.50 malam tadi.
Menurutnya, mangsa, Tey Shen Hao, 26, yang tidak bekerja maut di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta Proton Saga dari arah bandar Melaka menghala ke Bukit Baru, di sini.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan tercampak masuk di dalam longkang di hadapan Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun.
"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Setakat ini belum ada mana-mana saksi kejadian tampil memberi keterangan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan