NS Ramli
Selepas hampir 30 tahun tidak kembali ke Jenin di Tebing Barat, Dr Radwan Jamal Elatrash masih berharap konflik berterusan di Gaza dapat menemui jalan penyelesaian.
Dia yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuantan, Pahang mengakui perkembangan di Palestin sejak 7 Oktober lalu akan memberi kesan berpanjangan terhadap konflik di Asia Barat.
“Semua masalah ini tidak akan selesai dengan segera kerana Amerika Syarikat (AS) adalah sekutu Israel dan mereka akan melindungi jenayah perang dilakukan Zionis di sana.
“Saya masih mempunyai ahli keluarga di Jenin, mereka dalam keadaan selamat tetapi situasi di sana tidak stabil.
“Bila-bila masa sahaja pertempuran baru akan berlaku dan ini sangat merisaukan,” katanya ketika ditemui di Kuantan, Pahang, hari ini.
Jenin ketika diserang pada 25 Oktober lalu
Terdahulu, Radzwan menjadi ahli panel dalam forum sempena pelancaran Tabung Pahang For Palestine yang dilancarkan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy mengumumkan kerajaan Pahang menyumbang RM100,000 kepada tabung itu.
Ditanya mengenai krisis yang tercetus sejak kira-kira tiga minggu lalu di Gaza, Dr Radzwan berkata jelas bahawa Israel sedang melakukan "pembunuhan beramai-ramai".
“Saya cuma boleh gambarkan dengan satu perkataan saja iaitu ‘genocide’ dan ia akan berterusan jika masyarakat dunia tidak bersatu hati mengutuk kekejaman dilakukan tentera Zionis,” katanya lagi.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sehingga semalam sekurang-kurangnya 7,326 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan ke atas Gaza sejak awal bulan ini.
Daripada jumlah itu, seramai 3,038 adalah kanak-kanak.
Sementara itu, seorang lagi warga Palestin yang kini menyambung pengajian di ibu negara, Ahmad Radzwan Jamal berkata dia sangat tersentuh dengan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Saya gembira apabila begitu ramai orang memberi sokongan kepada kami. Saya harap semua negeri di Malaysia juga dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan kepada Palestin melalui tabung disediakan,” katanya.
Dia yang mempunyai keluarga di Tebing Barat memberitahu hampir semua kenalannya masih dalam keadaan selamat.
“Cuma keadaan di sana sangat tidak stabil, namun paling terjejas ketika ini adalah semenanjung Gaza.
“Kalau nak dibandingkan situasi di Gaza 100 kali ganda lebih dasyat berbanding Tebing Barat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan