Malinda Abdul Malik
SEBERANG PERAI – Seorang remaja perempuan yang terjatuh dari Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang dari Perai menghala ke pulau di sini hari ini berjaya diselamatkan nelayan pantai.
Mangsa berusia 15 tahun itu diselamatkan nelayan yang kebetulan berada berhampiran lokasi dia terjatuh kira-kira 7.10 malam tadi.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke Terminal Bas Sungai Nibong menaiki sebuah kereta e-hailing dari arah Seberang Perai meminta pemandu itu memberhentikan kenderaan atas alasan mahu muntah sebelum tiba-tiba bertindak membahayakan dirinya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Hasrul Rizal Ghazali berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada anggota bomba yang melalui laluan tersebut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Jelas beliau, susulan itu, sepasukan anggota dari BBP Perai bergegas ke lokasi namun sebaik tiba pihaknya mendapati mangsa telah diselamatkan nelayan.
”Mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin di Gelugor sebelum dihantar ke Hopsital Pulau Pinang.
“Mangsa dilihat berada dalam keadaan trauma selain mendiamkan diri sepanjang perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pukul 7.57 malam tadi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan