Ronasina
Sebagai Ronasina si pelukis perangai manusia yang acap kali menghampakan, saya sering diserang rasa kecewa. Kecewa yang cukup kecewa kerana memikirkan mengapa perangai manusia keliling saya yang sering menghampakan ini begitu ramai jumlahnya. Sepatutnya biarlah yang sekepala dengan saya lebih ramai kerana kita semua dididik tentang hal yang sama sejak kecil.
Dalam hal hidup bermasyarakat mengikut agama misalnya. Adakah ia salah kita masing-masing memahami sesuatu ajaran itu atau salah tukang ajar yang gagal mengenal watak-watak kita manusia yang tiap seorang itu berbeza sifatnya? Atau lumrah hidup memang begini yakni yang berbeza perangai dengan kita lebih ramai berbanding yang berfikiran sama dengan kita.
Begini. Saya melihat anak-anak kecil dilatih membaca doa makan. Ibu bapa cukup bangga apabila anaknya yang masih bergigi susu sudah hafal doa makan dan cukup lancar menadah tangan di hadapan nasi. Saya pun tumpang suka tetapi kemudiannya apabila anak-anak ini meninggalkan pinggannya dengan makanan yang tidak habis dan membazir, saya kecewa. Mereka terus pergi bermain manakala si ibu pun mengemas meja makan dan membuang makanan yang tidak dihabiskan oleh anaknya tadi ke dalam bekas sampah tanpa ada rasa kesal. Tanpa rasa “Allahumma bariklana fiima razaqtanaa…” yang lancar dilafazkan tadi. Ia mempunyai makna yang besar dalam memohon kepada Tuhan agar makanan yang dimakan itu diberkati. Kalau dah membazir, mana datangnya keberkatan? Saya kecewa. Bahagian lancar berdoa tadi saya gembira, bab praktikal buat saya hampa.
Kemudian saya ke tanah perkuburan menghadiri upacara pengebumian jenazah seorang kawan. Selepas jenazah dikebumikan saya turut duduk menyertai kaum kerabat arwah di keliling makam sambil mengikut ritual bacaan talqin yang disampaikan oleh pak imam. Apabila sampai ke bahagian, “Man ikhwanuka? Siapakah saudara kamu? Maka jawablah dengan…” saya tidak dapat mengikut lagi bacaan seterusnya oleh imam kerana tumpuan saya pada bahagian tersebut membawa fikiran saya melayang jauh. Saya musykil apakah nanti lidah kita akan benar-benar fasih menjawab “muslimin dan muslimat adalah saudaraku” seperti dalam skrip talqin itu sedangkan hakikatnya selama hidup amalan sebegitu jauh panggang dari api?
Lepas selesai solat Jumaat di masjid kita kan selalu bangun terus tergocoh-gocoh hendak keluar. Kalau bersalam dengan makmum di sebelah kita, muka pun kita tak pandang. Kita sarung sepatu dan jalan laju-laju, kemudian marah-marah bila kereta tersangkut-sangkut sebab berebut bersama jemaah lain yang juga hendak keluar masjid. Kumpulan ‘Mat Bangla’ dan ‘Mat Indon’ yang berjalan kaki “lantak piii lah!” Tak kuasa nak tumpangkan mereka. Hmmmmm… lepas tu kita yakin akan jawab lancar “Al-muslimun wal muslimat ikhwani”.
Itu belum masuk bab-bab lain lagi. Dua situasi yang digambarkan oleh saya tadi sekadar contoh. Ia berkait rapat dalam kehidupan harian kita betapa selama ini kita tak sedar kita ini seperti burung kakak tua dalam sangkar yang mengucapkan selamat pagi setiap kali manusia lalu di hadapannya. Tidak kira waktu pagi, tengah hari, atau malam si kakak tua tetap mengucapkan selamat pagi kerana ia tidak tahu apa-apa pun berkenaan waktu. Yang ia tahu ucapan selamat pagi itu sahaja yang diajar. Burung kakak tua hanya mengingat, merakam, dan menghafal tanpa penghayatan.
Bayangkan jika kita tidak tahu mengapa kita makan. Apabila ditanya, “apa yang kau buat tu?” kita menjawab, “saya sedang memasukkan makanan di dalam mulut saya. Orang lain buat maka saya pun buat jugalah.” Tidakkah parah? Kita kenal kulit, kita hafal kulit dan mampu bercakap panjang tentang kulit tapi kita tidak pernah menikmati isi. Malah tak tahu apa itu isi.
Apabila nabi bersabda bahawa membuang duri di tepi jalan itu merupakan sedekah – yang kita nampak hanyalah ganjaran pahala dan syurga sahaja sedangkan ia termasuk dalam cabang ehsan. Kerana kesedaran dan penghayatan yang dalamlah baharu datangnya sifat ehsan. Ia melangkaui pemahaman mengharapkan ganjaran dan balasan pahala syurga. Keikhlasan dalam berbuat sesuatu perbuatan itulah lebih suci. Itu yang mengecewakan saya kerana apabila melihat di Barat, sokongan berjuta-juta manusia terhadap kaum muslim di Palestin cukup ramai walhal mereka bukan seagama. Rasa kemanusiaan mereka cukup tinggi, kesedaran mereka terhadap kekejaman cukup waras. Walhal, mereka itu bukan ‘saudaraku’.
Ketika kita bergaduh-gaduh tentang boikot tak boikot, tentang patut atau tidak – mereka di sana atas dasar brotherhood atau persaudaraan sesama manusia tanpa dalih-dalih terus berani menyatakan sikap. Mereka cakap mereka bikin, kita cakap tak serupa bikin. Bunyinya macam tak serius tapi… surah As-Saff ayat 2 menyatakan:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!”
Demikianlah! Nak sambung ayat seterusnya tak berani pula saya macamlah saya ini bagus sangat, kan? Tapi itulah yang saya rasakan.
“Selamat pagi! Good morning!” dan burung kakak tua itu terus berbunyi lagi ketika jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan