"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wan Fayhsal tuduh Farhash pegawai kanan agensi risikan

Malaysiakini
story-image
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, hari ini mendakwa bekas pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, sebagai seorang pegawai kanan agensi perisikan negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa "umum mengetahui" keberadaan Farhash dalam agensi tersebut dan ia memberi kelebihan kepada ahli politik terbabit.

Mengulas mengenai dakwaannya ada dalang memujuk ahli parlimen PN agar menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa kedudukan tersebut menjadikan Farshah begitu berkuasa.

"Umum mengetahui bahawa Datuk Wira Farhash adalah Timbalan Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), atau 'CIA' Malaysia.

"Ini memberikannya kuasa besar sehingga dapat menjawat beberapa jawatan dalam badan korporat yang dimiliki tauke-tauke Cina yang rapat dengan kerajaaan Madani dan perdana menteri," dakwanya.

Tambah ketua Pemuda (Armada) Bersatu itu lagi Farhash tidak boleh mendakwa dia seorang ahli perniagaan kerana jawatan tersebut diperolehi melalui "dukungan politik."

Menurut NST, MEIO ialah kumpulan rahsia di bawah "bahagian penyelidikan" di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan berfungsi sebagai organisasi pengintip antarabangsa.

Cuma baca laporan polis

"Bahagian penyelidikan" ialah jabatan yang disenaraikan di bawah Perintah Menteri Kerajaan Persekutuan 2023 dan merupakan satu-satunya jabatan dalam JPM yang tidak memiliki laman sesawang sendiri.

Malaysiakini sudah menghubungi Farhash bagi mendapatkan responnya terhadap dakwaan berkenaan. Portal ini juga tidak dapat mengesahkan secara bebas tuduhan Wan Ahmad Fayhsal.

Semalam ahli politik terbabit mendakwa terdapat dua individu yang bertanggungjawab menarik sokongan wakil rakyat pembangkang kepada Anwar.

Wan Ahmad Fayhsal berkata individu terbabit adalah seseorang yang digelarnya “Datuk Botak” manakala seorang lagi ialah Farhash yang juga bekas setiausaha politik perdana menteri ke-10.

Sebagai reaksi atas tuduhan semalam, Farhash berkata dia menganggap dakawaan tersebut sebagai suatu fitnah dan akan mengambil tindakan mahkamah.

Farhash juga memberitahu media, dia akan membuat laporan polis ke atas Wan Ahmad Fayhsal.

PN kini berdepan dengan cabaran apabila sudah ada empat ahli parlimennya menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan. Keempat-empat ahli parlimen terbabit merupakan ahli Bersatu.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal hari ini dia tidak membuat fitnah sebaliknya hanya membacakan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli Armada Bersatu Malaysia semalam.

"Biarlah pihak polis mengambil tindakan kerana laporan polis tersebut telah menyatakan semua fakta yang perlu bagi siasatan dijalankan," katanya.

Dia juga menyatakan kesediaan untuk disaman Farhash.

"Namun jangan pula beliau menggunakan aparatus kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau polis untuk menyerang saya seperti yang banyak berlaku baru-baru ini," dakwa Wan Ahmad Fayhsal.

Tiada ulasan: