"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP BERSATU ENGGAN TANDATANGAN BAI’AH IKRAR SETIA BERSAMA PN?

Shahbudin Husin

Sebagai langkah membendung lebih ramai Ahli Parlimennya mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim, PN baru-baru ini mengambil langkah menetapkan setiap mereka perlu menandatangani watikah ikrar taat setia atau bai’ah sebagai jaminan akan tetap kekal bersama gabungan itu.

Langkah tersebut berikutan setakat ini sudah empat Ahli Parlimen blok pembangkang itu mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan perpaduan.

PN sebelum ini mempunyai 74 Ahli Parlimen bersamanya, tetapi kini hanya tinggal 70 saja lagi setelah empat daripadanya mengumumkan sokongan kepada Anwar.

Empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Keempat-empat Ahli Parlimen itu berbuat demikian demi membolehkan mereka diberikan peruntukan oleh kerajaan untuk menjaga kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, daripada 70 Ahli Parlimen PN yang masih tinggal sekarang ini, seorang daripadanya difahamkan masih enggan menandatangani bai’ah tersebut.

Ahli Parlimen berkenaan dikatakan memberi alasan perlukan sedikit masa lagi untuk berfikir sebelum mahu menandatangani ikrar taat setia itu.

Tindakan beliau itu bagaimanapun segera menimbulkan desas-desas beliau juga akan mengumumkan sokongannya kepada Anwar selepas ini, menuruti jejak empat Ahli Parlimen PN yang berbuat demikian sebelum ini.

“Jika tidak, mengapa beliau enggan segera menandatangani bai’ah itu?

“Tiada alasan munasabah untuk menangguh atau melewat-lewatkan menandatangani bai’ah jika benar ingin kekal setia lagi dengan PN,” kata seorang pemimpin Bersatu.

Siapakah Ahli Parlimen berkenaan?

Sabarrr…kita mungkin akan mengetahui siapa Ahli Parlimen itu sedikit waktu lagi bila beliau sendiri dijangka akan mengumumkan sokongan terbukanya kepada Anwar dan kerajaan perpaduan. – ShahbudinHusin 14/11/2023.

Tiada ulasan: