Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
HARI bahagia dinantikan Nurul Aiman (kiri) bertukar menjadi mimpi ngeri.
Kuching: "Sangat sedih dan secara jujur saya masih kecewa sampai ke hari ini," demikian reaksi Nurul Aiman Kamaruddin mengenai perasaannya selepas hasrat untuk berumah tangga dengan tunangnya tidak kesampaian kerana mendakwa ditipu wanita berkenaan.
Menurut Nurul Aiman, 28, dia memang tidak menyangka perkahwinan impiannya akan musnah selepas segala persiapan dibuat.
"Sudah tentu saya serius nak berkahwin, jika tidak...takkan saya sanggup nak menempuh perjalanan jauh ke rumahnya.
"Bagaimanapun, apa yang terjadi tak seperti dirancang hingga saya jadi sangat sedih kerana bukan hanya tanggung rugi tapi juga turut berasa malu.
"Tapi saya anggap apa yang berlaku ujian daripada Allah SWT dan keluarga banyak beri sokongan moral serta minta saya bersabar," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Berhubung perkongsiannya di Facebook (FB) yang tular hingga mengundang pelbagai andaian, Nurul Aiman berkata, dia tidak membaca komen netizen buat masa ini.
"Saya tak sanggup nak baca komen selepas muat naik hantaran itu dan mahu ruang untuk diri sendiri.
"Lagipun, bukti sudah ada jadi saya serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan.
"Saya juga sudah tidak berhubung dengannya (wanita itu), kali terakhir pun pada hari pernikahan dan itu pun tak dijawab malah bapanya turut menyekat nombor panggilan saya," katanya.
Nurul Aiman berkata, dia tidak pernah meragui atau mengesyaki status 'tunangnya' itu kerana bapa wanita terbabit sendiri hadir ketika majlis pertunangan mereka.
"Daripada awal perkenalan, dia perkenalkan namanya lain dengan nama sebenarnya, malah waktu majlis pertunangan, bapanya hadir dan mengiakan namanya.
"Jadi, sudah tentu saya percaya dan yakin dengannya namun tak sangka lain pula jadinya," katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Daro dekat sini, pada 10 November lalu.
Ditanya adakah dengan apa yang terjadi itu membuatkan dia serik untuk berkenalan rapat dengan wanita lain dan berkahwin, Nurul Aiman berkata, dia menyerahkan soal jodoh kepada Yang Maha Esa.
"Urusan jodoh, saya serahkan kepada Allah SWT," katanya.
Terdahulu, Nurul Aiman mendapat perhatian netizen selepas memuat naik hantaran di FB mengenai hari pernikahannya yang bertukar menjadi 'mimpi ngeri' selepas mendakwa ditipu seorang wanita yang didakwa sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Penipuan wanita yang dipercayai bertugas sebagai anggota beruniform sebuah agensi kerajaan itu terbongkar selepas ibu saudara wanita itu sendiri mendedahkan hal sebenar.
Pendedahan dibuat ketika kunjungan Nurul Aiman bersama rombongan keluarganya tiba di rumah pengantin perempuan pada 10 November lalu yang sepatutnya menjadi hari pernikahan.
Lebih membuatkan Nurul Aiman kecewa adalah kerana dia dan wanita berkenaan sudah bertunang pada 12 Oktober tahun lalu dalam satu majlis di sini.
Majlis pertunangan diadakan di rumah kakak iparnya dan mengikut permintaan wanita itu serta bapanya.
Menurutnya, semua persiapan perkahwinan sudah dibuat termasuk memberi wang hantaran kepada keluarga pengantin perempuan itu namun lain pula jadinya apabila dia menanggung kerugian dan malu selepas ditipu.
Hantaran Nurul Aiman itu mengundang pelbagai reaksi dan andaian dengan ramai yang bersimpati tetapi ada juga mendakwa pemuda itu tidak move on' dan cuba membangkitkan kisah lalu yang tidak benar.
Setakat ini, wanita didakwa menipu Nurul Aiman belum tampil mengeluarkan kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan