Hishamuddin Aun
Bola sepak profesional tidak menjanjikan apa-apa kepada bekas pemainnya sekalipun yang bertaraf bintang ketika zaman kegemilangan mereka. Di sebalik ada segelintir yang bertuah, ramai lagi yang menempuh kesusahan. Nasib berlawanan Baddrol Bakhtiar dan bekas pemain Indonesia, Kurnia Meiga, boleh dijadikan contoh terkini.
Lebih 12 tahun lalu, Baddrol yang mengetuai skuad B-23 negara bimbingan Ong Kim Swee, menyempurnakan sepakan penalti terakhir menewaskan Kurnia dalam perlawanan akhir Sukan SEA di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 21 Nov 2011 untuk Malaysia mempertahankan pingat emas di hadapan lebih 80,000 penyokong tuan rumah.
Bertitik-tolak daripada kemenangan sepakan penalti 4-3 itu selepas kedudukan terikat 1-1 hingga selesai masa tambahan, Baddrol meneruskan kerjaya profesional sehingga bergelar Yang Berhormat dalam PRN tahun lalu, sambil Kurnia nyaris menempuh masa depan penuh kegelapan.
Selepas terpaksa bersara pada usia semuda 27 tahun enam tahun lalu ketika bersama kelab tunggalnya Arema FC disebabkan masalah penglihatan serius, Kurnia pada pertengahan tahun lalu menawarkan untuk menjual memorabilia bola sepaknya termasuk medal-medal dan jersi kerana kesempitan hidup selain untuk biaya perubatan.
Seperti dilaporkan laman Channel News Asia, Kurnia bukan satu-satunya bekas pemain yang dapat liputan meluas media kerana masalah kewangan selepas persaraan. Bekas pemain Persebaya FC Surabaya, Anang Ma’ruf, hilang semua wang simpanan gara-gara pelaburannya dalam satu bisnes di Bali gagal dan terpaksa menjadi penunggang motosikal e-hailing.
Bekas penjaga gol B-18 kebangsaan, Dedek Hendri, juga bermasalah selepas bersara hingga dilaporkan terjebak dengan penagihan dadah dan kes pecah rumah manakala seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Alexander Pulalo, beralih menjadi supir.
“Ada beberapa bekas pemain yang benar-benar menderita kesusahan. Kehidupan pemain selepas mereka bersara bukan tanggungjawab pemerintah. Sejujurnya kami tidak boleh menjaga kebajikan semua bekas pemain, cuma dalam keadaan tertentu kami boleh membantu,” ketua jawatankuasa disiplin Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Erwin Tobing dipetik berkata.
Apa kurangnya di Malaysia dengan sekurang-kurangnya sudah ada dua kes pemain yang menawarkan untuk menjual cenderahati berharga mereka dalam bola sepak untuk menampung hidup.
Pada Julai 2020, bekas pemain kebangsaan, Khalid Jamlus, menawarkan untuk menjual anugerah kasut emas hasil 17 gol ketika membantu Perak menjuarai Liga Perdana 1 pada musim 2002. Alasannya melepaskan cenderahati bernilai sentimental tinggi itu atas faktor kewangan selepas tiga tahun tiada pekerjaan. Sudah rezekinya apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli kasut emas berkenaan untuk diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor di pekarangan Istana Alam Shah, Klang. Dapatlah Khalid bernafas lega buat sementara.
Menyusuli langkahnya, bekas penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian, pula mengejutkan ramai pada tahun baharu apabila memuat naik di Facebook mahu menjual medal juara Piala Malaysia, Piala Sumbangsih, Piala FAM, dan Liga Perdana ketika bersama kelab MPPJ FC sepanjang 2001 hingga 2004 untuk menampung keperluan hidup.
Jurulatih penjaga gol Kelantan United musim lalu itu mahu menjual pingat berkenaan dengan nilai RM30,000.
“Saya memang nak jual medal tu. Sebab utama memang pasal gaji. Lima bulan tak ada gaji. Tetapi, syukur Kelantan United dah bayar untuk bulan Ogos dan September, baki tinggal bulan Oktober, November dan Disember. Mereka pun memang dah beri satu memo pembayaran akan selesaikan pada 31 Januari ini,” kata Jamsari yang pernah menjual koleksi pingat juara Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia – semuanya ketika mewakili Selangor pada 2005 – kerana kecewa dengan bekas majikannya itu.
Cuma kes terbaru Jamsari ini mendedahkan ‘kudis’ dalam liga tempatan tidak pernah berakhir selama bertahun-tahun lamanya. Masalah gaji tidak berbayar atau terlengah ini hairannya tidak pernah selesai, di sebalik Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pentadbir liga memperketatkan syarat pelesenan kelab-kelab sebagai kriteria penyertaan dalam liga setiap tahun.
Bukan setakat Jamsari, dipercayai ada ramai lagi bekas pemain yang sama ada menjalani hidup secara ala kadar atau kais pagi makan pagi kerana ketiadaan pekerjaan tetap. Masalahnya berpunca daripada bekas pemain sendiri yang tertumpu pada peluang pekerjaan berkaitan bola sepak juga selepas bersara daripada bermain, sedangkan prospek untuk mereka diambil sebagai jurulatih atau penolong jurulatih sebenarnya amat terhad.
Sepanjang Liga Super 2023, sekurang-kurangnya enam kelab – termasuk dalam kelompok lima teratas – tidak terkecuali daripada masalah kelewatan pembayaran gaji hingga menjejaskan prestasi pasukan daripada berkesudahan di kedudukan lebih baik.
“Kalau dapat pasukan yang betul-betul pandai jaga bersyukurlah kita, tapi dapat pasukan yang tak pandai jaga… selepas itu gaji nak tak nak bayar tapi ‘expect’ pemain ‘perform’ menang semua perlawanan,” kata seorang pemain sebuah pasukan di utara Semenanjung. Tidak sukar untuk membuat tekaan pasukan dimaksudkan.
Masakan kita boleh lupa kes ‘bersejarah’ seumpamanya yang membabitkan pasukan Perlis yang memasang Impian besar pada 2019. Disebabkan kemelut tunggakan gaji, seorang demi seorang pemain bintangnya meninggalkan pasukan, antaranya Badhri Radzi, Amirizdwan Taj Tajuddin, dan Safee Sali. Lembaga Pengarah MFL kesudahannya membatalkan penyertaan Perlis dalam saingan liga pada musim 2019 itu selepas mendapati pasukan itu tidak memiliki jaminan kukuh dari segi kewangan bagi terus bertahan. Ada pemainnya yang gagal mendapatkan pasukan baru terpaksa menjadi nelayan untuk menjana pendapatan sampingan manakala beberapa yang lain mengambil upah mencuci kereta setelah tidak menerima tunggakan gaji untuk tempoh sembilan bulan.
Sepuluh tahun selepas catatan sejarah hitam Perlis itu, kemelut pasukan-pasukan berkait pembayaran gaji atau lewat melunaskannya masih berlarutan musim lalu. Kelab-kelab hanya boleh menyalahkan pengurusan sendiri kerana berbelanja mendapatkan pemain asing mahupun tempatan melebihi kemampuan. Pada penghujungnya, bukan saja sasaran pasukan gagal dicapai malah tidak dapat berbuat apa-apa tatkala seorang demi seorang pemainnya angkat kaki untuk menyertai pasukan lain.
Pada 2 Januari lalu, Kelantan FC gagal mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak layak untuk bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 kerana gagal melengkapkan dua kriteria kewangan, antaranya membabitkan tunggakan KWSP dan Perkeso pemain.
Tidak hanya harus dipersalahkan kepada Kelantan FC – kelab tercorot Liga Super 2023 dengan hanya mampu memungut lapan mata daripada keseluruhan 26 perlawanan – tetapi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL juga bertanggungjawab sama kerana tidak mampu mengubah keadaan selepas sekian lama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan