"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Mereka mahu pastikan kami betul-betul mati!'

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KEADAAN sebuah kediaman yang musnah bersama mayat mangsa dibom tentera Israel.
KEADAAN sebuah kediaman yang musnah bersama mayat mangsa dibom tentera Israel.
Kuala Lumpur: "Saya tidak pasti sama perlu menangis sedih atau ketawa. Kediaman saya yang sedia ranap dibom pesawat Israel sebelum ini, sekali lagi dihujani bom semalam," ujar Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar.

Dia sebelum ini terselamat walaupun cedera parah dalam serangan bom yang menyasarkan rumahnya di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.

Beliau yang cedera di kepala dan tubuh bagaimanapun berjaya dibawa keluar dari celah runtuhan konkrit sebelum dihantar ke hospital.

Abu Ayesh berkata, dalam serangan terbaru semalam, tiga roket ditujukan ke arah runtuhan kediamannya yang sememangnya musnah.

"Letupan kuat berlaku hingga meranapkan sekali lagi binaan konkrit rumah saya. Mereka (Israel) seolah-olah mahu memastikan saya dan keluarga benar-benar sudah mati.

"Saya bersyukur masih hidup sehingga kini untuk berkongsi penderitaan dan kekejaman tentera Israel. Perang genosid bagi membunuh dan menghapuskan penduduk Palestin masih terus berlaku setiap hari," katanya.

Menurutnya, beratus warga Palestin terutama bayi dan kanak-kanak terkorban setiap hari dan angka kematian di Gaza melepasi 23,084 orang setakat kelmarin.

"Bilangan mangsa yang cedera turut terus meningkat kepada 58,926 mangsa manakala lebih 7,000 lagi hilang akibat ditimpa runtuhan kediaman," katanya.

Menurutnya, kekejaman Israel berterusan apabila lima rakyat Palestin yang berlindung di dalam Sekolah Aldurra maut akibat dibunuh.

"Beberapa lagi mangsa cedera. Mereka antara ratusan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di dalam sekolah.

"Mayat semua mereka masih berada di dalam sekolah berkenaan berikutan kesukaran untuk membawa mangsa keluar.

"Penembak hendap tentera Israel turut berkeliaran di Gaza dan menunggu peluang untuk melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk di sini," katanya.

Selain itu menurutnya, sekurang-kurangnya lapan penduduk Palestin terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman di barat bandar Deir al-Balah di Semenanjung Gaza.

"Sebanyak lapan mayat dibawa ke Hospital Shuhada Al-Aqsa susulan serangan udara itu, termasuk berpuluh-puluh wanita dan kanak-kanak yang turut cedera.

"Sementara itu, sebuah pesawat tentera Israel dirakam melepaskan tembakan secara rambang di pekarangan Hospital Eropah di Gaza.
MANGSA kanak-kanak yang maut akibat dibom tentera Israel.
MANGSA kanak-kanak yang maut akibat dibom tentera Israel.
"Pesawat berkenaan turut menyerang bangunan di Kolej Sains dan Teknologi yang terletak di selatan Khan Yunis, selain mengebom kem pelarian Al-Maghazi di tengah Semenanjung Gaza," katanya.

Beliau berkata, tentera Israel turut menyasarkan masjid Al-Sunna yang terletak hanya 25 meter dari kediamannya.

"Masjid itu musnah sama sekali akibat dibom bertalu-talu. Sehingga kini 240 masjid di Gaza [lenyap' angkara keganasan tentera Israel," katanya.

Beliau turut berkongsi gambar kanak-kanak dan bayi di Gaza yang maut akibat operasi pengeboman berterusan tentera Gaza memasuki hari ke 95 semalam.

"Saya mengharapkan doa semua umat Islam yang masih bersimpati terhadap kami di Gaza. Jangan berhenti berdoa dan mengingati kami. Moga Allah SWT mendengar doa kita," katanya.

Tiada ulasan: