"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya terus terjun ke dalam longkang, capai wanita itu'

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
RAKAMAN video tular Choo menyelamatkan mangsa dihanyutkan air deras dalam longkang di Jalan Kota Tinggi-Mersing. Gambar kecil, Choo. FOTO tular media sosial
RAKAMAN video tular Choo menyelamatkan mangsa dihanyutkan air deras dalam longkang di Jalan Kota Tinggi-Mersing. Gambar kecil, Choo. FOTO tular media sosial
Kota Tinggi: "Saya tidak berfikir panjang untuk terjun menyelamatkan wanita itu ketika melihat mereka dihanyutkan air deras (longkang)," kata kontraktor, Choo Ngiam Choong, 50-an.

Choo berkata, dia masih tidak dapat melupakan detik menyelamatkan wanita itu selepas kenderaan dinaiki mangsa terbabas dan terjatuh ke longkang di Kilometer 42.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat Kota Tinggi, 9 pagi tadi.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Mawai sebelum melihat rakannya yang memandu di laluan sama menghentikan kenderaan.

Katanya, sebaik keluar dari kenderaan, dia terkejut apabila mendapati sebuah kereta hanyut di longkang itu dan mendapati ada wanita turut dihanyutkan arus deras.

"Seorang wanita (rakan mangsa) sempat menyelamatkan diri manakala wanita itu hanyut dan boleh lemas.

"Saya terus terjun ke dalam longkang mencapai wanita itu dan beberapa rakan dan orang awam di situ juga membantu.

"Saya gembira dapat menyelamatkan wanita itu dalam tempoh kurang lima saat bagi mengelakkannya ditimpa kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi, tadi.

Anak ke sepuluh daripada 12 beradik yang berasal dari Kota Tinggi berkata, dia bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan ketika membantu wanita berkenaan.

"Saya memang pandai berenang. Saya bersyukur memiliki stamina yang bagus untuk membantu mangsa itu.

"Wang ringgit masih boleh dicari namun sekiranya nyawa melayang, tiada galang gantinya," katanya.

Sementara itu, rakan Choo, Oh Lee Heng, 50, berkata dia bangga dengan niat Choo membantu mangsa yang dihanyut.

"Dia tidak mempedulikan keselamatannya ketika itu sebaliknya hanya mementingkan nyawa mangsa.

"Semoga segala kebaikan dilakukan dirahmati tuhan," katanya.

Dalam kejadian pagi tadi, dua wanita itu dihanyutkan arus deras selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu jatuh ke dalam longkang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora dilaporkan berkata, dalam kejadian 9 pagi tadi, kereta jenis Perodua Myvi dinaiki kedua-dua wanita berusia 37 dan 43 tahun itu dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas ke dalam longkang sebelah kanan menghala ke Kota Tinggi.

Tiada ulasan: