"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno: Hanya undi tak percaya peluang PN jatuhkan kerajaan

Malaysiakini 

Umno berpendapat ada tiga faktor yang menjadikan cubaan pembangkang menjatuhkan kerajaan di luar pilihan raya umum tidak akan berjaya.

Bahkan, menurut setiausaha agung parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki, dakwaan dibuat pihak di luar kerajaan tidak lebih daripada sekadar mainan persepsi untuk mengelirukan orang ramai.

Pertama, katanya, Yang di-Pertuan Agong sudah berkali-kali menitahkan bahawa baginda tidak akan melayani sebarang persembahan akuan bersumpah (SD) daripada ahli parlimen untuk menukar kerajaan.

"Kedua, pembangkang yang hanya tinggal 69 orang memerlukan 43 orang lagi untuk mencukupkan 112 (jumlah minimum membentuk kerajaan).

"Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutamanya ahli-ahli parlimen bukan Islam sudah menyatakan dengan tegas tidak akan menyokong PN kerana di dalamnya ada parti ekstrem PAS," katanya.

Dia yang juga pengerusi Mara berkata, dalam keadaan sekarang ahli-ahli parlimen BN terikat dengan aku janji bon bernilai RM100 juta yang harus dibayar jika mereka mengalih sokongan.

"Peluang terakhir untuk menukar kerajaan adalah hanya melalui usul tidak percaya di parlimen.

"Kalaupun ada ahli-ahli parlimen yang menanda-tangani SD, bermakna mereka sendiri takut untuk menzahirkan sokongan terbuka," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sejak beberapa hari lalu sesetengah pemimpin PN mendakwa mereka sudah bersedia mengambil alih kerajaan kerana mendapat jumlah yang mencukupi bagi membentuk majoriti di Dewan Rakyat.

Antaranya ialah Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa kerajaan perpaduan hanya menanti masa untuk tumbang.

Hal itu kerana, dakwa Sanusi, PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi. Dia bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh.

Asyraf Wajdi berkata, pemimpin kanan PAS itu tidak bertanggungjawab kerana memainkan persepsi sebegitu dan menunjukkan dia seolah-olah mahu mensabotaj ekonomi negara.

"Apakah MB Kedah (Sanusi) mahu membiarkan rakyat terus menderita selama bertahun-tahun selepas kejatuhan BN 2018 sehingga menyebabkan ekonomi merudum teruk hingga kos sara hidup meningkat lantaran pelabur yang keluar akibat politik tidak stabil?" soalnya.

Tambah Asyraf Wajdi, tiga faktor dinyatakannya itu mungkin menyebabkan pembangkang tidak berani mencadangkan usul tidak percaya di Dewan Rakyat walaupun perdana menteri berkali-kali mencabar mereka melakukannya.

"Maka titik noktahkan sahaja polemik SD yang tidak menguntungkan ini.

"Tunggulah empat tahun sahaja lagi untuk pilihan raya umum diadakan bagi memenuhi nafsu pembangkang menjadi kerajaan," jelas Asyraf Wajdi.

Tiada ulasan: