"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keadaan banjir di Johor semakin buruk

Bernama

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 3,322 orang yang ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Pontian menjadi daerah terbaharu dan yang keenam terjejas bencana tersebut setakat 8 malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani berkata ini berbanding 1,805 orang di 41 PPS yang direkodkan di lima daerah, sejam lepas.

Beliau, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, berkata selain Pontian, daerah yang turut terjejas banjir ialah Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Johor Bahru dan Kulai.

“Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,638 orang di 19 PPS, diikuti Kluang dengan 863 orang di 13 PPS dan Johor Bahru dengan 733 mangsa di 10 PPS.

“Sementara itu, terdapat 20 mangsa di sebuah PPS di Segamat, 62 orang di sebuah PPS di Kulai dan enam orang di sebuah PPS di Pontian iaitu Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Pekan Nanas yang baharu dibuka pada 7.45 malam ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, menurutnya terdapat beberapa PPS di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kluang yang angka mangsa banjir masih dikemas kini .

Sementara itu, Pengarah Bomba Johor Siti Rohani Nadir berkata hujan berterusan dari malam tadi menyebabkan paras air sungai meningkat dan kawasan rendah dinaiki air.

“Hingga kini, kerja-kerja pemindahan mangsa sedang giat dijalankan di Kota Tinggi dan beberapa tempat di Johor Bahru dan Machap.

“Situasi terkini adalah terkawal dengan kerjasama dan koordinasi agensi lain di peringkat JPBN,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Bagaimanapun, katanya jumlah mangsa dijangka terus meningkat berikutan hujan masih berlaku menyebabkan peningkatan paras air sungai utama di Johor seperti Sungai Kahang dan Sungai Johor.

Sementara itu, laporan terkini yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan jumlah mangsa banjir di Pahang turut meningkat malam ini dengan 525 orang daripada 139 keluarga berlindung di 12 PPS di Rompin, Pekan dan Maran.

Tiada ulasan: