"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi: Siasatan SPRM terhadap anak MB Perlis drama PRK

Malaysiakini 

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mendakwa siasatan SPRM terhadap anak Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, adalah sebahagian daripada "drama" menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Lidah rasmi PAS, Harakahdaily memetik menteri besar Kedah itu sebagai berkata bahawa siasatan yang turut melibatkan lima yang lain itu tidak akan memberi kesan kepada PN atau PAS dalam menghadapi PRK yang bermula dengan pencalonan rasmi hari ini.

“Itu memang drama yang diset untuk PRK, semua orang tahu bukan rahsia besar.

"Semua adegan itu adalah ‘setting’ untuk menghadapi PRK. Kita gelak ja, dia akan buatlah beberapa drama itu,” kata Sanusi yang dipetik sebagai berkata semasa majlis rumah terbuka PAS di Kangar, Perlis, awal hari ini.

Anak lelaki Shukri dan lima yang lain dilaporkan ditahan pada Selasa bagi membantu siasatan SPRM yang dikaitkan dengan penyerahan dokumen palsu dan tuntutan membabitkan RM600,000 sejak dua tahun lalu.

Kes pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedang disiasat selepas projek yang melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan, pembekalan dan perkhidmatan dari 2022 hingga kini tidak dijalankan.

Mahkamah Majistret Perlis pada mulanya membenarkan perintah reman dua hari mulai Rabu, yang kemudian dilanjutkan 24 jam lagi, sebelum mereka dilaporkan dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata usaha membanteras rasuah tidak seharusnya tertumpu kepada pembangkang sahaja.

Dia juga mengulangi dakwaan mengenai penganiayaan terpilih oleh SPRM yang didakwa menyasarkan negeri yang dikuasai pembangkang berbanding negeri yang dipimpin oleh BN dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, di Kuala Kubu Bharu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ab Halim Tamuri merupakan pemimpin tertinggi PAS yang dilihat bersama calon PN Khairul Azhari Saut semasa pencalonan rasmi diadakan di Dewan Serbaguna Hulu Selangor dan Kompleks Sukan Daerah.

Tiada ulasan: