Agensi

LOKASI kejadian. FOTO Agensi Mencari dan Menyelamat Mimika.
Port Moresby: Dua pendaki wanita berusia 60 tahun maut di puncak Carstensz Pyramid, Sabtu lalu.
Carstensz Pyramid atau Puncak Jaya adalah puncak tertinggi Indonesia yang berketinggian 4,884 meter.
Pihak berkuasa mengesyaki punca kematian dua pendaki itu disebabkan hipotermia dan penyakit gunung akut.
Mangsa dikenali sebagai Lilie Wijayanti Poegiono dari Jakarta, dan Elsa Laksono dari Bandung.
Menurut Kompas, Lilie yang menetap di daerah Mochamad Ramdan, Regol adalah seorang pereka fesyen sejak 2012 dan memiliki butik, La Belle Femme Bandung.
Menurut laporan daripada agensi mencari dan menyelamat tempatan, kedua-dua wanita itu adalah sebahagian daripada 15 anggota kumpulan pendaki termasuk dua warga Turkiye, seorang pendaki Rusia dan lima malim Indonesia.
Kumpulan itu terbang dengan helikopter dari Lapangan Terbang Moses Kilangin di Mimika ke Kem Pangkalan Lembah Kuning gunung itu pada Rabu.
Mereka menghabiskan dua hari di kem asas untuk latihan penyesuaian dan pendakian gunung sebelum memulakan pendakian mereka. Pendakian bermula 4 pagi waktu tempatan Jumaat lalu.
Selepas tiba di kawasan puncak gunung, kumpulan itu turun pada Sabtu di tengah-tengah keadaan cuaca buruk termasuk ribut salji, hujan lebat dan angin kencang.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia selepas dipindahkan semasa turun.
Sementara itu, tiga pendaki dalam kumpulan sama iaitu Indira Alaika, Alvin Reggy Perdana dan Saroni terkandas semalaman berhampiran puncak kerana keadaan cuaca ekstrem.
Semua mangsa menunggu diselamatkan.
Ketua Polis Mimika Ajun Billyandha Hildiario Budiman mengesahkan, ketiga-tiga mangsa yang terselamat juga mengalami hipotermia, keadaan yang mengancam nyawa di mana suhu badan turun di bawah 35 darjah Celsius.
Pada Ahad, sebuah helikopter memindahkan tiga mangsa yang terselamat dan mayat Elsa dari kem pangkalan.
Bagaimanapun, operasi menyelamat mayat Lilie tertangguh kerana cuaca buruk dan ditangguhkan sehingga Isnin.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan