Hariz Mohd
Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar hari ini membuat laporan polis terhadap seorang ejen Pakistan yang memberikan rasuah kepadanya pada Jumaat lalu, yang menyebabkan dia ditahan SPRM.
Dalam laporannya yang dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi dan dilihat Malaysiakini, Nantha menafikan dia meminta atau menerima rasuah daripada ejen itu, yang dinamakannya sebagai Zahid.
Sebaliknya, wartawan itu berkata Zahid yang cuba menyogoknya, dan beliau telah mengambil sampul surat yang diberikan oleh ejen tersebut untuk mendapatkan "bukti" terhadap sindiket pemerdagangan pekerja asing yang didakwa melibatkan Zahid.
“Pada 28 Februari jam kira-kira pukul 11.10 malam ketika saya berjumpa Zahid di Hotel Concorde di Shah Alam, untuk berbincang berkenaan siasatan saya berhubung sindiket Fly, dia menghulurkan sampul berwarna coklat kepada saya untuk memujuk saya bekerjasama dengan dia dalam sindiket itu.
“Saya ambil sampul itu sebagai bukti dia merasuah saya. Ini kerana saya diminta oleh seorang pengarah jabatan imigresen negeri untuk membantu jabatan itu mencari apa jua bukti ke atas warga Pakistan yang dicurigai terlibat dalam sindiket Fly.
"Saya mengambil sampul surat itu sebagai bahan bukti, untuk membuktikan dia cuba merasuah saya. Ini kerana saya telah diminta oleh seorang pengarah imigresen negeri untuk membantu jabatan dalam mengumpul sebarang bentuk bukti terhadap beberapa warga Pakistan yang disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket Fly.
“Namun sebelum saya sempat melaporkan kepada jabatan imigresen yang Zahid merasuah saya, saya telah ditahan oleh SPRM pada waktu itu juga dan direman empat hari atas tuduhan menerima rasuah.
“Saya menafikan meminta atau menerima rasuah, sebaliknya insidien tersebut adalah Zahid yang memberi rasuah kepada saya,” kata Nantha dalam laporan tersebut, yang dibuatnya di IPD Dang Wangi pada jam lima petang tadi.
Sindiket Fly merujuk kepada kegiatan pemalsuan status imigrersen, yang membersihkan individu yang tinggal lebih masa atau disenarai hitam menerusi cop keluar masuk yang palsu.
Nantha turut menggesa polis agar menyiasat latar belakang Zahid, dan mendakwa lelaki itu mengaku pernah dipenjarakan di Malaysia atas kesalahan pemerdagangan manusia.
Wartawan itu juga mempersoalkan bagaimana Zahid masih dibenarkan menetap di negara ini, dikatakan melalui visa profesional, sekiranya benar dia pernah disabitkan kesalahan.
"Tujuan saya membuat laporan ini adalah untuk meminta polis membuat siasatan penuh berhubung insidien ini dan latar belakang Zahid,” katanya lagi.
Nantha juga melampirkan salinan artikel Malaysiakini yang diterbitkan semalam, di mana dia menulis mengenai insiden yang berlaku pada 28 Februari itu.
Terdahulu, dia dituduh menerima RM20,000 daripada seorang ejen yang berurusan dengan pekerja asing sebagai pertukaran untuk tidak menerbitkan dua artikel yang akan mendedahkan kartel tersebut.
Dia dibebaskan pada Selasa lalu selepas direman selama empat hari.
Nantha telah bekerja dengan Malaysiakini sejak 2018 dan banyak menulis mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan