"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Samseng miliki kilang lupus, proses e-waste

Suzalina Halid
Timbunan sisa elektronik yang dibiarkan terdedah ketika Ops Toksik, baru-baru ini. - Foto fail NSTP
Timbunan sisa elektronik yang dibiarkan terdedah ketika Ops Toksik, baru-baru ini. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Kebanyakan kilang melupus dan memproses sisa elektronik atau e-waste dikesan dimiliki samseng yang dipercayai mempunyai rangkaian dengan sindiket pengubahan wang haram.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pembabitan samseng itu dibongkar pihak berkuasa melalui Ops Hazard dengan ada kilang haram e-waste turut didalangi oleh warga asing.

"Maklumat kita peroleh melalui 30 premis yang diperiksa, pihak berkuasa mendapati kebanyakan pekerja adalah pendatang asing atau salah guna permit.

"Kadang-kala ia membabitkan rangkaian jenayah yang gunakan e-waste sebagai satu cara untuk 'mencuci' duit," katanya dalam temu bual bersama BH dan media berbahasa Cina, kelmarin.

Untuk itu, Nik Nazmi berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam kini dalam proses memasukkan jenayah alam sekitar, termasuk pihak yang melupuskan e-waste untuk didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Katanya, tindakan tegas itu boleh dilaksanakan selepas penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendakwa penjenayah alam sekitar.

Tidak dilesenkan PBT

Mengulas modus operandi kilang terbabit, Nik Nazmi berkata, kebanyakan kilang tidak dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kedudukan premis berada di kawasan industri dan di luar kawasan industri.

"Ia termasuk di tanah rizab, ladang sawit dan di dalam hutan," katanya yang menyifatkan ia sebagai mengaburi pihak berkuasa.

Nik Nazmi turut mendedahkan, antara cabaran dalam mengekang kemasukan e-waste secara haram ke negara ini adalah apabila pemeriksaan secara rawak terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa.

Katanya, kos membuka dan memeriksa kontena adalah tinggi sehingga mencecah RM700 bagi setiap pemeriksaan kepada pengendali pelabuhan.

"Kita juga kekurangan alat pengimbas di pelabuhan untuk memeriksa kontena yang masuk, namun ia juga di luar bidang kuasa kita. Ini mengekang usaha membuat pemeriksaan fizikal secara menyeluruh," katanya.

Selain itu, beliau berkata, ada pengimport yang berselindung dengan membuat pengisytiharan palsu barangan menggunakan HS Code (sistem pengkelasan dan kod komoditi import dan eksport), selain ketidakpatuhan dokumentasi.

Mengenai usaha menambah baik penguatkuasaan, Nik Nazmi berkata, anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) mungkin menggunakan kamera badan bagi meningkatkan integriti mereka.

Katanya, kerjasama agensi di pelabuhan, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa pelabuhan, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dipertingkatkan.

Ia turut membabitkan organisasi antarabangsa antaranya, Seketariat Konvensyen Basel, Asian Network dan INTERPOL dalam aspek penyaluran maklumat berhubung kapal kontena yang disyaki mengandungi e-waste masuk melalui pelabuhan.

Berhubung e-waste yang dihasilkan dalam negara setakat ini, Nik Nazmi berkata, jumlah keseluruhan sisa elektronik yang dijana dari 2005 sehingga 2023 adalah 2,618,307.30 tan.

"Sepanjang tempoh itu, tahun 2020 menunjukkan penjanaan tertinggi e-waste iaitu 904,008.90 tan.

"E-waste yang dikumpul dan diproses di setiap negeri di Malaysia bermula pada 2005 sejajar dengan pewartaan dan tarikh berkuat kuasa Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya.

Beliau berkata, penghasilan e-waste bagi seluruh negeri pada 2023 adalah 65,280.14 tan berbanding 286,205.84 tan pada 2022.

Katanya, Melaka negeri tertinggi menghasilkan e-waste iaitu 26,089.68 tan, diikuti Pulau Pinang (13,004.61 tan), Selangor (6,890.02 tan) dan Negeri Sembilan (6,833.05 tan)

Tiada ulasan: