B Nantha Kumar
Seorang pemimpin PKR didakwa sedang giat menghubungi ketua-ketua cabang bagi meraih sokongan untuk melobi jawatan menteri.
Bekas timbalan komunikasi PKR Sabah Fekirie Gobet yang membuat tuduhan itu menggesa pucuk pimpinan parti bertindak segera dan mengeluarkan larangan terhadap amalan ini.
"Saya menerima panggilan daripada salah seorang pembantu pemimpin itu. Dia bertanya mengenai Rafizi Ramli dan Nik Nazmi (Nik Ahmad).
"Semasa perbualan, dia memberitahu saya bahawa pemimpin itu sedang menghubungi ketua-ketua cabang dan beberapa pemimpin dari PKR mengumpul tandatangan untuk menyatakan sokongan kepadanya dilantik sebagai menteri menggantikan Nik," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Fekirie, dia menghubungi sendiri beberapa ketua cabang yang memaklumkan menerima panggilan serupa.
Katanya, tindakan itu mencabar kuasa presiden PKR yang juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menentukan barisan jemaah menteri.
"Individu yang cuba melobi ini menggunakan taktik yang sangat memalukan. Haus dan lapar jawatan ini bukan budaya PKR.
“Kini cuba menggunakan ketua-ketua cabang untuk kepentingan peribadi.
"Tindakan seperti ini mencemarkan prinsip perjuangan parti dan harus dihentikan segera.
"Saya meminta agar pucuk pimpinan agar membuat arahan larangan (melobi jawatan) supaya tidak ada membuat lobi untuk jawatan menteri," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi pemimpin berkenaan dan masih belum menerima penjelasan lanjut mengenai dakwaan ini.
Dalam pada itu, dua lagi sumber PKR memberitahu memang berlaku usaha mengumpul tandatangan untuk menyokong pemimpin tersebut mendapat jawatan menteri.
"Saya tak boleh dedahkan maklumat saya. Tapi, saya boleh sahkan pembantu pemimpin itu menghubungi saya untuk tandatangan surat sokongan," kata satu sumber dari Kedah.
"Memang ada panggilan daripadanya. Kami belum memberi kata putus," tambah satu lagi sumber yang enggan dinamakan.
Untuk rekod, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi mengemukakan surat peletakan jawatan pada 28 Mei, susulan tindakan sama oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Kedua-duanya memetik kekalahan dalam pemilihan parti sebagai antara faktor utama pengunduran mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan