"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Vape RM1 jerat remaja ke lembah dadah

Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

Pendang: Hanya dengan RM1, remaja kini boleh mendapatkan satu titis vape yang dibimbangi mengandungi bahan terlarang sekali gus ia mampu menjerat mereka ke arah penagihan dadah.

Pengerusi Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad berkata, trend itu sangat membimbangkan dan kian menular dalam kalangan pelajar sekolah.

"Sekarang ini, dengan RM1 pun sudah boleh dapat satu titis vape. Kita tahu ada vape yang sudah dicampur bahan terlarang.

"Masalahnya, benda ini tidak boleh dikesan dengan mudah, dan apabila sudah rosakkan saraf otak anak-anak kita, masa itu sudah terlambat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Sungai Rambai di sini, hari ini.

Beliau berkata, bahan terlarang dalam vape ini memberi kesan terus kepada sistem saraf dan otak, menyebabkan kerosakan kekal yang sukar dipulihkan, berbeza dengan dadah konvensional yang masih ada ruang rawatan jika dikesan awal.

Katanya, pengedaran vape yang dicampur bahan bahaya kini semakin mudah diperoleh remaja kerana dijual tanpa kawalan, malah sering dipasarkan dalam bentuk titisan yang sukar dikesan.

Beliau turut menggesa ibu bapa dan guru supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak, terutamanya jika mula menunjukkan kelainan seperti murung, agresif atau sering menyendiri.

"Kita mahu ibu bapa dan cikgu betul-betul ambil berat. Kalau anak tunjuk tingkah laku pelik, cepat bertindak. Ini bukan benda kecil, ini soal masa depan anak bangsa," katanya.

Dalam masa sama, Zulkifly menyarankan supaya undang-undang berkaitan vape dikaji semula, terutama membabitkan produk yang dicampur dadah, agar pengedar dan penjual dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan lebih tegas.

"Ini bukan soal rokok elektronik biasa. Ini vape yang dicampur dadah dan ia sedang merosakkan otak anak-anak kita dalam diam.

"Kita bukan bercakap soal vape biasa, tapi vape yang dicampur dadah seperti syabu dan mushroom . Ini sangat berbahaya. Perlu ada undang-undang yang lebih kukuh supaya tindakan boleh diambil terhadap pengedar," katanya.

Tiada ulasan: