"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 penculik ditahan dalam masa 24 jam

Buletin TV3 

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan kes culik bagi mendapatkan wang tebusan dalam tempoh 24 jam susulan penahanan lima lelaki dalam beberapa serbuan di Kulai dan Simpang Renggam, Kluang pada 28 Mei lalu.

Mangsa kemudian berjaya diselamatkan di Kulai pada keesokkannya.

Suspek, seorang warga tempatan dan empat warga asing berusia 22 hingga 48 tahun ditahan berikutan laporan yang dibuat oleh seorang warga asing berusia 46 tahun.

Lelaki itu membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada isteri rakannya mendakwa suaminya diculik dan ditahan oleh individu tidak dikenali bagi menuntut wang tebusan RM20,000 untuk pembebasannya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru (Utara), Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, bertindak atas maklumat, polis mengesan mangsa di Kulai dan melakukan penahanan serentak di lokasi berasingan.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah,” katanya.

Polis turut merampas beberapa barangan, namun enggan mengulas lanjut termasuk identiti suspek dan mangsa.

Kelima-lima suspek direman selama enam hari mulai 31 Mei lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 364 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 6(1)(C) dan 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 masing-masing kerana masuk secara haram dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Tiada ulasan: