Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

KEADAAN jentolak yang terjatuh dalam gaung kira-kira 100 meter di Ladang Bonanza, Laloh, Kuala Krai. FOTO Ihsan Polis.
Kuala Krai: Dua lelaki maut selepas jentolak dipandu mereka terjatuh ke dalam cerun dan gaung di dua lokasi berasingan, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kemalangan pertama membabitkan warga Thailand berusia 49 tahun apabila jentolak dipandu tergelincir dan terjatuh ke dalam cerun di Ladang Dabong Kilometer 27, Jalan Sungai Sam-Dabong, di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada jam 2.50 petang.
"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mangsa memandu jentolak ke kawasan lereng bukit untuk pergi berehat, tetapi tergelincir ke dalam cerun menyebabkannya tercampak keluar dari jentera dan dihempap.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa keluar dari jentolak itu dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Dalam insiden kedua, Mazlan berkata, seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun maut selepas jentolak dipandunya terjatuh ke dalam gaung lebih 100 meter di Ladang Bonanza, Laloh, Kuala Krai, jam 3.30 petang.
"Siasatan awal mendapati mangsa sedang bekerja di ladang berkenaan bagi kerja-kerja membuat teres.
"Bagaimanapun, ketika bekerja jentolak dipandu tergelincir dari laluan menyebabkannya jatuh ke dalam gaung.
"Mangsa tersepit dalam jentera dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan