"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gelandangan dipenjara setahun sembunyi wang lebih RM480,000

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki gelandangan dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membantu menyembunyikan wang lebih RM300,000 milik seorang pemilik syarikat pelaburan, tahun lalu.

Tertuduh, Marchell Jeff Lee Sin Ket, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Azrul memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan curangnya menolong menyembunyikan wang berjumlah RM314,790 milik wanita berusia 59 tahun yang diketahui bukan miliknya bagi tujuan penipuan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Sentul pada 18 November 2024 hingga 12 Disember 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Saravanan memohon hukuman pemenjaraan ke atas tertuduh sebagai pengajaran dan pencegahan dengan mengambil kira kekerapan penipuan berlaku sekarang.

Bagaimanapun, Marchell yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan berikutan ketika ini dia sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang, Johor atas kesalahan sama.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Hamidah Mat Deril menjatuhi hukuman penjara lapan bulan ke atas Marchell yang mengaku mengalih atau menyembunyikan wang RM173,000 milik wanita berusia 49 tahun pada 7 November 2024 hingga 9 Disember 2024 di sebuah unit kondominium di Sentul, di sini.

Hamidah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Berdasarkan fakta kes, pengadu sebagai eksekutif akaun syarikat produk kesihatan melayari Facebook dan melihat iklan pelaburan saham dari syarikat Malaysia daripada akaun Vip Pelaburan Group.

Wanita itu membuat pendaftaran dan menyertai pelaburan itu sebelum melakukan 10 transaksi secara berperingkat ke dalam satu akaun bank yang sama atas nama Marchell Jeff Interior Design Haus Sdn Bhd dengan jumlah keseluruhan RM173,000.

Pengadu mengaku ditipu apabila tidak mendapat keuntungan yang dijanjikan.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali menawarkan wang sebanyak sekiranya membuka syarikat dan bank akaun.

Tiada ulasan: