"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelan gencatan senjata diterima, Iran tidak akan buka Selat Hormuz sebagai ganjaran

Reuters

Islamabad: Iran dan Amerika Syarikat (AS) menerima pelan menamatkan permusuhan yang sepatutnya berkuat kuasa hari ini, sekali gus membuka semula Selat Hormuz. Sumber yang maklum berkaitan cadangan itu menyatakan kerangka penyelesaian ini dirangka oleh Pakistan dan telah disampaikan kepada Tehran serta Washington malam Ahad.

Pelan ini menggariskan pendekatan dua peringkat, bermula dengan gencatan senjata serta-merta diikuti satu perjanjian menyeluruh. Semua elemen perlu dipersetujui melalui memorandum persefahaman yang dimuktamadkan secara elektronik menerusi Pakistan selaku saluran komunikasi tunggal dalam rundingan ini.

Laporan awal menyebut bahawa AS, Iran dan perantara serantau sedang membincangkan potensi gencatan senjata selama 45 hari bagi menamatkan peperangan secara kekal. Ketua Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir, dikatakan berhubung sepanjang malam dengan Naib Presiden AS, JD Vance, utusan khas Steve Witkoff serta Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi.

Di bawah cadangan bertajuk "Perjanjian Islamabad", gencatan senjata akan bermula serta-merta bagi membolehkan laluan Selat Hormuz beroperasi semula. Tempoh 15 hingga 20 hari diperuntukkan bagi memuktamadkan penyelesaian lebih luas, termasuk kerangka kerja serantau bagi laluan laut itu dengan rundingan bersemuka di Islamabad.

Walaupun pegawai AS dan Iran belum memberikan maklum balas rasmi, Tehran sebelum ini menegaskan mereka mahukan gencatan senjata kekal beserta jaminan keselamatan daripada serangan AS dan Israel. Perjanjian akhir dijangka merangkumi komitmen Iran untuk tidak mengejar senjata nuklear sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan ekonomi serta pembebasan aset yang dibekukan.

Setakat ini, Iran dilaporkan belum memberikan komitmen rasmi terhadap cadangan yang disokong oleh Pakistan, China dan AS itu. Langkah diplomatik terbaharu ini muncul ketika ketegangan semakin memuncak yang mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak global di Selat Hormuz. Presiden Donald Trump juga secara terbuka mendesak agar konflik ini dihentikan segera.

Sementara itu, Iran tidak akan membuka semula Selat Hormuz sebagai ganjaran kepada "gencatan senjata sementara", menurut kenyataan pegawai kanan negara itu kepada Reuters pada Isnin.

Katanya, Tehran melihat Washington masih belum bersedia sepenuhnya bagi melaksanakan gencatan senjata kekal.

Pegawai itu turut mengesahkan bahawa Iran sudah menerima cadangan Pakistan bagi menghentikan pertempuran dengan kadar segera dan kini sedang meneliti perkara itu.

Beliau menegaskan Tehran enggan tunduk kepada sebarang tekanan luar bagi menetapkan garis masa tertentu atau dalam membuat keputusan penting.
-Hmetro 

Tiada ulasan: