"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi anggap remeh ‘gelombang panas’ landa PKR

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berseloroh mengenai keadaan yang semakin ‘panas’ dalam parti itu, mendakwa beliau tidak tahu-menahu tentang perkara yang berlaku kerana berada di rumah menonton siri misteri jenayah.

Menerusi hantaran di platform media sosial X petang tadi, Rafizi berkata, pada mulanya beliau menyangka bahang yang dirasai adalah akibat cuaca panas, namun rupa-rupanya politik PKR yang semakin hangat pada semua peringkat, sama ada di konvensyen mahupun mesyuarat tahunan.

Beliau berkata, menonton siri misteri pembunuhan mengajarnya cara mengenal pasti penjahat sebenar, yang biasanya tampil sebagai ‘orang baik’ pada peringkat awal.

Beliau tidak merujuk kepada mana-mana insiden secara khusus, namun awal hari ini, Rafizi terselamat daripada cubaan menyingkirkannya sebagai ketua cabang Pandan.

Turut dilaporkan perdebatan hangat yang tercetus di konvensyen PKR Johor berikutan pertembungan pandangan mengenai beliau.

Pada mesyuarat agung tahunan PKR Pandan, 42 ahli cabang mengundi menolak usul pemecatan atau penggantungan Rafizi sebagai ketua cabang, manakala 34 lagi menyokong.

Sumber memberitahu FMT, Ahli Parlimen Pandan dua penggal itu tidak menghadiri mesyuarat tersebut, manakala Timbalan Ketua Pemuda PKR Pandan Haqimi Zamri berkata, usul itu dibentangkan oleh ahli yang mahu merampas tampuk kepimpinan cabang daripada Rafizi.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR A Kumaresan menggesa Rafizi supaya meletak jawatan, menuduh bekas menteri itu cuba melemahkan parti dari dalam.

Sebagai respons, Rafizi mempersoalkan mengapa para pengkritiknya memberi beliau ‘peluru politik’ setiap minggu.

“Kalau tak ada peluru politik, saya buat ‘content’ (tentang) kucing-kucing saya sahaja,” katanya.

“Sekarang ini, kesian tak ada ‘content’ (kucing) sebab ‘queue’ content politik banyak sangat.”

Semalam, Rafizi memberi amaran bahawa gesaan agar beliau meninggalkan PKR hanya akan merisikokan parti.

Beliau lantang mengkritik kerajaan dan PKR secara terbuka sejak tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan parti lepas, sebelum meletak jawatan menteri ekonomi pada Mei tahun lepas.

Tiada ulasan: