Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang pengawal keselamatan di taman perumahan di Bandar Bukit Raja, Klang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 1 pagi tadi di sebuah pondok keselamatan taman perumahan berkenaan.
"Mangsa yang mengalami kecederaan akibat serangan fizikal dibawa ke Hospital Shah Alam namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.18 pagi.
"Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa di lokasi kejadian yang mana suspek dipercayai bertindak menyerang mangsa menggunakan objek tumpul," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara berjaya mengesan dan menangkap suspek serta merampas sebatang besi pengunci kereta yang dipercayai digunakan dalam kes itu.
"Semakan lanjut mendapati suspek berusia lingkungan 40-an itu mempunyai lapan rekod lampau jenayah serta dua rekod berkaitan dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan