"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Politik Wang Galas, Batu Sapi BERSIH Gesa Ambil Tindakan


PETALING JAYA, 11 NOV: Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berpendirian tegas agar amalan rasuah dan korupsi yang berleluasa di Pilihan Raya Kecil(PRK) Galas dan Batu Sapi yang berlaku baru-baru ini perlu diambil tindakan.

Bagaimanapun beliau mendedahkan dalam pertemuan delegasi BERSIH 2.0 dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin, hal itu tidak dapat dilakukan kerana Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) mendakwa tiada kuasa melaksanakan undang-undang tersebut.

"Pendirian kami amat jelas. Rasuah dan korupsi adalah satu kesalahan, dah bertanya kepada SPR, mengapa tidak boleh mendesak pertuduhan di mahkamah kerana itu. Jawapan mereka ialah SPR tidak ada kuasa penguatkuasaan," jelas Ambiga kepada para wartawan selepas pelancaran BERSIH 2.0 di Dewan Sivik MBPJ malam tadi.

Ambiga bagaimanapun menyatakan terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan SPR 'mendapatkan' bantuan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu melaksanakan Undang-Undang Pilihanraya.

"Tapi di bawah Perlembagaan, SPR boleh memanggil bantuan Pihak Berkuasa untuk membantu dalam apa jua situasi pilihanraya. Jadi kami mahu SPR untuk bertindak memberi tekanan kepada mereka dan jadi serius untuk menghalang korupsi dan rasuah," kata beliau.

Oleh itu, menurut Ambiga lagi, SPR tidak perlu pasif dan takut kerana keperluan kerjasama agensi berwajib amat penting dalam menghapuskan amalam rasuah dan korupsi terutamanya ketika pilihanraya.

"Sebagai contoh mereka boleh meminta bantuan polis samada di pusat pengundian atau tempat lain. Seperti di India, apabila pilihanraya, semua pihak berkuasa bersatu tenaga membantu untuk Pilihanraya tapi di sini ia tidak terlalu menyeluruh. Tapi memang ada peruntukan perlembagaan untuk perkara ini," kata beliau.

PRK Galas dan Batu Sapi dicemari tuduhan salah laku pilihan raya dan rasuah apabila wartawan mendedahkan pemberian wang daripada Wanita Umno kepada para pengundi di Batu Sapi namun tidak dijawab langsung oleh SPR.

Malah pemberian projek-projek segera yang berlaku bagi meraih undi juga dilihat berleluasa terutamanya di Galas apabila Timbalan Perdana Menteri tiba-tiba mengumumkan pembinaan Projek Perumahan Kos Rendah bernilai RM 180 juta di Galas.
-tvsnews-

Tiada ulasan: