KUALA LUMPUR, 11 Nov: Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub menegaskan sokongan penuh beliau kepada Datuk Seri Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak pernah berubah.
Sehubungan itu, beliau membantah dan menafikan laporan akhbar Berita Harian semalam yang menyiarkan caption tertulis “Mustaffa Kamil (kiri) dan Zaid menunjukkan memorandum mendesak Anwar dan Mohamed Azmin supaya berundur pada sidang media di kediaman Zaid di Kuala Lumpur, semalam”.
"Saya membantah sekeras-kerasnya laporan yang salah di dalam caption gambar tersebut kerana memorandum yang ditunjukkan di dalam gambar tersebut bukan sama sekali untuk mendesak Dato’ Seri Anwar dan Sdr Azmin berundur," kata Mustaffa Kamil calon timbalan presiden PKR dalam kenyataan medianya hari ini.
Menurutnya, memorandum itu adalah untuk meminta pembatalan dan penjalanan semula Pemilihan Kepimpinan KEADILAN 2010 dan kandungannya diketahui oleh Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah.
"Sidang media memaklumkan penyerahan memorandum mengenai JPP dihadiri oleh Datuk Zaid Ibrahim dan setelah selesai, saya meninggalkan sidang, yang kemudian diteruskan oleh Datuk Zaid Ibrahim tanpa kehadiran saya," katanya.
Bagi Mustaffa, sokongan penuh beliau kepada Anwar tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan sedia diakui oleh kebanyakan ahli-ahli parti berdasarkan rekod beliau yang sentiasa konsisten mempertahankan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepanjang 12 tahun beliau terlibat dalam perjuangan reformasi.
"Saya percaya bahawa PKR, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia seluruhnya amat memerlukan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh pembaharuan yang mampu membawa perubahan besar kepada negara," katanya.
Menurutnya, memorandum yang dihantar dua hari yang lalu adalah berdasarkan rintihan suara akar umbi yang terbabit dengan proses pemilihan parti 2010 dan memfokuskan kepada masalah dan kepincangan di sekitar perjalanan Pemilihan Kepimpinan 2010 yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
"Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah telah menyambut baik dan akan mempertimbangkan kandungan memorandum tersebut berdasarkan jaminan yang saya terima dalam pertemuan saya dengan kedua-dua pemimpin tersebut pada hari yang sama," katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran agar jangan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menyelewengkan fakta dan menabur fitnah dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti Anwar, beliau sendiri dan pemimpin-pemimpin parti yang lain.
"Saya dengan ini menuntut supaya Berita Harian memohon maaf secara terbuka dan membuat pembetulan atas laporan tersebut dalam tempoh 24 jam. Sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat demikian, saya terpaksa mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran," katanya.
-harakahdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan