"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BERSIH 2.0 Dilancar Tuntut Reformasi Pilihanraya


PETALING JAYA, 7 NOV: BERSIH 2.0 akan dilancarkan pada 10 November ini di Dewan Sivik MPPJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya selepas siri pilihanraya kecil menyaksikan berlakunya penyelewengan,sogokan dan perlunya reformasi pilihanraya dilaksanakan  sebelum PRU-13.

"BERSIH 2.0 percaya hanya menerusi pilihan raya yang bersih dan adil sahaja seseorang warganegara mampu mengenalpasti hala tuju mereka dan berharap pihak yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan sesebuah pemilihan itu bertindak dengan telus dan berkesan. Perjalanan untuk reformasi pilihan raya adalah ranjau di dalam proses demokratik bagi mendapat kedaulatan undang-undang dipulihara, hak asasi manusia dilindungi, urustadbir baik dan pengelastarian di dalam pembangunan Negara. Sebagai warganegara kita boleh menjadikan impian ini satu kenyataan."

BERSIH bermula dengan penubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak Bersama bagi reformasi sistem pilihanraya pada Julai 2005. Objektif gabungan yang ditubuhkan ialah untuk mendesak sebuah reformasi dalam proses pilihanraya di Malaysia.

Pelancaran BERSIH 2.0 adalah berhasrat untuk mewujudkan  pilihan raya yang bersih dan adil. 

BERSIH dilancarkan secara rasminya pada 23 November 2006 di Parlimen Malaysia. Ia dihadiri oleh pemimpin-pemimpin parti politik, kumpulan masyarakat dan NGO, termasuk Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Publisiti Pusat dan Ahli Parlimen Seputeh, TereseKok; Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub; Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan; Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud; Pengarah Eksekutif WDC, Maria Chin Abdullah dan Pengarah Eksekutif SUARAM, Yap Swee Seng.
Isu-isu utama di dalam tuntutan reformasi pilihan raya termasuk :

1.Pembersihan sepenuhnya senarai pemilih bagi memastikan sebarang penipuan disisihkan dan senarai pemilih yang penuh dengan integriti.

2.Penggunaan dakwat kekal (seperti yang dijalankan di Indonesia dan India) bagi menghalang pengundian berganda.

3.Reformasi di dalam pengundian pos dengan memansuhkan senarai pemilih yang berasingan yang sedia ada bagi pengundi-pengundi pos dan juga untuk menjadikannya sistem yang lebih fleksibel bagi semua pengundi - di dalam mahu pun di luar Negara, dengan alasan munasabah untuk memilih untuk menjadi pengundi pos.

4.Akses media yang bebas dan adil untuk kesemua parti yang bertanding, termasuk: (a) media akses yang bebas terhadap media milik kerajaan terutamanya televisyen dan radio; (b) akses pembayaran (iklan politik) adil di dalam media swasta; dan (c) peruntukan di dalam hak untuk menyerang balas terhadap kesemua parti yang bertanding dan wakil-wakil yang bertanding yang sebelumnya mendapat liputan negatif di dalam laporan-laporan berita.

5.Tempoh kempen minima 21 hari yang bermakna.

6.Amalan-amalan adil dan professional di dalam persempadanan kawasan supaya mengurangkan pembahagian yang tidak adil (malaportionment, gerrymandering) yang seterusnya menyebabkan pembahagian kerusi dan undi yang tidak seimbang.

7.Pendaftaran otomatik untuk semua pengundi yang layak.

8.Pengurangan kelayakan umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.

9.Reformasi di dalam urusan kewangan pilihan raya bagi memastikan ketelusan dan menghadkan kecenderungan terhadap politik wang.

10.Pentadbiran yang tidak berat sebelah di semua peringkat kerajaan sebelum, selepas dan semasa pilihan raya kecil bagi badan perundangan di peringkat persekutuan mahupun negeri.

11.Menegaskan hak semua pelajar berumur 18 tahun ke atas, yang mengambil bahagian di dalam politik di dalam dan di luar kampus.
-tvsnews-

1 ulasan:

Mohamadazhan.com berkata...

salam sahabat, menarik jg. tetapi PR yang terlalau nmpak salah pada sistem Pilhan raya sahaja, tetapi sistem dalaman PR dan perlu wujud keistimewaan tersendiri yang membolehkan rakyat memberi sepenuh keyakinan kepada PR.