Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 16 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menyerahkan memorandum ke ibu pejabat Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin, di sini, jam 9.00 pagi esok, bagi mendesak Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung penyiaran kartun menghina Islam di akhbar itu, semalam.
Sehubungan itu, orang ramai yang prihatin dengan kepentingan Islam digesa bersama-sama Dewan Pemuda PAS Pusat ke ibu pejabat akhbar milik Umno itu di alamat 46M, Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, berdekatan LRT Chan Sow Lin bagi melakukan penyerahan memorandum tersebut.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi (gambar) menegaskan, penyerahan memorandum tersebut merupakan langkah awal oleh pihak pemuda PAS bagi mendesak Utusan Malaysia memohon maaf berhubung kesilapan besar yang dilakukan itu.
Menurut beliau, sekiranya desakan itu tidak dihiraukan oleh Utusan, Pemuda PAS akan mengadakan bantahan lebih keras dengan mengadakan demonstrasi besar-besaran.
Katanya, tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan kartun menghina Islam semalam merupakan satu kesalahan besar yang tidak boleh dibiarkan.
"Karikatur itu jelas mempersendakan hukum dan agama Islam, apabila ia dilukis dengan memberi mesej dan gambaran hukum Islam sangat lemah sedangkan hukum Islam itu datangnya dari Allah, sifatnya adil dan pelaksanaannya sudah terbukti berkesan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Karikatur itu juga, menurut beliau, menggambarkan kolotnya Islam dengan seorang lelaki berjubah dan berserban menyelesaikan masalah berbanding dengan anggota polis, sekali gus menghina seluruh umat Islam.
Selain itu, ujarnya, ia cuba mengelirukan umat Islam dengan memperlihatkan hukum zina secara permukaan (surface) sedangkan hukum itu masih ada perinciannya dan untuk menjatuhkannya tidak semudah itu.
"Tindakan Utusan menyiarkan kartun itu, jelasnya, menimbulkan kemarahan umat Islam dan turut memperlihatkan niat Utusan untuk menimbulkan keadaan tidak menentu di kalangan umat Islam berhubung perlaksanaan hukum Allah," tegasnya.
Lakaran kartun yang disiarkan Utusan semalam bermotifkan sebagai satu penjelasan berhubung kekeliruan kes rogol, dengan memperlihatkan sikap Utusan yang sangat jahat apabila membenarkan sebuah karikatur yang mengakibatkan imej negatif kepada agama Islam.
Karikatur tersebut cuba menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol dan membuktikannya dengan rakaman handphone, tetapi ditolak oleh tok penghulu kerana tiada empat saksi.
Manakala ketika wanita yang sama mengadu kepada polis, bukti rakaman rogol menggunakan telefon bimbit diterima oleh pihak polis.
Sindiran yang menghina itu dipercayai sengaja dicipta selepas PAS menolak ciptaan terbaru pemimpin Umno dengan video seks yang didakwa oleh mereka membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan