Nasruddin Hassan
1. Terkilan benar perasaan saya apabila terpampang wajah sdr Bob Lokman di dada akhbar sebagai orang yang dikehendaki oleh JAIS untuk ditangkap malah waran tangkap telah pun dikeluarkan, sebagaimana terkilannya saya apabila pihak Universiti Islam Antarabangsa menggantung tugas Prof Dr. Abd Aziz Bari baru - baru ini. Apakah telah hilang budi bicara sang penguasa dalam negara ini ? Asal sahaja kuasa di tangan, biarpun hanya sekelumit dan sementara maka rakusnya tak ubah seperti mereka berkuasa selamanya.
2. Saya tahu, "dosa" Bob Lokman ialah kerana menyampaikan ceramah atau tazkirah tanpa tauliah. Begitulah peraturan yang ada. Mengajar tanpa tauliah itu salah menurut peraturan yang dikeluarkan oleh pihak JAIS. Saya tidak mahu mempersoalkan peraturan tersebut kerana asasnya peraturan itu dibuat adalah untuk mengawal penyebaran dan kesucian agama Islam.
3. Persoalan yang mahu saya tegaskan di sini ialah dimana budi bicara JAIS ? sebagaimana JAIS menggunakan budi bicaranya untuk tidak menyerbu masuk DUMC tempohari walaupun mereka bertindak dari maklumat yang dilaporkan dan saya menyokong langkah tersebut, maka kemana pula perginya budi bicara itu terhadap Bob Lokman ?
4. Bob Lokman seorang artis dan seleberiti yang baru berhijrah, menjalani kehidupan barunya bersama jamaah Islam. Saban minggu Bob Lokman menyertai usrah dan majlis ilmu. Lebih menarik, sedikit ilmu yang beliau perolehi maka segera disebarkan melalui kemahirannya berkomunikasi dengan audien. Kini Bob Lokman berjaya menarik minat anak - anak muda kepada majlis ilmu dan berjuang bersama jamaah Islam.
5. Malangnya, semangat beliau untuk aktif menuntut dan menyampaikan ilmu terganggu ekoran tindakan JAIS. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Bob Lokman sendiri betapa beliau turut sedih kerana sepanjang beliau berada dalam dunia artis dan hiburan, beliau tidak pernah diancam dan rasa terancam oleh mana - mana pihak berkuasa khasnya pihak berkuasa agama. Tetapi, apabila beliau mula mahu berubah, menuntut ilmu dan menyampaikannya serba sedikit apa yang beliau tahu, kini beliau berdepan dengan ancaman JAIS yang telah pun memiliki waran untuk menangkap beliau.
6. Dosanya hanya kerana tidak mempunyai tauliah. Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi, apakah tiada budi bicara JAIS terhadap Bob Lokman untuk menyelesaikan perkara ini tanpa perlu memburu dan menangkapnya seperti penjenayah ?
7. Tujuan tauliah ialah untuk mengawal kesucian agama islam agar tiada pembawa ajaran sesat bebas menyampaikan ajarannya. Justeru itu, alangkah baik jika pihak JAIS memanggil atau menyiasat terlebih dahulu, apakah Bob Lokman terlibat dalam aktiviti ajaran sesat ? apakah penyampaian Bob Lokman bertentangan dengan ajaran Islam ? Jika tidak, maka kesalahan tidak memiliki tauliah itu bolehlah diselesaikan secara lebih baik dan harmoni tanpa perlu menangkapnya laksana seorang penjenayah.
8. Saya menggesa agar pihak JAIS lebih mesra pendakwah dan mencari jalan bagaimana mekanisme pemberian tauliah itu dapat dilakukan dengan baik dan berkesan . Jika mereka didapati salah dalam penyampaian dan tidak menepati peraturan yang ada, pihak JAIS boleh mendidik dan membimbing atau memberi nasihat dan tunjuk ajar. Saya menegaskan perkara ini kerana melihat kepada realiti yang dihadapi oleh ummat Islam hari ini yang sangat memerlukan pendakwah dan pembimbing untuk mengeluarkan mereka dari kepungan jahiliah moden yang semakin meruncing dan mengelirukan sehingga nilai akhlak, moral dan aqidah ummah kian luntur.
9. Bayangkanlah keadaan ummat Islam di negara kita sekarang ! Sudahlah mereka berdepan dengan pelbagai ancaman yang merosakkan nilai ilmu, agama dan iman mereka, kini mereka terus terasing dan semakin sulit untuk mendekati kehidupan beragama. Masjid sepi tanpa majlis ilmu sementara pendakwah ditangkap. Lebih malang pemburunya adalah Jabatan Agama sendiri. Bagaimanalah kita mahu melahirkan masyarakat yang solehah dengan rakyat yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt ?
10. JAIS selayaknya menjadi penaung kepada kegiatan ilmu dan agama, bukan pengancam dan pengugut sehingga menakutkan orang mahu menyampaikan Islam sedang Nabi saw mengajar kita semua menyampaikan ilmu Islam ini walaupun satu ayat ! Saya cadangkan agar JAIS mengambil tindakan segera lalu menganugerahkan tauliah secara menyeluruh kepada para pendakwah yang gigih dan benar ilmu mereka.
"Lebih merugikan kalau ada yang memiliki tauliah tetapi hanya diam di pejabat berhawa dingin. Segan dan malas untuk turun ke masjid surau bagi mendidik dan membimbing ummah. Lebih memilukan apabila pihak Jabatan Agama Islam hanya peka menghidu kegiatan pendakwah dan penceramah tanpa tauliah sekalipun nun di masjid hujung kampung sedang mereka gagal mengesan pelbagai kemaksiatan dan kemungkaran yang wajib dicegah sekalipun hanya di sebelah pejabat mereka."
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
1 ulasan:
budak-budak tabligh tu senang-senang bicara tentang ilmu dan amal di masjid dan surau. yalah agaknya tidak politik, sedangkan bob bercakap dalam kelompok PAS, agaknya jika dia bercakap dalam kelompok UMNO tentu tak jadi begini. jelas UMNO dianggap kelas pertama oleh JAIS manakala yang menentangnya akan dianggap tak layak dan tak bertauliah.
Catat Ulasan