Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bahawa anak perempuannya bukan berada di Australia semasa beliau menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini.
Justeru, katanya orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan.
"Jangan percaya atau sebar pembohongan. Malah, anak perempuan saya tidak berada di Australia dan isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) tidak membeli apapun barang kemas," kata Najib dalam Twitter terbarunya yang dipetik Bernama.
Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis perdana menteri membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia.
Berita itu kemudiannya dipetik oleh para penulis blog pembangkang dan akhbar web rasmi PKR, Keadilandaily.
Selain itu, laporan bertajuk ‘Delegates go shopping and sightseeing’ atau 'Perwakilan membeli-belah dan bersiar-siar' juga dimuatkan di banyak laman Facebook.
Akhbar Australia itu melaporkan bahawa peniaga membuat keuntungan yang besar apabila seorang wanita pertama yang tidak dinamakan membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' membelanjakan A$60,000.
Ia memetik pengarah negeri bagi CHOGM Richard Muirhead sebagai berkata bahawa aktiviti masa lapang dan ekspedisi membeli-belah berkenaan diatur untuk perwakilan asing di luar jadual mesyuarat CHOGM yang ketat itu.
Najib dan Rosmah kini sedang mengerjakan ibadat haji di tanah suci.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan