Rahman Shaari
Sejumlah nama yang memuatkan huruf Z amat dominan dalam kehidupan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum Anwar terkeluar dari Umno, Datuk Zahid Hamidi ialah tokoh berhuruf Z yang kuat menyokongnya. Melalui taktik Machiavellian, Anwar merestui Zahid berpidato tentang nepotisme dan kronisme. Itu berlaku dalam Persidangan Umno 1998
Anwar memerlukan Zahid dalam hal di atas, kerana beliau sendiri tidak mahu berlawan secara langsung dengan Tun Mahathir Mohammad. Hal ini demikian kerana dalam persidangan sebelumnya, iaitu pada 1996, Anwar telah berjanji melalui pantun:
Angkut-angkut terbang ke langit Sampai di langit dimakan merbah; Biar bertangkup bumi dan langit, Setia hamba tidak berubah.
Meneliti pantun itu, jika mengikut prinsip ‘janji ditepati’, Anwar kekal setia kepada Mahathir.
Tidak disedari ramai lama dahulu Anwar ada teman-teman lain berhuruf Z. Mereka ialah Azmin Ali dan Ezam Mohd Noor. Dalam kalangan orang akhbar, ada Datuk Nazri Abdullah. Apabila Anwar dipecat, Azmin dan Ezam mengikutnya. Nazri pula hilang dari meja akhbar arus perdana.
Kawan-kawan Anwar yang lain, yang ada huruf Z ialah Shazril Eskay Abdullah dan Dr Azizan Bahari. Shazril Eskay ahli perniagaan, manakala Azizan bertugas di Institut Kajian dasar (IKD). Apabila Parti Keadilan Nasional ditubuhkan, pemimpinnya berhuruf Z, iaitu Wan Azizah Wan Ismail. Timbalannya juga berhuruf Z, iaitu Dr Chandra Muzaffar.
Kini, dalam parti itu (yang bertukar nama menjadi Parti Keadilan Rakyat), muncul pemimpin lain yang berhuruf Z juga, iaitu Nurul Izzah Anwar.
Shazril Eskay mungkin tidak rapat lagi dengan Anwar pada masa ini. Demikian juga halnya dengan nama-nama lain, iaitu Zahrain Mohammad Hashim, Wakil Parlimen Bayan Baru dan Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu. Mereka pernah menjadi penyokong kuat Anwar.
Tokoh berhuruf Z, Zaid Ibrahim, yang sedang selesa sebagai menteri dalam Kabinet Tun Abdullah Badawi, tiba-tiba terilham untuk menyertai Anwar dalam PKR. Demikianlah kuatnya kuasa huruf Z dalam kehidupan Anwar.
Kuasa itu pada mulanya menarik ke arahnya, kemudian menolak menjauhinya. Zaid meninggalkan Anwar, sama seperti yang dilakukan oleh Zahrain Mohammad Hashim, Zulkifli Noordin dan Shazril Eskay. Bahkan, Zaid Ibrahimlah penyokong kuat Anwar yang mengambil masa paling singkat. Sokong sekejap, pergi.
Perlu disebutkan, ketika Ezam Mohd Nor menjadi Ketua Pemuda Keadilan, lelaki garang yang juga berhuruf Z, iaitu Muhammad Zahid Md Arip ialah Ketua Penerangan. Zahid yang amat mengagumi Anwar ketika itu, kini berada di luar PKR, dan menubuhkan kumpulan yang dinamakan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai). Beliau ialah Mursyidul Am Tibai.
Baru-baru ini, akhbar menamakan tokoh-tokoh yang dikatakan anggota Kabinet Bayangan pimpinan Anwar. (Utusan Malaysia, 4 Oktober 2012). Antara anggota Kabinet Bayangan itu, nama-nama yang memuatkan huruf Z ialah Wan Azizah, Mohammad Nizar, Azmin Ali, Elizabeth Wong, Zuraidah Kamaruddin, Nurul Izzah, dan Rafizi Ramli. Maka ternyatalah huruf Z mendekorasikan Anwar.
Saya fikir, sesekali elok diperlihatkan fenomena yang tidak disedari umum. Saya mahu mengatakan besar sekali jumlah penyokong kuat Anwar yang ada huruf Z. Mereka mungkin kekal menyokongnya, mungkin juga mengundur diri. Dalam kalangan penyokong kuat masa kini, perhatikan Azizah, Izzah, Azmin dan Rafizi. Jangan juga lupa akan Sim Tze Tzin, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan anak muda yang bernama Rozan Azen Mat Rasip.
Itu ialah orang kuat yang sedang kukuh berada di belakang Anwar. Sebaliknya, Dr Chandra Muzaffar meninggalkan Anwar, sama seperti Ezam, Zahrain, Zulkifli, Zahid Md Arip, Zaid Ibrahim dan Shazril Eskay. Jika saya ditanya, siapakah tokoh PKR yang paling berpotensi melakukan tindakan seperti Ezam, jawapan saya tentulah Rafizi, kerana beliau hebat dan garang.
Zahid Hamidi dalam kategori lain, menyamai Datuk Nazri Aziz. Mereka kekal dalam kerajaan.
Dalam tanggapan penyokong pembangkang yang taksub, orang-orang yang meninggalkan Anwar dianggap pembelot, manakala yang kekal menyokong Anwar adalah pejuang. Saya yakin, Anwar sendiri tidaklah demikian. Bagi Anwar, rapat atau renggangnya seseorang dengannya adalah kebiasaan politik, kerana musuh dan kawan tidak abadi.
1 ulasan:
penulis yakin nuar menganggap..
melapah pembelot bukanlah pejuang..seperti mana ditunjukkan oleh penyokong pembangkang yang taksub..eh? betul gak.kalau keluar dari kepompong hanyir anuar mereka bukan leh dikata pembelot..tetapi sebagai pejuang kebenaran..meh jadi pejuang! kan kan
untuk sekian kali diperkatakan musuh dan kawan bukan diukur semata2 oleh nafsu politik tetapi persaudaraan bagi kontek agama.
40 leemsR
Catat Ulasan