AHMAD LUTFI OTHMAN
Himpunan Kebangkitan Rakyat, yang dijadual petang Sabtu depan, 12 Januari 2013, sekitar Stadium Merdeka, nampaknya belum lagi diberi "publisiti percuma" oleh media Umno. Pihak polis pun masih enggan membuka mulut.
Lantaran itu, ada rakan-rakan yang diusik kebimbangan dengan jumlah kehadirannya nanti. Bagaimanapun, saya optimis kali ini, ia bakal mencatat rekod perarakan paling besar pernah disaksikan di ibu kota.
Memang targetnya cukup besar. Mengumpulkan satu juta orang. Sasaran yang dikira berpadanan dengan objetif utama perhimpunan, iaitu memastikan tiada penipuan dalam pilihan raya nanti.
Sebelumnya, melalui siri himpunan Bersih sejak 2007, hanya sekitar 100,000 ... dan berjaya. Dalam Bersih 3.0, pada 28 April 2012, dianggarkan hampir suku juta hadir.
Dilihat gerakerja yang bermula di majlis pelancaran, Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan, 3 November lalu, kemudiannya mendapat sambutan meriah di peringkat zon dan negeri, program kemuncak di Kuala Lumpur ini begitu "menjanjikan".
Tahun lalu, Himpunan Bersih 3.0 pun tiada "publisiti percuma" di peringkat awal. Akhirnya kecoh dan heboh juga seluruh negara.
Mungkin strategis BN mengambil iktibar daripada gembar-gembur dan riuh-rendah yang sia-sia seperti laporan polis beramai-ramai, larangan pakaian kuning dan amaran agar menjauhi Dataran Merdeka; ia hanya mempopularkan "demonstrasi haram" itu!
Secara peribadi, seperti tahun lalu, saya berazam untuk turut sama memeriahkan, walaupun terpaksa menempah hotel berdekatan pada petang Jumaat lagi. Malu untuk menjadikan keuzuran dan jalan bertongkat sebagai alasan menjadi pemerhati pasif. Acara hebat seperti ini mesti dirasai, dihayati dan dinikmati bersama.
Lagipun, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam perutusan khasnya, menyeru masyarakat "walau apa situasi dan kondisi mereka sekalipun, selagi terdaya hadir pada program itu walaupun terpaksa berkerusi roda".
Lebih menarik, himpunan rakyat ini dapat menjadi medan terbuka untuk exercise beramai-ramai, dalam suasana mesra. Bukankah berjalan 10,000 langkah sehari itu satu amalan yang baik untuk kesihatan dan menjadi kempen Kementerian Kesihatan?
(Ya... baru saya tersedar, bagus juga aktiviti perarakan atau berjalan kaki dalam program-program besar seperti Lynas, demonstrasi PTPTN dan lain-lain).
Seperti diingatkan penggerak utamanya, Mohamad Sabu, ia adalah himpunan paling aman dan berkonsep santai, juga boleh membawa keluarga bersama. Beliau percaya, himpunan itu bakal memberi keuntungan berganda kepada para peniaga dan hotel juga akan penuh.
Apa pun, objektif utama menghimpunkan sejuta orang di pusat bandaraya Kuala Lumpur, sebelum Parlimen dibubarkan itu, tidak harus dikompromi.
Dalam suasana ceria dan relax, sambil berkenalan dengan rakan-rakan baru, bertanya khabar sahabat lama atau bertembung kawan yang terpisah, maka tujuan terpenting masih berlegar isu proses pendemokrasian, atau lebih tepat memastikan Pilihan Raya Umum Ke-13 berjalan secara bersih, bebas dan adil.
Pelbagai tuntutan telah dikemukakan, termasuk dalam ketiga-tiga tunjuk perasaan Bersih terdahulu, begitu juga siri pertemuan dan dialog dengan SPR. Tidak banyak kejayaan yang dicatat dan sistem kita masih kekal bobrok, kotor dan tempang.
Lalu, tentu ramai yang bertanya, apakah himpunan terbesar ini akan membawa manfaat kepada proses reformasi politik yang sebenarnya? Atau sekadar satu pesta yang bakal berakhir -- seperti biasa -- dengan tembakan gas pemedih mata, kekasaran polis dan juga fitnah media di malamnya, serta ulangan "keganasan" demonstran di kaca TV?
Bagi saya, aspek terpenting adalah jumlah kehadiran pada hujung minggu itu. Walaupun ia bukan gelanggang beradu kekuatan, namun harus disedari bahawa mesej jelas kepada elit penguasa hanya dapat disampaikan apabila gema suaranya lebih lantang dan nyaring!
Tok Guru Nik Aziz, semasa menyeru orang ramai turun pada 12 Januari ini, menekankan: “Kerajaan tidak pernah mendengar suara rakyat, jadi perlu kita turun beramai-ramai untuk menyatakan bantahan ini.”
Dalam pada itu, penghargaan harus dikalung buat para aktivis, khususnya anak-anak muda, termasuk warga kampus, yang bergerak lincah menyusun pertemuan di seluruh pelosok negara. Mereka bertungkus-lumus berikhtiar menjayakan misi besar ini.
Saya sebenarnya lebih tertarik dengan rumusan Hishamuddin Rais, juga aktivis penting Bersih: "Satu juta rakyat berhimpun adakah amaran yang cukup jelas: Jangan tipu dalam PRU13.Jika pengundi dan rakyat merasakan mereka ditipu dalam PRU13 ini, bukan hanya satu juta yang akan turun, bukan dua juta tetapi berjuta-juta rakyat akan ke jalan raya."
II. Tukang karut dan pembohongan media
Semasa TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian terus melemparkan tuduhan tidak berasas berunsur fitnah -- dan disifatkan menghina Sultan Perak -- berkaitan kawasan balak Kelantan kepada dua pemimpin DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Ngar Kor Ming, saya lebih lebih terkesan dengan tujuh soalan penting Ngeh kepada Menteri Besar, Dr Zambry Abdul Kadir.
(Manakan tidak menghina Raja Perak, apabila pemimpin Umno mendakwa PAS Kelantan merasuahkan pemimpin DAP pada 2008 supaya berkompromi bersetuju dengan Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, sedangkan perlantikan MB dibuat selepas Sultan mempertimbangkan ketiga-tiga calon daripada PAS, DAP dan KeADILan).
Soalan-soalan yang dikemukakan dalam sidang Dun baru-baru ini masih belum dijawab. Antaranya, isu mengenai penerima tanah seluas 68,503 ekar yang diluluskan dengan nilai sekitar RM375 seekar tanpa tender terbuka.
Selain itu, mengapa tanah seluas enam ekar di bandar Sitiawan dianugerah kepada Kinta Berkat Sdn Bhd tanpa tender terbuka dan apakah syaratnya? Mengapa tanah (prime land) 15 ekar di Mukim Lumut diluluskan kepada Realty Axis Sdn Bhd; tanah 32.07 ekar di Mukim Kamunting, kepada YBU Holding Sdn Bhd; 147.84 ekar di Mukim Lumut, kepada Kinta Berkat Sdn Bhd; 58 ekar di bandar Lumut kepada J & S Holdings Sdn Bhd; dan 40 ekar di Perak Tengah (Sri Iskandar) kepada Toyo Chemicals Sdn Bhd juga; semuanya tanpa tender terbuka?
Pelik apabila media Umno terus memilih pendekatan primitif, dengan mengulangi pembohongan demi pembohongan, meskipun fitnah berkaitan tanah di Gua Musang itu berjaya disanggah dengan fakta kukuh, khususnya dari segi tarikh-tarikh penting.
Mungkin mereka beranggapan masih ramai rakyat yang mudah diperbodohkan melalui sentimen perkauman dan kedaerahan sempit? Kepada tukang-tukang propaganda ini, orang ramai dilihatbegitu dungu untuk mempercayai apa saja tohmahan yang dilemparkan.
Selain itu, lihat sajalah "siaran ulangan" kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang sudah beberapa kali mengingatkan pengundi agar jangan bereksperimen untuk menukar kerajaan, seolah-olah hanya BN layak untuk bertakhta sampai bila-bila.
"Memberi tempoh lima tahun kepada pembangkang sebagai kerajaan cukup bahaya. Banyak perkara boleh musnah dalam tempoh itu," kata Mahathir sambil membentangkan "rekod buruk" Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan! Entah berapa ramai yang muak dan jelak dengan peringatan itu.
Tentunya majoriti pengundi tidak sabar-sabar lagi untuk membuktikan kepada tukang-tukang karut penasihat media Najib Razak itu bahawa zaman meremehkan tahap pemikiran rakyat sudah lama berlalu.
Dan medan terbaiknya ialah PRU13 -- permulaan bermakna bagi menyaksikan perubahan benar-benar mengambil tempat. Ya, sang pemberani akan bersama-sama membentuk Malaysia yang lebih selesa untuk didiami.
III. Tuduhan palsu Memali mesti dihentikan
Dr Rais Yatim tidak menunggu lama untuk menarik balik kesediaan kerajaan agar Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang diajak berdialog dalam siaran langsung televisyen mengenai "amanatnya" dengan alasan yang dipertikai umum.
Begitulah lumrahnya ... apabila gayung bersambut, pelbagai daleh diada-adakan bagi membatalkannya selepas menyedari ia bakal menjejaskan kepentingan politik Umno. Segalanya adalah gerak untuk menjatuhkan lawan menjelang PRU13.
Sebelum itu, ramai mengharapkan "isu jadi-jadian" ini dapat ditamatkan dengan baik.
Rakan saya, Dr Mohamad Agus Yusof memberi reaksi dalam FB, pada 29 Disember 2012: "Saya tertarik dengan permintaan TG Haji Hadi supaya media perdana memberikan beliau tempoh sejam untuk menjelaskan pendiriannya tentang Amanat Haji Hadi. Amanat ini sudah lama menjadi 'isu politik' dan kini sudah sampai masanya dengan apa juga cara TG Haji Hadi memberikan penjelasan. We have to make a full stop kepada isu ini once and for all kerana ia menyakitkan pemahaman rakyat tentang Islam dan agama. "
Bukan saja Dr Agus yang kecewa, ramai lagi tidak berpuas hati dengan permainan politik Umno yang tidak berkesudahan ini.
Budak-budak sekolah pun dapat menelah mengapa secara tiba-tiba "Amanat Haji Hadi" ditimbulkan semula. Hampir 30 tahun lalu, debat PAS-Umno mengenai isu yang hampir sama -- kafir-mengkafir -- juga dibatalkan. Segala persiapan diatur, termasuk menentukan ketiga-tiga pendebat setiap parti.
Ketika kerajaan bertindak bacul enggan memberi peluang Ustaz Hadi bersiaran di TV, isu "amanat" ini terus diputar-belitkan secara meluas di media. Tak perlu bicara tentang Utusan Malaysia; memang amalan rutinnya. Setiap hari, ia menjadi paparan muka depan, dengan mengitar semula peristiwa lama dan ditonjolkan kisah-kisah yang sukar dipastikan kebenarannya.
Selepas peluang Presiden PAS membuat penjelasan tertutup rapat, malam Rabu lalu, 2 Januari, TV3 menyiarkan forum membincangkan hal "amanat", antara lain, penalisnya, Abd Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara. Mengapa tidak dijemput saja Ustaz Hadi untuk duduk bersama?
Maka, untuk kesekian kalinya, Rahim bebas menabur tohmah, termasuk mengaitkan "amanat" dengan peristiwa Memali 1985.
Beberapa hari sebelum itu, Mingguan dan Utusan Malaysia menyiarkan wawancara dengannya, dua hari berturut-turut, memfitnah Asyahid Ustaz Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya.
Tergamak beliau untuk terus melakukan pendustaan terhadap orang-orang yang telah meninggal dunia secara tragis. Secara peribadi, saya tidak mampu untuk membaca keseluruhan kenyataannya yang kotor dan hanyir itu.
Sudah sampai sampainya isu Memali "dibersihkan sebersih-bersihnya". Usah diulang lagi kisah pedih yang terluka itu, apatah lagi dalam versi yang disalut pembohongan.
Tuduhan dan fitnah terhadap Asyahid bukan saja mesti dihentikan, malah kerajaan harus meminta maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan palsu, termasuk dokumen rasmi mengenainya, yang berunsur fitnah, seperti Kertas Putih Memali, yang diterbitkan pada 25 Februari 1986.
Di TV1, pada jam 9 malam, Jumaat, rancangan bual bicara RTM secara langsung, Bicara Rakyat, juga menimbulkan isu sama. Dan ahli penalnya ialah bekas pemimpin PAS, Dr Hassan Ali dan seorang lagi bekas aktivis Parti Islam itu.
Begitulah nasib malang pengguna media di Malaysia, khasnya penonton TV. Kita hanya disogok dengan pandangan satu hala. Jika mahu membincangkan soal berkaitan PAS, maka yang diheret ke studio ialah bekas pemimpin parti, yang hanya akan meluahkan segala yang buruk-buruk tentang PAS!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan