"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu OKU Terabai: Wa caya lu Wardina


Isu Semasa PENEMUAN remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, pada Sabtu lalu, di Flat Semarak, Nilai, mendapat perhatian seluruh masyarakat.

Di saat masing-masing sedang membuat andaian sendiri, kenyataan yang dikeluarkan pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah, mengenai nasib remaja OKU ini mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Wardina menerusi Instagram, berkata perkara ini berpunca daripada ibu bapa remaja OKU yang tidak diberikan bantuan.

Malah, Wardina turut membandingkan sistem pengurusan kerajaan dan polisi negara ini dengan tempat kediamannya, Australia.

Walaupun ada yang menyokong tindakan Wardina yang dilihat lantang bersuara, namun ada juga yang memandang negatif terhadap kenyataan selebriti ini.

Malah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, membidas kenyataan Wardina dan memberitahu bahawa kerajaan sebenarnya telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keperluan remaja berkenaan dipenuhi.

Meskipun dikritik, dicemuh dan menerima tohmahan, namun Wardina tetap positif dan berpegang teguh kepada kenyataannya sebelum ini.

"Perasaan saya tidak penting. Yang penting adalah perasaan ibu bapa yang selama ini menjaga anak-anak OKU.

"Jangan tanya saya, tanyalah ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU, bagaimana perasaan mereka sepanjang menjaga anak-anak istimewa ini.

"Tanya juga kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dengan perkara ini seperti Orkids.

"Saya pernah bekerjasama dengan mereka," katanya menerusi perbualan di Facebook miliknya.

Kongsi kisah rakan

Dalam pada itu, Wardina juga turut berkongsi kisah rakannya di Facebook yang perlu menjaga suaminya yang berstatus OKU.

Menerusi tulisan itu, suaminya dikatakan mengidap sejenis penyakit kulit bersisik (Psoriasis) dan bengkak sendi seluruh badan (rheumatod arthritis) yang kronik, terpaksa menunggu lebih setahun untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, dia turut menyokong pendapat Wardina yang dilihat dapat membantu dalam menyedarkan kerajaan mengenai kesukaran untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Selain itu, menerusi tulisan itu, pemilik akaun bernama, Khairun Darwani Khairuddin, permohonan untuk mendapatkan bantuan JKM bukanlah semudah yang disangka.

Menurutnya, untuk mendapatkan bantuan RM300 sebulan, permohonan mereka akan disaring dan sekiranya ibu bapa anak-anak OKU bekerja, peluang untuk mendapatkannya sukar.

"Bagi yang layak pula, mereka terpaksa membawa anak-anak OKU ini menghadiri kelas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekurang-kurangnya lapan kali sebulan.

"Agak tidak logik untuk membawa anak-anak OKU yang terlantar sakit, tambahan pula kekangan masa ibu bapa yang bekerja," katanya.

Tiada ulasan: