"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimanakah cara solat tarawih sendirian

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Soalan:

Saya ada dua soalan;
1. Bagaimana nak buat solat tarawih bersendirian?
2. Adakah selawat selepas setiap dua rakaat solat tarawih itu perlu dan bagaimana kalau tidak buat dan cara melakukanya (tidak berselawat)?

Jawapan;

1. Solat terawih sama seperti solat sunat yang lain yang biasa kita lakukan, iaitu ditunaikan dua-dua rakaat dengan bermula daripada takbir dan diakhiri dengan memberi salam. Ketika hendak solat, niatkan di dalam hati untuk mengerjakan solat tarawih atau qiyam Ramadan, kemudian lakukan solat sebagaimana biasa. Bacaan-bacaan di dalam solat juga sebagaimana yang biasa dibaca dalam solat-solat yang lain. Kesimpulannya, yang berbeza dalam solat tarawih ini ialah niatnya sahaja. Adapun rukun-rukun dan sunat-sunat di dalam solat, ia sama seperti dalam solat-solat yang lain. Oleh sebab solat tarawih dilakukan dua-dua rakaat, maka setiap dua rakaat hendaklah memberi salam dan kemudian bangun mengerjakan lagi dua rakaat hinggalah sempurna bilangan rakaat yang dikehendaki (lapan, dua puluh atau sebagainya).

2. Adapun berselawat selepas setiap dua rakaat, ia tidaklah wajib dan tidak mencacatkan solat tarawih jika tidak melakukannya. Amalan berselawat itu hanya dilakukan sebagai selingan antara dua-dua rakaat solat untuk memberi kerehatan sesuai dengan nama solat itu “Solat Terawih”. Ia bukanlah sabit daripada amalan Nabi SAW secara khusus. Jika kita tidak berselawat, kita boleh menggantinya dengan ibadah-ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, bertazkirah dan sebagainya. Dan harus juga kita meneruskan solat tanpa menyelanginya dengan sebarang ibadah yang lain.

Tiada ulasan: