Subky Latif
JIKA Hoja (Hoca) Efendi Fethullah Gulen, pemimpin utama Jamaah Nur Turki melarikan diri daripada kerajaan Presiden Tayyib Erdogan ke Amerika ia bukanlah permusuhan baru antara dua kumpulan pro-Islam terpenting di Turki itu.
Ia adalah perselisihan yang lama mungkin sejak wujudnya parti Islam Turki pimpinan Necmatin (Najmudin) Erbakan dan Jamaah Nur yang pimpinan semasanya adalah Hoja Efendi Fethullah Gulen.
Justeru kebelakangan ini Hoja Efendi lari ke Amerika meneruskan tentangannya dari sana, maka kerajaan Turki bertindak terhadap Harian Zaman, akbar milik Nur yaang diterbitkan juga di beberapa negara jiran Turki di Asia Tengah dengan menggunakan tulis dan bahasa negara-negara tersebut.
Saya rasa bertuah sebagai seorang wartawan yang pernah mengendalikan mingguan Utusan Zaman terbitan Utusan Melayu apabila dua anak saya ditawar oleh Harian Zaman belajar di Turki tahun 90-an dulu. Ketika saya beritahu Hoja Erbakan di Istanbul, anak saya dibiayai Harian Zaman di bawah Jamaah Nur, Erbakan memandang saya satu macam.
Jemaah itu mempunyai banyak sekolah dan asrama di seluruh Turki dan ia menaja ramai pelajar asing termasuk dari Asia Tenggara.
Jemaah ini mendukung ajaran ulama terkemuka sebelum kejatuhan empayar Othmaniyah, Badiuz Zaman Said Nursi. Harian Zaman dan Jamaah Nur itu adalah dari nama Said Nursi.
Jamaah Nur tidak menyokong parti Islam yang dipimpin oleh Erbakan kerana Erbakan adalah orang politik sebaliknya ia mengadakan hubungan baik dengan kerajaan dari parti politik sekular. Kira-kira kaedah yang digunakannya sama seperti kebanyakan badan dakwah di negara-negara Islam tidak bersama dengan politik parti Islam tetapi meraih simpati politik yang menentang parti Islam.
Tumpuan Jamaah Nur adalah pendidikan dan dakwah tetapi tidak peka dengan politik Islam.
Selepas Erbakan dijatuhkan daripada Perdana Menteri dan Tayyib Erdogan digugur daripada Datuk Bandar Istanbul, saya bertemu dengan seorang bekas pelajar UIA yang jadi aktivis Parti Refah di Istanbul. Katanya, dia dan partinya tidak sedikitpun dapat simpati daripada Jamaah Nur, kerana selepas kerajaan Refah dijatuhkan, mereka berbaik dengan parti yang menjatuhkan kerajaan Refah.
Padanya partinya dijatuh oleh musuh, dan Jamaah Nur berbaik dengan musuh Refah. Ertinya ia adalah musuh Refah.
Setelah beberapa parti yang ditubuhkan Erbakan diharamkan, akhirnya Erdogan Ketua Pemuda Refah dan ketua Refah di Istanbul menubuhkan parti sendiri dan berjaya membentuk kerajaan di Turki, maka kerajaan Erdogan berdamai dengan Fethullah Gulen.
Beberapa tahun terakhir ini kerajaan pimpinan Erdogan dirasakan bertambah penentang. Partinya bukan saja ditentang oleh seteru politik sekular lamanya, bahkan ia juga ditentang oleh Gulen dan jemaahnya.
Jamaah Nur dan Gulen tidak diketahui pernah menentang mana-mana kerajaan Turki selain kerajaan pimpin Refah di bawah Erbakan dulu, tetapi Gulen dikira penentang kerajaan pro Islam itu.
Selamanya Gulen memimpin Jamaah Nur dari dalam negeri. Tetapi sekarang dia melarikan diri ke Amerika dan menentang Erdogan dari sana. Tentulah peranannya penting jika tidak masakan lari keluar negara.
Perkembangan terakhir kerajaan Turki bertindak terhadap akhbar Harian Zaman. Tentangan Gulen terhadap parti politik pro-Islam di Turki bukan baru.
Saya kenal kedua jemaah itu dan tahu tentang sengketa lama mereka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan