SHAH ALAM: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki menegur syarikat penerbangan tambang murah Rayani Air.
Katanya, kemegahan Rayani Air yang kononnya mempraktikkan aspek pematuhan syariah dalam setiap penerbangannya hanya 'indah khabar dari rupa'.
"Rayani Air ini rupanya indah khabar dari rupa. Batalkan penerbangan sesuka hati hingga menyusahkan orang yang sudah mengatur pelbagai urusan.
"Ingatlah! Aspek pematuhan syariah bukan sekadar berbangga dengan peragaan pakaian krew yang menutup aurat tetapi termasuklah aspek menunaikan janji dan menepati masa," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, ujarnya sekiranya prinsip perkhidmatan asas seperti itu tidak dapat dipatuhi, usah mendabik dada mendakwa kononnya penerbangan pertama patuh syariah.
"Akhirnya Islam bukan hanya sekadar label apatah lagi untuk diperdagangkan tetapi perlu memenuhi prinsip syariah, nilai dan akhlak yang lebih utama," katanya.
Menggulas lanjut, Asyraf berkata, Islam menegah daripada kita menggunakan Islam untuk tujuan dagangan.
"Isunya jangan sewenangnya menggunakan perlambangan dan penglabelan Islam untuk melariskan jualan. Ditegah keras oleh Rasulullah SAW,"katanya.
Rayani Air mula melakukan penerbangan sulungnya pada Disember tahun lalu.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan