"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS tahu akan hilang Kelantan, Husam sedia jadi MB

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa bersedia dinamakan sebagai calon sementara menteri besar Kelantan bagi tujuan strategik Pakatan Harapan (HARAPAN) merampas negeri itu.

Katanya, PAS seolah-olah menyedari bahawa mereka akan kehilangan Kelantan sehingga menyebabkan parti Islam itu membahas kenyataan yang dibuat oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang mencadangkan ADUN Salor itu diangkat sebagai menteri besar sekiranya HARAPAN berjaya menawan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Buat sementara ini saya terima saya dinamakan, sementara ada orang lain yang lebih berkelayakan supaya rakyat Kelantan lebih nampak siapa yang nak pimpin mereka, apa latar belakang mereka.

“Kalau parti-parti dalam Pakatan Harapan tak boleh terima, kira tak jadilah. Kalau parti dalam Pakatan Harapan terima, bolehlah saya terima bagi tujuan strategik perjuangan kita khususnya di Kelantan.

“Kalau ada orang lain yang lebih layak saya akan beri pada orang itu jadi sementara itu cadangan itu telah dikritik hebat oleh PAS. Jadi saya rasa teruja iaitu PAS macam yakin yang mereka akan hilang kerajaan. Jadi kalau dia tak hilang kerajaan kenapa dia nak bahas menteri besar orang lain,” katanya.

Husam berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Wisma Amanah Negara di Kuala Lumpur selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Lim berhubung namanya dinamakan sebagai calon menteri besar.
-malaysiakini

Tiada ulasan: