"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB Kelantan pertahan Climate Protector cabar orang ramai buat laporan polis

MALAYSIA DATELINE
Ahmad YakobKerajaan negeri Kelantan mempertahankan perkongsiannya dengan syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. berkaitan urusniaga karbon kredit.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut mencabar orang ramai supaya membuat laporan polis sekiranya syarikat itu menjalankan aktiviti bersalahan undang-undang.

"Terdapat dakwaan bahawa kerajaan negeri mengutip wang haram dalam mengendalikan program ini sebagaimana yang disebarkan melalui media sosial.

"Kerajaan negeri membuat penegasan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan atau meminta Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. atau mana-mana syarikat mengutip wang untuk melaksanakan projek karbon trading tersebut.

"Kerajaan negeri amat mengharapkan kepada sesiapa yang ada membuat apa jua bayaran agar dapat membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berwajib," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau terus mempertahankan usahama itu yang dikatakan dapat meningkatkan program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan di negeri Kelantan yang berfungsi dalam mengawal kestabilan alam sekitar, menjamin air bersih dan keberkekalan kepelbagaian biologi.

"Kerajaan negeri Kelantan telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. pada 9 januari 2017 yang lalu.

"Pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan tempoh selama 24 bulan atau 2 tahun sebagaimana tertera dalam dokumen perjanjian untuk dilakukan analisa saintifik, penilaian dan laporan verifikasi oleh para saintis bertauliah bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri.

"Fasa pelaksanaan seterusnya adalah bergantung kepada tempoh kajian ini dengan melihat kepada keupayaan syarikat mengendalikan projek terbabit," katanya.

Dalam tempoh kajian dan semakan semula ini juga katanya, pihak kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan pihak ketiga daripada institusi kewangan yang berwibawa ke atas perjalanan urusniaga yang akan dilaksanakan oleh Syarikat bagi memastikan urusniaga ini sah dari segi perundangan tempatan dan antarabangsa.

"Ini termasuklah dengan mengadakan perbincangan dengan mana-mana institusi atau negara yang sedang atau telah melaksanakan projek REDD ini.

"Pihak kerajaan negeri juga mengambil kira pandangan daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dalam hal ini," katanya.

Tiada ulasan: