"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bapa ditahan disyaki campak dua anak dari balkoni tingkat enam

Bernama-KYODO

Gifu, Jepun: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan pada Sabtu kerana disyaki mencampakkan dua anak perempuannya dari balkoni pangsapuri tingkat enam di Wilayah Gifu, tengah Jepun, lapor Kyodo News memetik polis.

Polis tiba di lokasi selepas isteri lelaki berkenaan menghubungi talian kecemasan lewat malam Jumaat dan melaporkan bahawa suaminya bertindak ganas.

Anggota polis sempat menyediakan tilam keselamatan bagi mengurangkan impak jatuh kedua-dua kanak-kanak berusia empat tahun dan setahun itu.

Kedua-duanya berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital dan dipercayai tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Tomokazu Miura, seorang pekerja sambilan ditahan di tempat kejadian kerana disyaki cuba membunuh.

Menurut polis, suspek tinggal bersama isteri dan dua anak perempuannya.

Polis mengarahkan Miura keluar dari pangsapuri selepas menerima panggilan kecemasan daripada isterinya.

Polis menyerbu masuk ke pangsapuri berkenaan pada awal pagi Sabtu, selepas suspek enggan mematuhi arahan itu.

Miura dipercayai mencampakkan kedua-dua anak perempuannya dari balkoni ketika kejadian itu berlaku.

Polis berkata suspek berdiam diri ketika disoal siasat.

500 tetamu majlis tahlil bawa pulang kipas ‘berdiri’

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan tetamu membawa pulang bakul berisi makanan dan sebuah kipas angin. - TikTok 
JAKARTA – Sebuah majlis tahlil di Lamongan, wilayah Jawa Timur menjadi sensasi internet apabila tetamu menerima kipas angin ‘berdiri’ sebagai buah tangan, lapor laman berita Lambe Turah. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @nunuelcidi menunjukkan majlis tersebut dihadiri oleh  beratus-ratus orang. 

Perakam video dikenali sebagai Nunu berkata, majlis yang dihadiri seramai 500 orang itu diadakan di kediaman milik penduduk bernama Hj. Norwati, baru-baru ini. 

“Tetamu dijamu  pelbagai hidangan termasuk kuih-muih, buah, nasi beserta lauk dan aiskrim atau lebih dikenali sebagai ais podeng,” kata Nunu. 

“Selepas selesai tahlil dan solat berjemaah, setiap tetamu menerima sebuah bakul berisi kek coklat, pelbagai snek dan susu kotak. 

“Selain makanan, penganjur turut memberikan kipas kepada tetamu. Semua tetamu membawa pulang kipas yang masih dibalut dengan plastik,” tambahnya. – AGENSI

Pemandu lori kencing tepi tol disaman

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan pemandu lori itu disaman kerana memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk membuang air kecil. - Lambe Turah
JAKARTA – Seorang pemandu lori disaman selepas memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran sebuah tol di Sumatera kerana tidak tahan untuk membuang air kecil, lapor laman berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di Tol Betung-Tempino-Jambi, baru-baru ini.

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @galihlinggau menunjukkan anggota peronda lebuh raya menyaman pemandu terbabit. 

“Perjalanan ke kawasan rehat dan rawat (R&R). Saya tidak dapat menahan dan hampir terkencing. Jadi, saya berhenti di tepi jalan selama dua minit sebelum Pasukan Peronda Lebuh Raya (PJR) muncul,” kata pemilik akaun. 

Pemandu berkenaan memberitahu bahawa dia hanya membuang air kecil tetapi alasan tersebut tidak diterima, menyebabkan dirinya disaman. 

Pemandu dilarang memberhentikan kenderaan di tepi tol untuk sama ada berehat, tidur, makan, mengambil atau menurunkan penumpang serta membuang air kecil. – AGENSI

Cemas!! Wanita diragut ketika melintas jalan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular kejadian ragut di hadapan pasar pagi Kampung Baru Semenyih.
TANGKAP layar video tular kejadian ragut di hadapan pasar pagi Kampung Baru Semenyih.
Kajang: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila tiba-tiba beg tangannya diragut dalam kejadian di hadapan pasar pagi Kampung Baru Semenyih, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, ketika kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 54 tahun sedang melintas jalan sebelum dihampiri lelaki yang menunggang motosikal.

"Penunggang terbabit disyaki meragut beg tangan milik mangsa yang mengandungi telefon, wang tunai dan dokumen pengenalan diri.

"Mangsa yang juga warga tempatan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan berhubung kejadian itu pada 1.28 tengah hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

​Terdahulu, tular klip video rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan mangsa melintas dan berhenti di tengah jalan bagi memberi laluan kepada motosikal suspek, namun suspek dilihat menarik beg tangan wanita itu lalu memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.

Naazron berkata, usaha mengesan suspek giat dilaksana bagi siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

​Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475 atau mana-mana balai polis terdekat.

Wanita bersalin dalam kereta api, penumpang cemas

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan kakitangan KRL membantu wanita itu bersalin di dalam tren. - TikTok 
JAKARTA – Penumpang sebuah tren Kereta Rel Listrik (KRL) di Tangerang Selatan, wilayah Banten berdepan detik cemas apabila seorang wanita bersalin di dalam kereta api itu. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan beberapa kakitangan KRL segera bertindak balas dan membantu wanita terbabit. 

Sebilangan penumpang menyaksikan proses bersalin itu dengan cemas, manakala sebilangan lagi cuba memberikan sokongan moral. 

Wanita berkenaan melahirkan seorang bayi dengan selamat tidak lama kemudian. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 185,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Ibu hamil yang sanggup naik tren memang hebat,” kata seorang netizen. 

“Semoga si ibu dan bayinya sihat sentiasa,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

13 maut pesawat tentera terhempas di kawasan perumahan

KOSMO
BANGKAI pesawat dijilat api selepas terhempas di kawasan perumahan di DRC kelmarin. - AGENSI
KINSHASA – Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk tiga pegawai tentera terbunuh selepas pesawat dinaiki mereka terhempas dan terbakar semasa mendarat cemas di Republik Demokratik Congo (DRC), lapor akhbar The Sun UK. 

esawat tentera itu dilaporkan menuju ke ibu negara DRC, Kinshasa sebelum mengalami masalah teknikal, menyebabkan juruterbang terpaksa mendarat cemas. 

“Tanpa landasan pendaratan di Kenge, pesawat ini terhempas di kawasan perumahan,” kata Naib Gabenor Kwango, Remy Saki Bokinda.

Penumpang yang menaiki pesawat termasuk Jeneral Likulia Bakumi, ketua auditor tentera, seorang mejar, kapten, anggota tentera dan orang awam.

“Kesemua penumpang yang berada di dalam pesawat terkorban. 

“Kira-kira 12 mayat rentung sehingga tidak dapat dikenal pasti, manakala mayat juruterbang ditemukan di luar pesawat,” tambah Bokinda. 

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca nahas, demikian menurut kenyataan kerajaan. – AGENSI

Polis parah diserang 2 warga Myanmar mabuk

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis mengalami kecederaan serius selepas diserang dua warga Myanmar ketika menjalankan tugas di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, berkata dua suspek lelaki berusia 26 dan 30 tahun yang bekerja di sebuah ladang itu dipercayai mabuk ketika kejadian serta mengganggu ketenteraman awam apabila memainkan muzik dengan kuat di tepi jalan.

“Selepas ditegur, kedua-dua suspek marah sebelum menyerang anggota polis terbabit. Akibat serangan itu, mangsa cedera di kepala dan beberapa bahagian badan sebelum mendapatkan rawatan di hospital,” katanya menurut Berita Harian.

Pemeriksaan di Hospital Lipis mengesahkan Koperal Nik Mohd Farid Nik Pa patah tulang hidung, tulang di pipi kiri berhampiran bawah mata dan tulang di bawah mata kiri, lebam serta pendarahan di sekeliling mata kiri.

Difahamkan, dua suspek ditahan tidak lama selepas kejadian dan tiada senjata digunakan dalam serangan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam sedang bertugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bunuh 16 orang, lelaki sembunyi di hutan elak dicekup

Harian Metro
Sao Paulo: Seorang lelaki yang didakwa membunuh 16 orang di kawasan terpencil di Brazil mengelak daripada ditangkap dengan bersembunyi di dalam hutan.

Polis berkata, Jorlan Lopes da Silva, 33, sering bersembunyi di dalam kawasan belukar tebal dan tinggal di kem buatan sendiri.

Pembunuhan yang dikaitkan dengan da Silva berlaku dalam tempoh tiga bulan lalu di kawasan terpencil Mulungu di negeri Paraiba, timur laut Brazil.

Lelaki itu diberi julukan "nyamuk" oleh penduduk tempatan kerana susuk tubuhnya yang kurus.

"Itulah yang membolehkannya melarikan diri daripada ditangkap selama bertahun-tahun.

"Jorlan tinggal sebahagian besarnya di dalam hutan, sebab itulah sangat sukar untuk menemuinya dan mengaitkannya dengan jenayah yang pada mulanya kelihatan tidak berkaitan," kata penyiasat Douglas Garcia.

Katanya, polis akhirnya melihat kaitan antara da Silva dengan jenayah lain selepas dia menembak mati seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di kawasan umum.

Penyiasat itu berkata pembunuh bersiri itu mendakwa dia hanya menyerang penjenayah, tetapi bukti menunjukkan sebaliknya.

Setakat ini, identiti mangsa dan butiran mengenai kematian mereka dirahsiakan supaya pihak pendakwaan dapat menjalankan tugas mereka.

Pelajar sekolah sukan maut, keluarga dakwa dipukul di asrama

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, meninggal dunia semalam, dengan keluarganya mendakwa mangsa dipukul.

Ketua Polis Kuala Pilah Muhamad Mustafah Hussin mengesahkan kejadian itu dan berkata kes masih dalam siasatan, lapor Sinar Harian.

“Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban,” katanya.

Terdahulu, beberapa hantaran di media sosial mendakwa pelajar berkenaan dipukul ketika berada di asrama sekolah berkenaan.

Seorang wanita yang mendakwa dirinya ibu saudara mangsa turut berkata keluarganya dimaklumkan mengenai kematian itu selepas ibu mangsa menghubunginya.

Wanita berkenaan turut mendakwa seorang pelajar Tingkatan Empat ditahan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa mangsa dipukul serta mengenai penahanan seorang pelajar belum disahkan polis.

Kenapa Sanusi, panglima perang PAS naik angin dengan Umno

‘Jangan pergunakan saya’, Sanusi beritahu Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor, memberitahu Umno supaya jangan mempergunakan dirinya untuk kepentingan Umno, ketika semua parti bersiap sedia untuk PRN Melaka.

Sehari selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Ab Rauf Yusoh, dilapor berkata rundingan bagi membentuk kerjasama politik masih belum bermula, Sanusi mengingatkan pihak-pihak yang hendak berpakat dengan PAS bahawa ‘kami tak bodoh’.

“Kami pun pandailah. Betul, kami ikhlas, tapi kami tak bodoh,” katanya lapor Kedah Online, dalam hantaran yang dikongsi Sanusi di Facebook beliau.

“Jangan pergunakan saya untuk kepentingan parti anda, tetapi kita sama-sama ikhlas untuk jalin kerjasama tanpa ada agenda tersembunyi.”

Sanusi juga berkata parti yang mahu bekerjasama dengan PAS perlu bersedia melakukan pengorbanan.

Pada 27 Ogos lalu, Rauf mengumumkan BN akan mempertahankan semua 21 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini pada PRN kelak.

Bernama memetik beliau sebagai berkata semua kerusi itu tidak akan dikompromi dan merupakan syarat paling utama yang perlu dipatuhi mana-mana pihak jika mahu mengadakan kerjasama dengan BN.

Semalam, Sinar Harian memetik Rauf sebagai berkata 21 kerusi itu “hak kita, yang lain kita boleh berunding”.

Sebelum pembubaran, BN menduduki 20 kerusi manakala Perikatan Nasional tiga kerusi.

Polis buru lelaki pukul penumpang wanita dalam tren LRT

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden memukul seorang penumpang wanita di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian 22 September lalu, mangsa berusia 45 tahun itu berdepan detik cemas apabila mendakwa secara tiba-tiba diserang oleh suspek yang tidak dikenalinya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu daripada mangsa jam 6.35 petang, hari yang sama.

“Susulan daripada laporan yang diterima, satu kertas siasatan sudah dibuka dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terbabit, selain mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama saksi kejadian atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan supaya segera tampil bagi membantu siasatan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat secara terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Sharifah Khadijah Syed Rohani di talian 03-9289 9258 atau 03-9289 9222.

Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.

‘Suo motu’ cara lebih pantas selesaikan kebuntuan di Negeri Sembilan

Hamid Sultan Abu Backer

Pendekatan 'suo motu' adalah lebih baik berbanding pengisytiharan darurat atau penubuhan tribunal.

Mengisytiharkan darurat atau menubuhkan tribunal untuk menyelesaikan krisis perlembagaan di Negeri Sembilan merupakan jalan yang tidak berperlembagaan untuk memintas kebuntuan, memandangkan Mahkamah Persekutuan memiliki kuasa kehakiman yang berperlembagaan untuk menangani krisis sedemikian melalui perintah dan arahan ‘suo motu’ (atas usul sendiri).

Menurut Perlembagaan Persekutuan, institusi diraja (Raja-Raja Melayu) tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghakimi pertikaian perlembagaan atau perkara berkaitan salah laku perlembagaan.

Pada masa ini, satu-satunya laluan yang tersedia ialah semakan kehakiman.

Malangnya, mekanisme ini sememangnya tidak sesuai untuk krisis perlembagaan yang memerlukan tindakan segera kerana ia menghendaki pihak-pihak yang berlitigasi selesaikan terlebih dahulu proses rayuan yang panjang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum tiba di Mahkamah Persekutuan.

Untuk memintas keperlahanan sistemik ini, Mahkamah Persekutuan mesti menggunakan kuasa ‘suo motu’ agar suatu keputusan yang muktamad dapat diberikan secara pantas.

Walaupun Perkara 34 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri (UUTKNS) Negeri Sembilan membenarkan raja merujuk persoalan perlembagaan kepada mahkamah tertinggi secara terus, mekanisme ini mempunyai kekangan: raja tidak boleh secara bebas memulakan rujukan tersebut tanpa nasihat eksekutif.

Tambahan pula, rujukan perlembagaan biasa masih perlu melalui sifat tatacara undang-undang yang adversarial dan perlahan.

Sebaliknya, campur tangan ‘suo motu’ bertindak sebagai semakan berbentuk inquisitorial yang diaktifkan oleh jurisprudens sumpah jawatan (Oath of Office jurisprudence).

Ini memberikan hakim kuasa yang sah di sisi perlembagaan untuk bertindak serta-merta demi kepentingan keadilan perlembagaan (constitutional justice) dan kedaulatan undang-undang.

Pertikaian perlembagaan yang sedang berlaku dalam lingkungan kerabat diraja Negeri Sembilan — yang mempertembungkan kuasa adat para Undang dengan majlis Yang Dipertuan Besar serta pihak-pihak lain dalam kerajaan dan ahli politik — merupakan suatu ancaman yang kuat terhadap kedaulatan undang-undang dan belum pernah berlaku.

Jika tidak ditangani, ia berisiko memecahbelahkan jentera perlembagaan negeri, serta menjejaskan penghormatan terhadap Raja-Raja Melayu selaras Rukun Negara.

Dalam menangani krisis perlembagaan ini, dua langkah politik yang banyak dibincangkan ialah pengisytiharan darurat atau penubuhan tribunal ad hoc.

Pada pandangan saya, kedua-duanya mesti ditolak dengan tegas sebagai jalan pintas yang tidak berperlembagaan dan tidak produktif, yang akan mengakibatkan kelewatan, sekali gus mengancam keselamatan negara serta mandat perlembagaan.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, institusi diraja tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghakimi pertikaian perlembagaan membabitkan dirinya sendiri atau mengawasi kes salah laku perlembagaan.

Eksekutif negeri yang dipilih juga tidak berupaya menyelesaikan perkara ini melalui dekri pentadbiran.

Pada masa yang sama, bergantung kepada mekanisme undang-undang biasa akan merumitkan usaha mencapai penyelesaian segera:

Perangkap semakan kehakiman

Laluan semakan kehakiman standard sememangnya tidak sesuai untuk krisis perlembagaan yang berkembang dengan pantas.

Pihak-pihak yang berlitigasi terpaksa menghabiskan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun melalui proses rayuan berperingkat melalui Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum perkara itu akhirnya tiba di mahkamah tertinggi.

Keterbatasan Perkara 34 UUTKNS

Walaupun Perkara 34 UUTKNS membenarkan persoalan perlembagaan dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan, mekanisme tersebut sangat terbatas.

Raja tidak boleh bertindak secara bebas di bawah peruntukan ini; baginda tetap terikat dengan nasihat eksekutif.

Sifat adversarial yang perlahan

Andai kata rujukan rasmi berjaya dibuat, ia masih perlu melalui tatacara adversarial tradisional yang perlahan.

Negeri tidak mampu menunggu litigasi yang berpanjangan ketika nasib pentadbirannya terkatung-katung.

Penyelesaian: kuasa kehakiman dan campur tangan ‘suo motu’

Untuk memintas kebuntuan sistemik ini, Mahkamah Persekutuan mesti bangkit kepada kedudukan perlembagaannya dengan menggunakan bidang kuasa ‘suo motu’ yang dimilikinya — kuasa untuk bertindak atas usul atau inisiatif sendiri.

Mandat sumpah jawatan

Seperti yang telah berulang kali dihujahkan, sumpah jawatan hakim yang diperuntukkan oleh Perlembagaan — untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan — bukanlah suatu formaliti pasif dan bersifat upacara semata-mata.

Ia merupakan perisai undang-undang yang proaktif. Apabila kerangka perlembagaan dipertikaikan atau terjejas akibat pelaksanaan kuasa secara sewenang-wenang, mahkamah atasan mempunyai hak serta-merta dan kewajipan mutlak di sisi perlembagaan untuk campur tangan.

Kuasa inquisitorial mengatasi keperlahanan adversarial

Dengan menggunakan Kuasa Kehakiman Perlembagaan (yang terbit secara dinamik daripada Perkara 121(1) yang dibaca bersama sumpah kehakiman), mahkamah tertinggi boleh beralih daripada menjadi pengadil adversarial yang pasif kepada badan semakan inquisitorial.

Ini memberikan Mahkamah Persekutuan kuasa yang sah untuk mengeluarkan perintah dan arahan ‘suo motu’ secara serta-merta dan dipercepatkan kepada pihak-pihak yang terlibat.

Penyelesaian serta-merta

Berbanding menunggu konsensus politik atau membiarkan sistem perundangan melepasi proses yang rumit dan panjang, campur tangan ‘suo motu’ memintas kerenah tatacara.

Ia membolehkan mahkamah tertinggi dengan serta-merta mengambil maklum tentang kebuntuan tersebut, memanggil pihak-pihak yang berkaitan, dan memberikan keputusan yang muktamad serta mengikat demi kepentingan awam.

Kesimpulan

Mahkamah Persekutuan tidak perlu berselindung di sebalik doktrin kekangan kehakiman apabila asas tadbir urus perlembagaan berada dalam keadaan terancam.

Peguam negara, yang menjaga kepentingan awam, harus segera memfailkan permohonan kepada mahkamah tertinggi untuk mencetuskan mekanisme pantas ini.

Dengan melaksanakan dinamisme kehakiman berbanding memainkan peranan pemerhati pasif, menyaksikan sandiwara yang belum pernah berlaku ini; Mahkamah Persekutuan boleh menyelesaikan krisis Negeri Sembilan serta-merta, memulihkan kejelasan mutlak dan memelihara keharmonian negara.
-FMT

NKVE sesak, pokok tumbang halang laluan

KOSMO!
Keadaan pokok tumbang yang berlaku di Jalan Duta NKVE petang ini.
PETALING JAYA – Pengguna jalan raya berdepan kesesakan susulan kejadian pokok tumbang berikutan hujan lebat di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara, petang ini.

Menerusi perkongsian video di media sosial, sebuah pokok besar dilihat tumbang ke arah lebuh raya sehingga menghalang dua lorong laluan.

Difahamkan, kejadian itu menjejaskan laluan dari arah pusat bandar ke Sungai Buloh.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan.

Sementara itu, Kosmo! sedang mendapatkan pengesahan dan tindakan lanjut daripda pihak bomba berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

SPRM akan serah notis arah Saravanan, ahli keluarga isytihar harta

Mohamad Fadli dan Tamil Thendral Annadurai

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan notis kepada bekas menteri sumber manusia M Saravanan, isteri dan tiga anaknya untuk mengisytiharkan harta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata notis akan diserahkan kepada timbalan presiden MIC itu dan ahli keluarganya Isnin ini.

Beliau berkata, ia dikeluarkan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009, yang memberikan tempoh 30 hari kepada individu terbabit membuat pengisytiharan harta.

“Pihak kami akan menyampaikan notis pengisytiharan harta kepada Saravanan, isteri dan tiga anak beliau.

“Mereka akan hadir di SPRM untuk menerima notis berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Halim menambah, mengambil kira keadaan seorang lagi anak Saravanan yang kini belajar di London, SPRM akan memberikan masa mencukupi untuk dia memenuhi keperluan pengisytiharan itu.

Pada 28 Ogos lepas, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.

Beliau didakwa menerima wang daripada pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim melalui Syed Amirul Syed Ahmad sebagai dorongan untuknya meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd, dalam kapasitinya sebagai menteri sumber manusia.

Hakim, Azura Alwi membenarkan jaminan RM450,000 dengan seorang penjamin dan tidak menyita pasport Saravanan. Bagaimanapun, dia diarahkan melapor diri kepada SPRM setiap tiga bulan serta tidak mengganggu saksi sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.

Mahkamah menetapkan 29 Sept untuk sebutan kes.

Sementara itu, Halim berkata, bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Rahim dan ahli keluarganya, termasuk anak-anak, masih belum mengisytiharkan harta kerana tempoh 30 hari yang diberikan belum berakhir.

Menurutnya, SPRM akan menunggu pengisytiharan dibuat selepas Azeez dan ahli keluarganya menerima notis pada 15 Sept lepas.

Dua warga Myanmar serang polis selepas ditegur muzik kuat

T N Alagesh

RAUB: D Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 30 tahun yang bekerja di sebuah ladang, dipercayai dalam keadaan mabuk ketika kejadian jam 2.45 pagi. ua warga Myanmar ditahan selepas dipercayai menyerang seorang anggota polis yang menegur mereka kerana bermain muzik dengan kuat di tepi jalan di Kampung Pamah Kulat, Dong, di sini, awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 30 tahun yang bekerja di sebuah ladang, dipercayai dalam keadaan mabuk ketika kejadian jam 2.45 pagi.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, anggota polis berpangkat koperal itu ke lokasi selepas menerima maklumat daripada penduduk kampung.

“Selepas ditegur, kedua-dua suspek naik marah sebelum menyerang anggota polis berkenaan.

“Akibat kejadian, mangsa bengkak pada kepala serta beberapa bahagian badan dan kini menerima rawatan di Hospital Raub,” katanya melalui kenyataan.

Azry berkata, dua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas.

Gabungan NGO lafaz ikrar taat setia pada Tuanku Muhriz

Malaysiakini

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menyaksikan lafaz ikrar taat setia dan sokongan terhadap baginda, oleh Pengerusi Sekretariat Gabungan Islam Se-Malaysia Che Rus Husin di Masjid Jamek Bahau, di Jempol.

Ikrar itu dilafazkan Che Rus selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid itu, yang dihadiri Tuanku Muhriz bersama lebih 300 jemaah.

Keberangkatan baginda ke masjid itu turut diiringi Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin.

Terdahulu, Tuanku Muhriz bersama dengan para jemaah mendengar khutbah bertajuk “Beruntunglah Orang Yang Menyucikan Jiwanya” dan solat jumaat diimamkan oleh Suhaimi Mohamad.

Ikrar taat setia dan sokongan kepada Tuanku Muhriz itu mewakili Gabungan Melayu Islam Malaysia serta lebih 30 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, menyatakan pendirian untuk terus menyokong baginda dalam menghadapi kemelut yang berlaku.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Che Rus berkata kemelut berkenaan telah berlarutan terlalu lama sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, bukan sahaja di Negeri Sembilan malah di seluruh negara.

Beliau berkata pihaknya berharap kemelut berlaku itu dapat diselesaikan dengan baik mengikut adat dan undang-undang ditetapkan, demi memastikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara.

- Bernama

Sudah-sudahlah manipulasi fakta, ahli akademik tegur ‘4 undang’

FMT Reporters

Peguam, Rosli Dahlan, menyifatkan teguran mereka terhadap perdana menteri sebagai 'menghairankan dan belum pernah berlaku'.
faisal tehrani n rosli dahlan collage
Faisal Tehrani dan Rosli Dahlan membidas kenyataan oleh Undang Johol, Tunku Besar Tampin dan tiga individu lain yang menegur perdana menteri kerana ‘campur tangan’ dalam perkara berkaitan bidang kuasa mereka.
PETALING JAYA: Seorang ahli akademik dan seorang peguam membidas Undang Johol Muhammed Abdullah serta tiga lagi individu yang mendakwa diri mereka sebagai ketua adat Sungai Ujong, Jelebu dan Rembau kerana menegaskan bahawa mereka mempunyai kuasa mutlak untuk melantik dan memecat pemerintah negeri.

Ahli akademik, Faizal Musa yang lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, menggesa keempat-empat individu itu “sudah-sudahlah memanipulasi fakta dan menunggang adat untuk sesenduk kuasa”.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan Mubarak Dohak dan Maarof Mat Arshad bahawa mereka masih Undang Sungai Ujong dan Jelebu, mengatakan kedua-duanya dipecat pada awal tahun ini.

“Oleh itu apa pun hujah mereka tidak relevan,” katanya kepada FMT. “Saya menyeru mereka redha dan ‘move on’, agar rakyat Negeri Sembilan dapat aman-aman saja meneruskan kehidupan.”

Terdahulu hari ini, empat-empat individu itu bersama Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, dalam kenyataan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak campur tangan dalam urusan negeri, khususnya perkara berkaitan bidang kuasa perlembagaan mereka.

Mereka mendakwa Perkara 10 dan 11 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) memberikan mereka kuasa eksklusif untuk memilih dan menurunkan pemerintah negeri.

Abdul Rahim Yasin, yang mendakwa dirinya Undang Rembau, tidak pernah dilantik secara rasmi ke jawatan tersebut.

Peguam, Rosli Dahlan, menyifatkan kenyataan keempat-empat individu itu sebagai “menghairankan dan belum pernah berlaku dari segi bentuk dan isi”.

“Ini bukan sahaja memburukkan lagi krisis perlembagaan di Negeri Sembilan, malah memberi kesan kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam, kerana seluruh negara berasa cemas dan keliru,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Beliau menggesa kerajaan persekutuan supaya bertegas terhadap ‘golongan anarkis ini’ demi memastikan undang-undang dan ketenteraman, keselamatan awam serta keselamatan negara terpelihara.

Warga China mengaku salah, cuba curi dompet dalam pesawat

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Balik Pulau: Seorang lelaki warga China mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan cuba mencuri dompet dari dalam beg galas milik seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), minggu lalu.

Tertuduh, Chen Bangjun, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba mencuri sebuah dompet dari dalam beg galas milik seorang lelaki antara jam 9.25 pagi hingga 10 pagi di LTAPP, Bayan Lepas pada 17 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 379 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan cubaan mengikut Seksyen 511, hukuman penjara yang dikenakan tidak melebihi separuh daripada tempoh hukuman maksimum bagi kesalahan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sofi Jaafar meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran, manakala peguam, Teh Yi Kai memohon hukuman dikurangkan berikutan tertuduh yang tidak bekerja mengakui insaf dengan perbuatannya selepas sembilan hari menjalani perintah reman di lokap.

"Berikutan ia adalah cubaan mencuri, tiada kerugian sebenar yang dilaporkan dan tertuduh mengakui tindakan itu dilakukan kerana ketamakan," kata Teh Yi Kai ketika prosiding itu.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar denda.

'Ulat' KLIA kantoi, pemandu ditahan, kereta disita

Harian Metro
Sepang: Cubaan pemandu Toyota Rush menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua penumpang warganegara Pakistan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengundang padah apabila ditahan semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, hasil daripada intipan dan pemantauan di Terminal 1 KLIA, Stesen Penguatkuasa KLIA membuat satu tangkapan 'ulat' yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

Menurutnya, sebuah kenderaan jenis Toyota Rush beserta pemandu ditahan dan disita untuk siasatan selanjutnya.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua penumpang warganegara Pakistan dari Terminal 1 KLIA ke Bandar Baru Uda dan Ulu Tiram, Johor dengan kadar tambang belum diberitahu dan akan dibayar bila sampai ke destinasi.

"Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti 'ulat' ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama," katanya.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Kecurian: RM60,000 lesap dalam pesawat, warga asing diburu

Bernama

GEORGE TOWN: Polis sedang memburu seorang lelaki warga asing disyaki terlibat insiden kehilangan wang tunai RM60,000 milik seorang lelaki tempatan dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Barat Daya, Anuwal Ab Wahab, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa, 54, semalam yang menyedari wang tunai disimpan dalam beg galas miliknya hilang, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di Bayan Lepas.

“Mangsa mengesyaki seorang lelaki warga asing yang berada dalam penerbangan sama terlibat dalam kejadian curi tersebut dan polis menjalankan siasatan termasuk mendapatkan maklumat penumpang penerbangan itu.

“Kami juga meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti pergerakan individu yang disyaki itu dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kejadian tersebut merupakan satu lagi kes melibatkan kehilangan atau cubaan mencuri barangan milik penumpang dalam pesawat yang dilaporkan baru-baru ini.

Anuwal berkata, pada 17 Sept, pihaknya menerima laporan berhubung cubaan mencuri di dalam sebuah pesawat yang tiba di Pulau Pinang.

Susulan itu, seorang lelaki warga China berusia 55 tahun ditahan dalam siasatan itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Warga emas kritikal dipercayai jatuh bangunan HRPB

BERNAMA

Ipoh: Lelaki warga emas dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 2.30 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati seorang pengawal keselamatan hospital mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di laluan tangga kecemasan.

"Pengawal keselamatan kemudiannya mengekori lelaki berkenaan sebelum mendapati mangsa telah terjatuh dari aras tiga bangunan berkenaan. Mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Kecemasan HRPB untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 60 hingga 70 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Muhammad Najib berkata, semasa dijumpai, mangsa memakai baju T-shirt lengan pendek berwarna merah serta seluar panjang berwarna hitam, dan mangsa yang masih menerima rawatan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat, mempunyai ahli keluarga yang dilaporkan hilang atau mengenali mangsa berdasarkan ciri-ciri itu supaya tampil membantu pihak polis mengenal pasti identiti mangsa.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2542222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan diwartakan hari ini

NUR SHARIEZA ISMAIL
10 barisan Exco Negeri Sembilan
SEREMBAN – Pembatalan pelantikan 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan telah diwartakan hari ini.

Menerusi warta berkenaan, pelantikan ahli-ahli Exco tersebut dibatalkan berkuat kuasa 20 September lalu oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang ahli Exco selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh (Yang di-Pertuan Besar).

“Memandangkan (10 ahli Exco ini) telah melanggar ikrar taat setia (terhadap Yang di-Pertuan Besar), dengan ini (Yang di-Pertuan Besar) menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan (mereka) sebagai ahli Exco Negeri Sembilan,” menurut warta itu.

Kesemua 10 ahli Exco tersebut terdiri daripada wakil UMNO, iaitu Datuk Mustapha Nagoor (Palong), Datuk Faizal Ramli (Linggi), Datuk Zaiful Bahri Idris (Chembong), Datuk Razi Ali (Sungai Lui), Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Tiga lagi terdiri daripada wakil MCA, Siow Kong Choon (Chennah); Fairuz Isa daripada Pas (Serting) serta Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.

Minggu lepas, barisan Exco berkenaan mengeluarkan kenyataan didakwa mengesahkan pelucutan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pada 20 September lalu, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan ahli-ahli Exco terbabit, berkuat kuasa serta-merta. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Remaja perempuan ditahan disyaki curi kabel - TNB

Bernama

DUNGUN: Polis menahan seorang remaja perempuan yang disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Delong, Jalan Loji Air Paya Kemudi di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Nik Ab Halim Nik Mat berkata remaja berusia 18 tahun itu ditahan pada 3 pagi tadi, selepas polis menerima laporan mengenai kehilangan kabel TNB bersaiz 150 milimeter (mm) sepanjang kira-kira 1,000 meter dianggarkan bernilai RM8,000.

Beliau berkata bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun bergegas ke lokasi sebelum suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri dengan meninggalkan kabel telah dipotong kepada beberapa bahagian lebih pendek.

"Hasil tindakan susulan polis menahan seorang remaja tempatan berusia 18 tahun yang berada di dalam sebuah kereta Proton Satria Neo berwarna kelabu.

"Selain itu polis turut merampas sebuah kenderaan, beberapa keratan dan batang kabel TNB, alat pemotong kabel serta sebuah beg mengandungi peralatan pertukangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ab Halim berkata siasatan awal mendapati kabel berkenaan dipercayai dipotong menggunakan peralatan pemotong sebelum penebatnya dibuang bagi mendapatkan wayar tembaga.

Katanya, remaja yang ditahan itu dibawa ke Mahkamah Dungun hari ini dan direman selama empat hari hingga 27 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

-- BERNAMA

Bola golf tersasar, pesara dapat pampasan RM100,000

V Anbalagan

PETALING JAYA: Pesara kerajaan mendapat ganti rugi RM100,000 selepas hampir tujuh tahun bola golf kerap jatuh di kediamannya, sehingga merosakkan harta benda selain menimbulkan kebimbangan kepada diri dan keluarganya.

Di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Pesuruhjaya Kehakiman Aimi Zaini Azhar memutuskan pengendali Darulaman Golf Resort dan pemilik tanah padang golf berkenaan sama ada secara bersama bertanggungjawab mahupun berasingan atas kacau ganggu persendirian.

Beliau turut memerintahkan defendan mengambil langkah lanjut bagi menghalang bola golf daripada memasuki kawasan kediaman pesara tersebut.

Hakim berkenaan berkata, tinggal bersebelahan kawasan lapang hijau sepatutnya membolehkan seseorang menikmati ketenangan suasana, namun Nazli Ahmad Mahyadin sebaliknya berdepan masalah berulang akibat pukulan tersasar dari ‘Tee Box 7’.

“Pengendalian padang golf ialah satu perniagaan sah di sisi undang-undang, ia tidak boleh dijalankan sehingga menjejaskan hak keselamatan asas dan hak milik harta benda penduduk sekeliling secara tidak munasabah,” katanya dalam penghakiman 21 halaman itu.

Mahkamah memberikan tempoh 60 hari kepada BDB Darulaman Golf & Resort Bhd dan BDB Land Sdn Bhd untuk meninggikan dan memanjangkan jaring keselamatan berhampiran ‘Hole 7’, menyemak semula kedudukan penanda ‘tee’ serta garisan permainan, memasang papan tanda amaran keselamatan yang jelas, dan melaksanakan apa jua langkah diperlukan bagi menghalang bola golf memasuki kawasan kediaman Nazli.

Nazli, 61, membeli lot banglonya di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah, daripada BDB Land pada 2004 dan berpindah ke kediaman tersebut pada Disember 2018. Rumahnya terletak berhampiran ‘Tee Box 7’, menempatkan lubang par-empat.

Menurut penghakiman itu, bola golf mula mendarat di kawasan rumahnya sejurus berpindah masuk. Antara Ogos 2019 dan Januari 2026, Nazli membuat 16 laporan polis dan mengemukakan aduan berulang kali kepada pihak pengurusan kelab golf terbabit.

Bola golf berkenaan didakwa meretakkan genting bumbung, menyebabkan bumbung reban ayamnya bocor, menghentam dinding luar, dan memecahkan tingkap kaca. Tujuh penduduk jiran turut memberi keterangan mengenai kejadian sama.

Hakim berkata, keterangan yang ada adalah sangat kukuh, merangkumi laporan polis, foto yang telah disahkan, mesej WhatsApp, arahan pihak berkuasa tempatan serta keterangan lapan saksi.

“Pencerobohan tersebut bukanlah satu gangguan terpencil atau bersifat sementara; ia merupakan satu keadaan berlarutan bertahun-tahun,” katanya sambil menambah bahawa mengendalikan padang golf bersebelahan dengan sempadan kediaman membawa ‘risiko ketara dan dapat dijangka kesan pukulan tersasar memasuki kawasan halaman persendirian’.

Pihak defendan ada memasang jaring keselamatan berhampiran ‘Tee Box 7’ pada Disember 2020, berukuran 28×80 kaki. Jaring itu dinaikkan dan diperluaskan pada 2024 kepada 40×122 kaki. Bagaimanapun, hakim berkata, langkah sedemikian ‘bersifat reaktif, terlewat, dan terbukti tidak berkesan’.

BDB Land turut dipertanggungjawabkan walaupun mengemukakan hujah ia sekadar tuan tanah dan tidak mempunyai kawalan harian ke atas padang golf tersebut.

Hakim mengambil maklum BDB Land merupakan syarikat induk terus kepada pengendali berkenaan, telah terlibat dalam perbincangan mengenai penaiktarafan jaring keselamatan, serta membangunkan dan menjual lot kediaman bersempadan padang golf itu sendiri.

Nazli diwakili peguam Nashitoh Kassim dan Armisya Nur Shafiqa Samsudin.

Tuntutan untuk ganti rugi khas, ganti rugi teladan, dan ganti rugi teruk bagaimanapun ditolak.

Pihak defendan diwakili K C Ang dan Norlaili Aziz, turut diperintahkan membayar kos RM20,000.

Pekerja wanita maut tersepit mesin lifter

MOHD YUNUS YAKKUB

KUALA LANGAT – Seorang pekerja wanita maut selepas dipercayai tersepit pada mesin pengangkat (lifter) di sebuah premis di Telok Panglima Garang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan kira-kira pukul 11 pagi.

Menurut beliau, mangsa yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dibawa ke Klinik Kesihatan berhampiran kira-kira pukul 11.20 pagi.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik berkenaan. Mayat dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dengan siasatan lanjut masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Wang hampir RM14 juta dalam dinding rumah

KOSMO!
GAMBAR siaran kelmarin menunjukkan wang tunai yang disembunyikan di dalam dinding sebuah kediaman di Caivano dekat Naples. – AFP
ROM – Polis Itali menemukan wang tunai lebih  €3 juta (RM13.9 juta) disembunyikan di dalam dinding dan lantai rumah seorang suspek ketua sindiket dadah,  kata seorang pendakwa raya antimafia kepada AFP semalam.

”Serbuan polis turut membongkar raifal Kalashnikov bersama senjata api  lain dan 11 jam tangan Rolex,”  kata Pendakwa Raya Naples, Nicola Gratteri.

Menurutnya, rampasan itu sebahagian daripada hasil siasatan yang bermula pada 2023.

Kemuncak siasatan berlaku Isnin lalu dengan penahanan 34 orang yang dituduh menganggotai kumpulan  jenayah bersenjata dan menggunakan cara mafia untuk mengedar dadah.

“Wang tunai dan senjata ini dirampas tahun lalu dari sebuah hartanah di Caivano, bandar timur laut Naples di selatan Itali yang dikuasai oleh mafia Camorra,”  kata Gratteri.

Maklumat itu diperoleh  daripada seorang suspek yang ditangkap pada Julai 2025, yang kemudian menjadi saksi pendakwaan.

Dua hari kemudian, polis menyerbu rumah berkenaan. – AFP 

Krisis N Sembilan: Tiba masa bertindak ke atas Si Kitol

Undang-undang rimba N Sembilan, tiba masa bertindak ke atas Si Kitol

Anak Negeri

Membingungkan apabila jentera kerajaan persekutuan terus membisu dan melengahkan masa biarpun batas Perlembagaan dilanggar berkali-kali.

Istana Lama Seri Menanti Negeri Sembilan
Satu tragedi yang amat mengguris hati apabila kita menyaksikan pengkhianat terdesak mempercepatkan langkah songsang di bumi Negeri Sembilan.

Kami, anak negeri, tidak pernah sama sekali memberi mandat kepada entiti politik tertentu menghina dan menggulingkan Yang Dipertuan Besar yang sah. Dari lubuk hati yang luka berdarah, pengkhianatan ini amat terpahat utuh dan kami tidak akan sesekali memaafkan mereka.

Apakah membuatkan mereka begitu kebal dan angkuh bertindak seolah-olah Negeri Sembilan ini terletak di luar bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan? Sebuah sandiwara politik samseng jalanan bersifat mafia, melanggar Perlembagaan dan undang-undang sesuka hati berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan.

Cubalah singkap perisai yang mereka jadikan sandaran: kononnya restu daripada institusi Undang? Atau sebenarnya ia hanyalah sandiwara rapuh dibina atas batang tubuh individu ketua-ketua luak yang telah pun dilucuthak kedudukannya oleh anak waris luak masing-masing?

Mari kita teliti semula batang tubuh yang menjadi paksi kepada gerakan haram ini: lihatlah ke Sungai Ujong, di mana kemelut dalaman menyaksikan individu terbabit berdepan 33 pertuduhan merangkumi undang-undang sivil, kesalahan syariah, serta pelanggaran Adat Perpatih termasuklah terhadap Ibu Soko sendiri, ditambah pula meminda dokumen sijil nikah melalui pemalsuan rekod rasmi.

Lihat pula ke Jelebu, memegang gelaran kononnya Sultan Jelebu, namun bertahun-tahun dibelenggu kontroversi adat dan undang-undang yang meruncing dengan luak sendiri. Pandanglah ke Rembau pula, di mana kepimpinannya ditolak oleh luak sendiri, dicemari isu salasilah (kesilapan benih) dan tidak pernah diwartakan sama sekali.

Justeru, anak negeri dengan tegas menggesa pihak media berhenti mengiktiraf individu-individu ini sebagai Undang Yang Empat kerana tiga daripada mereka hanyalah mantan ketua luak yang telah dilucuthak jawatan.

Sebagai tanda menjunjung tinggi kedaulatan Dewan Keadilan dan Undang (DKU)—badan tertinggi mutlak yang berkuasa ke atas Adat Negeri Sembilan—pihak media wajib membetulkan realiti perundangan ini dalam laporan mereka. Lantaran mereka bukanlah ketua luak yang sah di bawah ketetapan DKU, sebarang pemberitaan terus-menerus mengelirukan bukan sahaja bertentangan hukum adat, malah boleh dianggap sebagai menghina mahkamah di tengah-tengah proses perundangan sedang berjalan!

Kini, di atas krisis ciptaan kosong tanpa secalit pun asas keabsahan, entiti politik bersama bekas ketua-ketua luak ini seakan samseng jalanan mendaulatkan hukum rimba—menggunakan taktik kotor ala-mafia kononnya atas nama Adat Perpatih—telah membancuh kari tercemar, dan rakyat Negeri Sembilan pula dipaksa menelannya bulat-bulat.

Sanggupkah kerajaan persekutuan berpeluk tubuh membisu melihat kemungkaran ini? Jika mereka bertindak seperti samseng jalanan, adakah mereka kebal daripada undang-undang negara? Kari rosak akibat kelapa busuk tetap menjadi kari yang tidak layak dimakan, tidak kira betapa terdesaknya anda cuba merangka naratifnya. Apabila pegawai kerajaan berintegriti cuba menegakkan kebenaran, samseng jalanan semudah itu cuba menggantung tugas mereka.

Saksikanlah betapa berbakatnya menteri besar dalam episod hipokrasi dan penderhakaan ini, di mana tiada apa yang dapat menghalangnya sebagai pelaksana utama kepada agenda songsang bekas ketua luak dan takhta yang palsu. Siapa sangka individu dari Luak Tanah Mengandung sanggup mengheret maruah bangsanya sendiri ke lembah kehinaan yang paling parah demi sebuah kekuasaan?

Sekarang tergamak pula mereka mempamerkan taat setia kepada takhta palsu yang diangkat secara haram? Di manakah taring penguatkuasaan kerajaan persekutuan?

Tidak pernah sama sekali dalam sejarah Adat Perpatih, Yang Dipertuan Besar ditabalkan dalam kalangan individu yang bukan daripada kalangan Putera Yang Empat, apatah lagi melantik Yang Dipertuan Besar baharu ketika Yang Dipertuan Besar yang sah masih bersemayam—ini bukan sekadar penderhakaan, malah kebankrapan akhlak paling hina dilakukan sekumpulan badut bertopengkan kuasa, yang tidak berapa lama dahulu melafazkan sumpah taat setia kepada Yang Dipertuan Besar.

Sementara itu, para exco dengan angkuhnya terus mengingkari titah diraja, meneruskan urusan seperti biasa—sebuah cerminan jelas sifat pengkhianat sejati. Mereka dengan selamba cuba menggantung tugas penasihat undang-undang negeri dan setiausaha kerajaan negeri mengikut selera nafsu kuasa sendiri.

Entiti politik selama ini menjerit kononnya mempertahankan maruah raja-raja Melayu rupa-rupanya ialah juara kepada segala hipokrasi di muka bumi ini.

Benarlah kata pepatah zaman-berzaman: jauh sebelum penjajahan Portugis merobek Melaka, bahaya terbesar tidak pernah datang daripada musuh luar, sebaliknya pengkhianat dalam selimut dan tali barut sebangsa yang merancang kehancuran dari dalam—membuktikan bahawa roh Si Kitol masih segar meresap dalam kalangan kita sendiri.

Wahai seluruh anak waris Biduanda di Negeri Sembilan: adakah ini hadiah yang mahu anda wariskan kepada seluruh rakyat jelata negeri ini? Sebelum terlambat, hentikan segera perlakuan individu-individu tertentu dalam kalangan luak anda sendiri daripada terus meranapkan negeri bertuah kita.

Amat membingungkan apabila jentera kerajaan persekutuan terus membisu dan melengahkan masa, biarpun batas-batas Perlembagaan telah dilanggar berkali-kali.

Adakah kita sudah kehilangan taring integriti? Tindakan tegas mesti segera diheret ke muka pengadilan—sama ada atas pertuduhan menghina mahkamah, tekanan terancang terhadap penjawat awam, Akta Hasutan, dan paling utama kesalahan berat terhadap Yang Dipertuan Besar atau raja Melayu di bawah Seksyen 121B Kanun Keseksaan.

Akhirnya, keharu-biruan dan sejarah hitam ini tidak boleh diletakkan di bahu rakyat; ia mesti dipikul kerajaan persekutuan yang gagal mempertahankan kedaulatan Perlembagaan dan undang-undang di bumi Negeri Sembilan.
-FMT

Kedah: Penemuan mayat gelandangan di taman rekreasi, polis siasat kes bunuh

NORLIDA AKMAR IDROS
LELAKI gelandangan ditemukan maut di sebuah pondok di taman rekreasi di persisiran Sungai Raja, Alor Setar pada semalam.
ALOR SETAR – Seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemukan maut disyaki akibat dibunuh di sebuah pondok di taman rekreasi persisiran Sungai Raja, di sini semalam.

Mangsa, Wong Tek An, 55, ditemukan dengan kesan kecederaan pada muka dan kepala oleh seorang pekerja pembersihan kira-kira pukul 9.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa yang memakai baju lengan panjang dan seluar slack berwarna kelabu dijumpai dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di pondok tersebut.

Katanya, mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia oleh pihak perubatan dengan tempoh kematian dipercayai kurang empat jam berdasarkan kesan darah yang masih baharu.

“Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa termasuk luka di bahagian bawah dagu, lebam pada kepala sebelah kiri serta pendarahan pada telinga kiri.

“Terdapat juga lebam pada kedua-dua mata, kesan luka pada bahagian leher dan luka kecil di sebelah kanan dagu,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan turut menemukan dua batang kayu yang telah patah berhampiran mangsa, selain tiada kesan pergelutan atau seretan ditemukan di lokasi kejadian.

Menurutnya, pekerja pembersihan yang menemukan mangsa mengenali lelaki itu sebagai seorang gelandangan yang berada di kawasan rekreasi tersebut sejak awal tahun ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian. – KOSMO! ONLINE

Ketua Pemuda PAS Terengganu letak jawatan

FMT Reporters

Perletakan jawatan Muhamad Hamdi Harun diterima sebulat suara mesyuarat khas Dewan Pemuda PAS Terengganu semalam.
Muhamad Hamdi Harun menang tanpa bertanding jawatan ketua Pemuda PAS Terengganu bagi sesi 2025–2027 dalam mesyuarat agung tahunan dewan Pemuda PAS Terengganu, tahun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Terengganu mengumumkan barisan kepimpinan baharu susulan perletakkan jawatan ketuanya Muhamad Hamdi Harun.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu, Mohd Riduan Abu Bakar berkata mesyuarat khas yang diadakan semalam sebulat suara menerima peletakan jawatan Hamdi.

Bagaimanapun, Riduan tidak mendedahkan punca Hamdi melepaskan jawatan itu yang disandangnya sejak tahun lalu.

Hamdi menang tanpa bertanding jawatan itu bagi sesi 2025–2027 dalam mesyuarat agung tahunan dewan Pemuda PAS Terengganu, tahun lalu.

“Susulan kekosongan itu, mesyuarat bersetuju melantik Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli sebagai pemangku ketua Pemuda bagi sesi 2026–2027,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya lagi, jawatan timbalan ketua dan naib ketua masing-masing dipangku Irsyad Syafiq Burhanuddin dan Abdul Manaff Ghani.

Cemas tayar treler tercabut, bergolek terbakar atas lebuh raya

KOSMO!
Tangkap layar video tular memaparkan keadaan tayar bergolek di lebuh raya dipercayai tercabut dari sebuah treler.
PETALING JAYA – Detik mencemaskan sebuah tayar dipercayai tercabut daripada sebuah treler sebelum bergolek dalam keadaan terbakar di tengah lebuh raya mengundang perhatian pengguna media sosial.

Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan sebelum rakamannya dimuat naik oleh pengguna Threads, @mohd_shahrull.

Berdasarkan rakaman tersebut, sebuah treler dilihat bergerak di lorong kiri sebelum tayarnya dipercayai tercabut dan bergolek laju memasuki laluan kenderaan lain.

Lebih mencemaskan, tayar berkenaan kemudiannya dilihat terpelanting selepas melanggar pembahagi jalan dalam keadaan masih terbakar dan mengeluarkan asap.

Sebuah kereta berwarna hitam yang berada berhampiran tayar berkenaan turut dilihat sempat melepasi objek tersebut, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini.

Rakaman dashcam itu menunjukkan kejadian berlaku kira-kira pukul 3.33 petang semalam.

Menjawab pertanyaan pengguna mengenai lokasi kejadian, pemilik video memaklumkan ia berlaku ketika menuruni Bukit Pagoh menghala ke utara.

“Semoga dipermudahkan urusan,” tulisnya ringkas pada hantaran yang meraih lebih 107,000 tontonan setakat ini.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa cemas melihat tayar tersebut bergolek tanpa kawalan di tengah lebuh raya.

“Kereta hitam itu memang bernasib baik. Jauh juga tayar itu bergerak, sangat berbahaya,” kata @nurulmnor72.

“Risau tengok tayar itu melambung ke seberang pula. Ya Allah,” ujar @ayangxzaraa.

“Ya Allah, nasib baik tidak sempat melintas. Nasib baik juga kereta hitam itu sempat lepas,” kata @untitiyy. – KOSMO! ONLINE

Dua lelaki ditahan disyaki terbabit kes wanita maut di Kuala Kangsar

Buletin TV3

KUALA KANGSAR: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes seorang wanita berusia 49 tahun ditemukan maut dalam sebuah rumah di Kampung Cheh Kati, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihak Balai Polis Kati menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.38 petang selepas ahli keluarga mangsa menyedari kejadian kira-kira jam 2.15 petang.

“Ahli keluarga menyedari mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di ruang tamu rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Taiping bagi tujuan bedah siasat.

“Pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut. Pihak polis turut menjumpai satu bilah pisau disyaki senjata yang digunakan oleh suspek semasa kejadian,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Mohamad Fadhil Ab Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar di talian 019-7272033 atau Bilik Gerakan IPD Kuala Kangsar di talian 05-7762222.

Skandal guru dan pelajar lelaki terbongkar, beberapa kali didakwa daftar masuk hotel

Wartawan HM
am@hmetro.com.my

Serdang: Perbuatan seorang guru wanita yang didakwa menjalin hubungan terlarang dengan pelajarnya terbongkar selepas video membabitkan mereka diketahui keluarga remaja berusia 17 tahun itu dan pihak sekolah.

Difahamkan hubungan terjalin sejak tahun lalu dengan mereka beberapa kali didakwa mendaftar masuk hotel di Seri Kembangan selain bertemu di kediaman guru berusia 30-an terbabit.

Menurut sumber, pelajar lelaki berkenaan mendakwa guru itu pada mulanya mengajaknya keluar untuk berjalan-jalan dan makan sebelum membawanya ke sebuah hotel di Seri Kembangan.

Katanya, guru terbabit didakwa melakukan perbuatan seksual selain merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit.

"Kejadian itu berlaku beberapa kali termasuk di kediaman suspek.

"Bagaimanapun perbuatan itu terbongkar Isnin lalu selepas pihak keluarga dan sekolah mengetahui mengenainya, termasuk menemui video yang dirakam," katanya.

Susulan itu, pelajar dan pihak sekolah dikatakan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sumber berkata, susulan laporan itu, polis menahan guru wanita berkenaan di sekitar Bandar Kinrara pada 10.30 malam, Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sementara itu, Harian Metro sedang mendapat pengesahan pihak polis.

Wanita sempat maklum kaki ditusuk objek tajam sebelum maut

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
POLIS melakukan siasatan di rumah wanita OKU maut dengan kesan tusukan pada kaki di Kampung Cheh Hilir, Kati di Kuala Kangsar, sambil disaksikan penduduk. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
POLIS melakukan siasatan di rumah wanita OKU maut dengan kesan tusukan pada kaki di Kampung Cheh Hilir, Kati di Kuala Kangsar, sambil disaksikan penduduk. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
Kuala Kangsar: Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) lembam ditemukan meninggal dunia dengan kesan tusukan di betis dalam kejadian di Kampung Cheh Hilir, Kati, di sini, hari ini.

Nor Ainon Omar, 49, yang mengalami pendarahan teruk ditemukan terbaring di dalam rumah yang dihuni bersama suami dan tiga anak yang juga OKU.

Tinjauan di lokasi mendapati orang ramai mengerumuni lokasi kejadian ketika polis melakukan siasatan, sebelum mayat mangsa dibawa keluar lewat petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cheh Hilir, Nur Halim Abdul Hamid berkata, dia dihubungi penduduk lain yang meminta ke lokasi selepas kejadian tersebar.

Katanya, sebaik tiba kira-kira 2 petang, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan yang dipercayai akibat tusukan objek tajam di betisnya.

"Ketika kejadian, suami mangsa yang berusia 43 tahun turut berada di rumah. Saya difahamkan, dia minta pertolongan penduduk yang kemudiannya datang memaklumkan kepada saya.

"Bila saya tanya suami mangsa macam mana ia boleh berlaku, dia mengatakan tak tahu, cuma isterinya (sempat) berkata yang kakinya dicucuk dengan objek tajam dari celahan papan dari bawah rumah," katanya ditemui di lokasi hari ini.

Nur Halim berkata, penduduk kampung turut menggerakkan usaha mencari seorang daripada tiga anak mangsa dan remaja lelaki berusia 15 tahun itu dipujuk supaya pulang untuk membantu siasatan.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Suliana Jalaluddin, 37, berkata, dia mengetahui kejadian itu pada 2.16 petang selepas abangnya menghantar mesej bergambar menunjukkan keadaan kakak iparnya dalam kumpulan sembang WhatsApp.

Katanya, keluarga abangnya sememangnya dikenali penduduk setempat, selain sering mendapat perhatian jawatankuasa kampung memandangkan arwah dan tiga anak adalah OKU.

"Apa yang kami tahu, hubungan antara arwah, suaminya serta tiga anak mereka memang rapat. Kakak ipar saya adalah OKU dan anak-anaknya, yang sulung 17 tahun OKU fizikal dan dua lagi OKU pembelajaran," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, perkembangan kes akan dimaklum kemudian.

CCTV tunjuk pelajar curi duit pengusaha kantin RM749

Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar rakaman CCTV menunjukkan pelajar lelaki didakwa mencuri duit RM749 hasil jualan pengusaha kantin sebuah sekolah berasrama di Melaka.
TANGKAP layar rakaman CCTV menunjukkan pelajar lelaki didakwa mencuri duit RM749 hasil jualan pengusaha kantin sebuah sekolah berasrama di Melaka.
Jasin: Pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah berasrama di sini didakwa mencuri wang jualan pengusaha kantin berjumlah RM749, semalam.

Pengusaha itu, Nur Liyana Abdul Khalid, 30, berkata, kejadian disedari pekerjanya kira-kira 9.30 malam selepas mendapati bungkusan mengandungi wang hasil jualan termasuk makanan sesi petang hilang.

Katanya, semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mendapati seorang pelajar lelaki yang memakai baju kurta kelabu, berseluar hitam dan berkopiah memanjat kaunter sebelum mengambil wang berkenaan yang diletakkan bersebelahan peti duit.

"Selepas berjaya mengesan pelajar itu, (ketika disoal) dia memaklumkan hanya mengambil RM5, namun selepas ditanya beberapa kali, dia mengaku mengambil RM749 seperti dalam rakaman CCTV.

"Pekerja saya kemudian meminta pelajar berkenaan memulangkan semula wang berkenaan namun hanya ada RM718, manakala RM31 lagi didakwa sudah digunakan untuk membayar hutang rakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan itu pekerjanya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Nur Liyana yang mengusahakan kantin sekolah itu sejak 2024 mengaku pernah kehilangan wang jualan beberapa kali sebelum ini, namun tidak mengambil sebarang tindakan kerana kekurangan bukti.

"Kejadian terbaharu ini mendorong saya mengambil tindakan tegas kerana berpandangan perkara ini (kecurian) tidak sepatutnya berlaku di sekolah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Lee Robert yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kecurian itu dan siasatan masih dijalankan.

Tiga pelajar IPTS warga asing ditahan berkaitan kes bunuh

LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR

IPOH – Tiga pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) warga asing berusia antara 17 hingga 20 tahun ditahan polis dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh seorang lelaki tempatan di kawasan Kampung Kuchai, di sini pada 18 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, mangsa yang berusia 53 tahun telah ditemui oleh orang awam dalam keadaan terbaring serta mengalami kecederaan pada bahagian muka.

“Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Dia telah menerima rawatan di hospital selama beberapa hari sebelum disahkan meninggal dunia semalam, kira-kira pukul 6.42 petang,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala.

Muhammad Najib berkata, susulan siasatan yang dijalankan, polis telah menahan tiga individu warga asing berusia antara 17 hingga 20 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.

“Ketiga-tiga suspek merupakan pelajar di sebuah IPTS di Ipoh. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-245 1500 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE