"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Bila Umno mahu lancarkan tabung pulihkan kerugian 1MDB?'

Malaysiakini

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda secara sinis mempersoalkan bilakah Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan menggerakkan tabung bagi membantu memulihkan wang negara yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Persoalan itu dibangkitkan susulan tindakan Umno melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu bekas perdana menteri, Najib Razak membayar denda RM50 juta yang menjadi syarat kepada pengampunan bersyaratnya.

Lebih mengejutkan katanya, Asyraf Wajdi mengumumkan sebanyak RM634,562.02 berjaya dikumpulkan dalam tempoh tiga jam selepas tabung itu dilancarkan.

“Jika Umno mempunyai kemampuan menggerakkan jentera sehingga ratusan ribu ringgit dapat dikumpulkan dalam masa beberapa jam, mengapa kekuatan yang sama tidak digerakkan untuk membantu negara memulihkan kerugian akibat skandal kewangan yang berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri?

“Di manakah Tabung Solidariti untuk rakyat Malaysia? Di manakah kutipan besar-besaran untuk membantu memulihkan dana negara?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadhli, Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana SRC International, dengan sabitan itu kemudiannya dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

“Persoalannya, apakah sebenarnya yang mahu disolidaritikan oleh Umno? Najib Razak bukan sedang dihukum kerana memperjuangkan rakyat," tambahnya.

Semalam Umno mengumumkan parti itu mengambil inisiatif melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Ini selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Jumaat berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan itu terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.

Semalam Asyraf mengumumkan tabung itu mencatat kutipan lebih RM634,000 dalam tempoh tiga jam pertama selepas dilancarkan.

Beliau berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib perlu dihormati, namun ia tidak mengubah hakikat bahawa sabitan jenayah dalam kes SRC telah diputuskan melalui proses mahkamah.

Fadhli turut mempersoalkan kerugian yang dikaitkan dengan 1MDB dan manfaat yang boleh diberikan kepada rakyat sekiranya dana berkenaan dapat dipulihkan.

“Tidak sedarkah Dr Asyraf Wajdi dan Umno bahawa skandal 1MDB telah menyebabkan negara kerugian lebih RM50 billion dengan lebih RM20 bilion dianggap kerugian yang tidak boleh dikembalikan?

"Tahukah Dr Asyraf Wajdi bahawa dengan jumlah RM20 bilion itu sekurangnya 10 hospital pakar, 100 klinik kesihatan, 150 sekolah, 40,000 unit rumah rakyat dan lebih RM100 juta dapat diperuntukkan oleh Kerajaan?” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden DAP Johor, Sheikh Omar Ali, turut mempersoalkan rasional Umno melancarkan tabung untuk membantu Najib yang pernah didakwa menyalahgunakan wang rakyat.

"A salahguna duit orang kampung, kemudian dihukum kerana mengambil duit itu. Bila sampai masa A kena bayar denda, diajak pula orang kampung menyumbang untuk membayarnya. Kemudian sebut 'masyaAllahhh'.. kagum!"

"Duit dari poket orang kampung disalah guna, dari poket orang kampung juga diminta tolong bayarkan denda. Ilmu tahap apakah ini yang nak diajarkan pada rakyat?" soalnya.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya dalam kes SRC International.

Bagaimanapun, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Rakit terbalik: Aktiviti redah jeram bertukar tragedi, wanita 34 tahun ditemukan lemas

Amirul Aiman Hamsuddin
Anggota bomba membantu mengangkat mayat wanita lemas ketika aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu hari ini.- Foto JBPM
HULU SELANGOR: Aktiviti rakit redah jeram (water rafting) enam individu di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.52 petang.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan keterangan rakan mangsa, bot ‘rafting’ dinaiki wanita berusia 34 tahun itu bersama lima individu lain terbalik dan mereka terjatuh di jeram pertama.

“Kesemua mereka terkeluar dari bot kira-kira jam 12 tengah hari. Mangsa didapati tersangkut di dasar air dan rakannya cuba mengeluarkan mangsa daripada halangan.

“Anggota bomba kemudian membawa mangsa ke lokasi selamat sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.

Lelaki maut, 6 cedera nahas tiga kenderaan di Lebuhraya Senai-Desaru

Izz Laily Hussein
Nahas tiga kenderaan di Kilometer 66.6 Lebuhraya Senai-Desaru, menyebabkan seorang maut dan enam lagi cedera. – Foto ihsan polis
KOTA TINGGI: Seorang lelaki maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 66.6 Lebuhraya Senai-Desaru, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa yang maut, Chua Bing Xuan, 26, adalah penumpang Perodua Myvi.

Beliau berkata, polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu pada jam 11.50 pagi.

“Kemalangan membabitkan Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun bersama empat penumpang, selain Proton Exora dipandu lelaki berusia 56 tahun bersama seorang penumpang dan Mazda CX-30 dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.

“Pemandu dan semua penumpang Perodua Myvi serta Proton Exora parah dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, Hospital Pasir Gudang (HPG) Johor Bahru dan Hospital Kota Tinggi (HKT),” katanya melalui kenyataan.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung Proton Exora dari arah bertentangan.

“Mazda CX-30 pula melanggar bahagian belakang Proton Exora, manakala pemandunya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lumba haram ke?: 3 maut, 9 cedera kemalangan 12 motosikal, 3 kereta

Syafiq Akhir
am@hmetro.com.my
ANTARA motosikal yant terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
ANTARA motosikal yant terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Ipoh: Tiga penunggang motosikal maut manakala sembilan lagi cedera dalam satu kemalangan ngeri membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 3.35 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua 15 kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru menghala ke Tambun sebelum terbabit dalam kemalangan di lokasi berkenaan.

"Akibat nahas itu, dua penunggang motosikal berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sembilan lagi penunggang berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun yang cedera telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, seorang lagi remaja lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut seramai tiga orang.

"Ketiga-tiga pemandu kereta yang terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dan urutan sebenar kejadian berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh," katanya.

Sepasang rakyat Malaysia seludup ganja ke Singapura ditahan

KOSMO
GANJA seberat lebih 10 kilogram yang dirampas di Pusat Pemeriksaan Tuas, Singapura semalam. - ICA
SINGAPURA – Dua rakyat Malaysia ditahan selepas cuba menyeludup ganja seberat lebih 10 kilogram di Singapura, kata Pihak Berkuasa Imigresen dan Pos Kawalan (ICA) seperti laporan laman berita Channel News Asia. 

Kedua-dua suspek yang merupakan seorang lelaki berumur 36 tahun dan wanita berusia 35 tahun, tiba di Pusat Pemeriksaan Tuas dengan menaiki sebuah motosikal bernombor pendaftaran Malaysia semalam. 

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pusat Sasaran Bersepadu ICA, polis menahan motosikal tersebut untuk pemeriksaan. 

“Semasa pemeriksaan, pegawai ICA menemukan empat berkas bahan sayuran yang dipercayai dadah terkawal di bawah tempat duduk motosikal,” kata ICA dalam satu kenyataan semalam. 

Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) dimaklumkan mengenai penemuan itu dan segera menjalankan pemeriksaan lanjut. 

Mereka kemudian menemukan enam lagi bungkusan bahan sayuran dipercayai dadah terkawal dalam beg sandang hitam pada palang motosikal. 

Bungkusan yang dirampas didapati mengandungi kira-kira 10.1 kilogram ganja, demikian menurut ICA. 

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih S$203,000 (RM649,787) dan berpotensi dijadikan bekalan kepada kira-kira 1,450 penagih untuk tempoh seminggu,” tambah ICA. 

Lelaki ditemukan meninggal dunia di celah batu selepas 4 hari hilang

Ezra Kamilea
Mayat lelaki yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu ditemukan di celah batu di Kampung Fairy, Bau, hari ini.- Foto JBPM
KUCHING: Lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Fairy, Lorong 5, di Bau, sejak empat hari lalu ditemui meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Clement Chimiet Condos, 29, yang dilaporkan hilang sejak 16 September lalu, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di celahan batu pada ketinggian 20 meter berhampiran rumahnya pada jam 2.50 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.25 tengah hari Khamis lalu sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi.

“Mangsa dilaporkan hilang sejak 10 pagi, 16 September lalu dari kebun milik keluarganya yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari rumah mereka.

“Usaha pencarian awal oleh ahli keluarga di kawasan sekitar gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata memasuki hari ketiga operasi SAR hari ini, pasukan penyelamat yang dibahagikan kepada dua seksyen memulakan pencarian seawal jam 8.10 pagi.

Wanita jatuh dalam perigi sedalam 12 meter

KOSMO
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa dari perigi sedalam 12 meter. - Lambe Turah
JAKARTA – Seorang wanita di Bogor, wilayah Jawa Barat cedera selepas terjatuh pada kedalaman 12 meter di dalam sebuah perigi semasa membaiki paip, lapor laman berita Lambe Turah.

Kejadian berlaku sekitar pukul 5.30 pagi (waktu tempatan) di Sukaraja kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai ME, 35, terjatuh ke dalam perigi selepas hilang keseimbangan semasa cuba membaiki paip.

Ketua Jabatan  Bomba dan Penyelamat Kabupaten Bogor, Yudi Santosa berkata, suami dan jiran ME cuba mengeluarkan mangsa tetapi gagal, menyebabkan mereka menghubungi anggota bomba.

“Anggota bomba bergegas ke tempat kejadian. Operasi menyelamat menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat kira-kira 45 minit kemudian. Perigi tersebut sedalam 12 meter,” kata Yudi.

Mangsa mengalami cedera ringan dan dia dirawat oleh keluarganya. – AGENSI

‘Housemate’ hilang, gantung air kencing dekat tingkap bilik

KOSMO!
Gambar dikongsikan pengguna tersebut memaparkan keadaan bilik rakan serumahnya yang sudah berbau dan dipenuhi air kencing.
PETALING JAYA – Seorang pengguna Threads meluahkan rasa kecewa apabila rakan serumahnya didakwa meninggalkan rumah secara tiba-tiba dengan keadaan bilik yang kotor dan berbau busuk.

Menurut pengguna berkenaan, dia bukan sahaja terpaksa menanggung bahagian sewa rumah yang tidak dibayar, malah mendakwa sudah membantu membayar RM350 sebulan bagi pihak rakan serumahnya ketika individu itu tidak bekerja selama enam bulan.

“Bulan ini tahu-tahu hilang begitu sahaja lari. Bilik sendiri dah macam apa dah dengan kencing dalam botol dan dalam plastik, bau busuk hancing,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Pengguna itu mendakwa keadaan bilik rakannya itu hanya diketahui selepas mengambil keputusan untuk memeriksanya, selain terdapat bau najis yang kuat.

“Saya kena tolong bayar juga sebab rumah ini saya yang berurusan dengan pemilik. Saya tak nak nama saya busuk atau bermasalah dengan pemilik rumah. saya terpaksa bayar bahagian dia yang tak bayar itu,” katanya.

Dalam hantaran sama, pengguna berkenaan turut mendakwa rakan serumahnya meninggalkan sejumlah hutang kira-kira RM2,000 kepadanya.

Dia turut berkongsi beberapa gambar yang didakwa menunjukkan keadaan ruang rumah serta sejumlah botol serta plastik yang digantung di tingkap dan dinding bilik berisi air kencing.

“Saya nak minta hutang saya RM2,000. Nak lari pun kemaslah dulu bilik macam mula-mula kau masuk, bersih saja,” katanya.

Menurutnya, masalah berkenaan bukan perkara baharu kerana dia mendakwa sudah bersabar sejak 2023 susulan bayaran sewa yang sering lewat dan tidak mencukupi.

“Lama dah saya sabar dari tahun 2023. Saya sabar sebab kau selalu bayar lambat dan tak cukup, tapi saya bertolak ansur. Tapi kau lari macam itu saja,” katanya.

Pengguna itu bagaimanapun berkata, dia memilih untuk tidak mendedahkan identiti atau wajah rakan serumahnya walaupun mendakwa sudah banyak membantu dan menutup masalah individu berkenaan sebelum ini.

Hantaran tersebut mencetuskan perhatian pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman masing-masing berdepan masalah rakan serumah.

“Aku pun ada budak serumah yang pengotor, jarang gila nampak dia mandi pagi sebelum ke kelas, letak perfume (minyak wangi) jadi bau kepam sahaja,” kata seorang pengguna.

“Sama kes macam dua tahun lepas, ada satu geng rumah ni memang jenis pengotor. Masalahnya dia ni perempuan, sisa makann biar dalam singki, kadang pinggan makan sendiri tak basuh, sampah berulat pun tak buang. Kami setiap bilik ada tong sampah masing-masing depan pintu, geli laa.. muka cantik, perangai buruk,” dedah pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE

Anthony Loke letak jawatan susulan pengampunan Najib

Haspaizi Zain

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke akan meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan sebagai reaksi terhadap pengampunan bersyarat kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung selama tiga jam di ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.

Loke berkata, DAP bagaimanapun menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

"Kita capai satu keputusan saya tawarkan diri saya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan.

"Ahli-ahli jemaah menteri (DAP) yang lain akan kekal berada dalam kerajaan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat.

Semalam, Najib mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Perkara itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bekas presiden Umno itu akan menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, sekiranya dia membayar denda RM50 juta.

“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Loke berkata hanya dia menawarkan diri untuk meletakkan jawatan bagi memastikan kerajaan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim kekal stabil.

Katanya, jika semua anggota jemaah menteri dari DAP meletakkan jawatan ia memberi ruang kepada kerajaan tumbang seperti diharapkan pihak lawan.

Tambah Loke, dia akan memaklumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan kepada perdana menteri dan akan mengambil masa bagi menyelesaikan beberapa kerjanya di kementerian berkenaan.

"Walaupun mereka (anggota kabinet dari DAP) juga sedia walau pada mana-mana waktu, apa-apa ketika, CEC buat keputusan mereka kekal untuk pastikan kerajaan stabil.

"Pendirian DAP diterjemahkan dengan peletakan jawatan saya sebagai menteri," tambahnya lagi.

Bercakap mengenai pengampunan Najib, Loke berkata belum pernah mana-mana individu yang terbabit dengan jenayah rasuah diletakkan di bawah tahanan rumah.

"Namun begitu kita hormati kuasa Agong," tambahnya lagi.

Semalam, Peguam Negara Dusuki Mokhtar menyatakan bahawa pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib hanya terpakai bagi hukuman penjara yang dikenakan dalam kes SRC International.

Penjelasan Dusuki itu bermakna Najib mungkin perlu kembali ke penjara memandangkan dia masih berdepan dengan beberapa kes jenayah lain di mahkamah.

Ini termasuk hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu selepas dia didapati bersalah atas 25 pertuduhan dalam kes 1MDB yang berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar denda sebanyak RM11.38 bilion. Najib sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan kesalahan tersebut.

Wanita DAP gesa dedah minit mesyuarat Lembaga Pengampunan

Dalam satu kenyataan di Facebook, Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching berkata bahawa keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang mendalam.

Dia juga menggesa kerajaan supaya mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Teo turut memuji kepimpinan Loke susulan keputusan yang dibuatnya itu.

"Keberanian dan kebijaksanaan Loke dalam membuat keputusan yang berani pada saat kritikal ini mencerminkan kualiti kepimpinannya serta prinsip yang sekian lama dipegang oleh DAP.

"Demi ketelusan dan akauntabiliti kepada umum, Wanita DAP menggesa kerajaan supaya mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan.

"Orang ramai berhak mendapat penjelasan yang menyeluruh mengenai pertimbangan dan proses yang membawa kepada keputusan ini," tambahnya.

Tahanan rumah Najib pedang bermata dua buat Umno

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Walaupun tahanan rumah bekas perdana menteri, Najib Razak memberi suntikan politik kepada Umno, tetapi penganalisis menyifatkannya “pedang bermata dua” yang berpotensi menolak pengundi Melayu atas pagar serta kelas pertengahan menjauhi parti itu.

Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, Umno mungkin mendapat sedikit lonjakan sokongan di kubu tradisionalnya, khasnya kerusi yang dimenanginya dengan majoriti tipis pada PRU 2022.

Beliau berkata, kedudukan Presidennya, Zahid Hamidi juga akan “diperkukuh sementara” kerana beliau dilihat sebagai “pembela setia Najib”.

“Sesetengah individu yang menyokong Umno sejak dulu akan terus berbuat demikian. (Tetapi) pengundi yang tidak setia kepada mana-mana parti mungkin menjauhkan diri daripada Umno. Mereka mungkin bimbang dengan tindakan bersungguh-sungguh parti itu membela pesalah yang pernah mengetuai parti itu,” katanya kepada FMT.

Jelasnya, Najib juga boleh muncul sebagai satu lagi pusat pengaruh dalam Umno, walaupun kes mahkamah lainnya kekal sebagai halangan kepada usaha pemulihan kerjaya politiknya.

Presiden Majlis Profesor Negara, Raduan Che Rose, turut senada keputusan tahanan rumah Najib boleh memulihkan semangat serta mengukuhkan sentimen penyokong tradisional Umno kerana ramai ahli melihatnya sebagai hasil lebih “berperikemanusiaan” selepas bertahun-tahun bimbang dengan masalah perundangan dihadapinya.

Tetapi, tegasnya, reaksi di luar pangkalan sokongan Umno mungkin berbeza kerana kebimbangan terhadap sabitan kes rasuah Najib akan terus berlarutan dalam kalangan pengundi lain.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, tahanan rumah itu boleh memberi momentum tambahan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana penyokong Najib akan terdorong dengan keputusan itu — khasnya mereka yang percaya beliau dianiaya secara politik.

Jelasnya, hasil itu akan meningkatkan kedudukan Umno dalam kalangan penyokongnya dan selepas kejayaan parti itu dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan, ia boleh memberi dorongan lanjut kepada Umno dan BN menjelang PRN Melaka akan datang.

Keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri semalam. Menurutnya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Baginda mengetuai mesyuarat lembaga itu, yang dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan dan tiga ahli dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Di bawah pengampunan bersyarat itu, Najib akan menjalani baki hukuman bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Najib, 73, telah menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas lembaga itu mengurangkan separuh daripada hukuman asalnya selama 12 tahun pada Februari 2024 dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Beliau dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes itu.

Pada Disember 2025, Najib didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram lebih RM2 bilion dikaitkan dengan 1MDB. Beliau dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion. Beliau sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan kesalahan itu.

Najib di rumah, Umno di luar

Mohsin Abdullah

Siapakah yang menyediakan makanan untuk tahanan rumah? Menu penjara atau menu rumah?

Sekadar beri tahu apa yang umum sudah tahu. Umno sedang bergembira menyambut keputusan Yang di-Pertuan Agong memberi Najib Razak pengampunan bersyarat yang membolehkannya ditahan di rumah untuk baki hukuman penjara.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya dipetik Malaysiakini berkata keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan semalam boleh dianggap sebagai ‘pendorong semangat yang ketara’ bagi Umno dalam usaha menyatukan penyokong setia Najib di belakang kepimpinan parti semasa.

Pertanyaan yang bermain di minda saya ialah adakah Najib akan bertindak sebagai sort of party adviser? Jika orang Umno dengar nasihatnya bagaimana pula dengan nasihat, atau lebih tepat arahan, Presiden Zahid Hamidi? How will it impact Zahid’s hold on Umno?

But hold on. Bolehkah Najib memainkan peranan penasihat? Bolehkah beliau menceburi politik dari rumah? Perlu diingat Najib masih seorang banduan.

Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, “beliau (Najib) hendaklah mematuhi syarat ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat itu, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.”

Nama pun pengampunan bersyarat maka ada syarat. Bagaimanapun sehingga artikel ini ditulis, pihak berkuasa belum mengumumkan syarat-syarat yang dikenakan ke atas Najib.

Selagi semua syarat tidak kita ketahui sukar untuk menjawab pertanyaan di atas.

Saya pernah menulis mengenai penahanan rumah tiga kali tahun lalu untuk FMT. Ini saya petik sebahagian penulisan berkenaan.

There is no such thing as house arrest in Malaysia. Tiada peruntukan mengenainya dalam sistem perundangan negara.

Akta Penjara 1995 tidak menyatakan sebarang peruntukan khusus bagi tahanan rumah. Akta ini berfungsi menyediakan rangka kerja bagi tadbir urus penjara termasuk pemeliharaan keselamatan dan kesejahteraan tahanan serta pemulihan mereka ke pangkuan masyarakat.

Bagaimanapun di bahagian 2 akta berkenaan, bawah tajuk ‘Penubuhan dan Pentadbiran’ ada seksyen 3 berhubung ‘kuasa mengisytiharkan penjara’ dan menurut seksyen itu: “Menteri boleh melalui pemberitahuan dalam warta mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat atau mana-mana bahagiannya, sebagai suatu penjara bagi maksud akta ini bagi pemenjaraan atau penahanan dalam jagaan sah dan oleh dengan cara yang sama mengisytiharkan bahawa mana-mana penjara sedemikian hendaklah terhenti sebagai suatu penjara bagi maksud akta ini.”

That’s the closest it gets to a house arrest.

Saya bukan pakar perundangan dan adalah tidak wajar buat interpretasi cuma yang saya pasti ‘menteri’ yang disebut tentulah merujuk menteri dalam negeri. Saya juga menulis mengenai pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat dtetapkan dan dipantau pegawai penjara.

Lalu saya bertanya adakah pesalah yang menikmati house arrest bebas bergaul dengan anggota keluarga dan penghuni sedia ada? Pesalah hanya tidak boleh keluar rumah tetapi boleh melakukan apa sahaja di rumah?

Bolehkah si pesalah terima kunjungan pelawat? Siapakah yang menyediakan makanan untuk pesalah? Pegawai penjara? Itu semua saya utarakan dalam penulisan tahun lalu.

Untuk artikel ini saya lanjutkan pertanyaan dalam kes Najib berhubung apa yang akan dihidangkan? Menu penjara atau menu rumah? Adakah pegawai penjara akan ditempatkan di dalam rumah untuk mengawasi keadaan?

Saya kira Najib tidak akan diberi kemudahan telefon, wifi dan sebagainya. Saya percaya pelawat akan dibenarkan seperti jadual lawatan di penjara.

Adakah beliau akan dikurung dalam bilik berseorangan? Jika beliau bebas bersama keluarga rasanya beliau mudah untuk menyampaikan salam dan pesanan kepada kawan-kawan di luar menerusi anggota keluarga yang keluar rumah untuk berurusan di luar.

Yang dikurung Najib — anggota keluarga bebas keluar masuk. Tak begitu?

Najib orang politik dan pasti beliau mahu berpolitik lagi. Mungkinkah beliau akan merangka strategi dan mengatur perancangan untuk Umno dari rumah? Work from home?

Saya ulangi itu semua kita kena tahu apa syarat penahanan rumah yang dikenakan. Tentulah kediaman beliau (atau sebahagian daripadanya) mesti diisytiharkan sebagai ‘penjara’ terlebih dahulu oleh menteri dalam negeri. Betul tak?

Seperkara penting. Pengampunan bersyarat Najib yang membabitkan penahanan rumah dan denda RM50 juta hanya terpakai bagi hukuman penjara kes SRC International. Ini menurut Peguam Negara Dusuki Mokhtar dipetik Malaysiakini.

Najib masih berdepan beberapa kes lain di mahkamah. Najib juga dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh mahkamah tahun lalu bersabit kesalahan 25 pertuduhan dalam kes 1MDB yang berasingan. Mahkamah juga memerintahkan Najib membayar denda RM11.38 bilion. Beliau sedang mengemukakan rayuan.

To state the obvious: Banyak lagi masalah Najib.

Pendedahan adik Puteri Diana gegarkan Istana Buckingham, Charles didakwa 'gembira' kematian Diana

Agensi

Diana didaka pernah mahu membatalkan pertunangan selepas Charles menunjukkan minat yang sangat sedikit terhadapnya ketika sambutan hari lahir ke-21 Andrew Mountbatten-Windsor. Bagaimanapun, hasrat Diana itu ditentang oleh bapanya. - Gambar fail/ Reuters
LONDON: Sebuah buku baharu tulisan adik kepada mendiang Puteri Diana, Earl Charles Spencer mencetuskan kontroversi di Britain selepas beberapa petikan awal yang diterbitkan media tempatan mengandungi dakwaan sensasi berkaitan perkahwinan Diana dengan Raja Charles III serta peristiwa selepas kematiannya pada 1997.

Buku berjudul Swan Song itu dijadualkan diterbitkan minggu depan, namun petikan yang disiarkan secara eksklusif oleh Daily Mail telah menarik perhatian ramai dan mengundang reaksi luar biasa daripada Istana Buckingham.

Dalam satu kenyataan, jurucakap istana berkata pihaknya tidak mengulas kandungan buku sebagai prinsip rasmi, namun menegaskan bahawa kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga boleh mempengaruhi pertimbangan dan memori seseorang walaupun bertahun-tahun selepas sesuatu tragedi berlaku.

Berikut antara dakwaan utama yang terkandung dalam buku berkenaan:

Charles didakwa kelihatan "terlalu gembira" selepas kematian Diana

Antara dakwaan paling kontroversi ialah gambaran Spencer mengenai reaksi Charles selepas mendapat berita kematian Diana dalam nahas jalan raya di Paris pada 31 Ogos 1997.

Spencer menulis ketika beliau menghubungi bekas abang iparnya selepas dimaklumkan bahawa Diana meninggal dunia, Charles kedengaran seolah-olah "terlalu gembira", malah disamakan seperti "pemenang loteri."

Menurut Spencer, beliau percaya reaksi awal Charles mungkin lebih tertumpu kepada kebebasannya untuk berkahwin dengan wanita yang dicintainya berbanding meratapi kehilangan bekas isterinya.

"Kita akan lupakan dia tidak lama lagi"

Dalam satu lagi perbualan telefon yang berlaku ketika mereka berdebat mengenai sama ada Putera William dan Putera Harry perlu berjalan di belakang keranda ibu mereka semasa upacara pengebumian, Spencer mendakwa, Charles menunjukkan kemarahan yang ketara.

Beliau mendakwa, Charles kemudian melontarkan kata-kata yang memperlihatkan rasa tidak senang terhadap populariti Diana.

Menurut Spencer, Charles berkata: "Percayalah, kita akan melupakan dia tidak lama lagi."

Spencer menyifatkan kenyataan itu sebagai sesuatu yang sukar dipercayai sehingga beliau segera menamatkan panggilan tersebut.

Perkahwinan Charles dan Diana dikatakan bermula tanpa cinta

Spencer turut mengimbas kembali hubungan tidak bahagia antara kakaknya dan Charles sebelum mereka berkahwin.

Beliau mendakwa, mendiang Diana pernah mahu membatalkan pertunangan selepas Charles menunjukkan minat yang sangat sedikit terhadapnya ketika sambutan hari lahir ke-21 Andrew Mountbatten-Windsor.

Menurut Spencer, Diana memberitahu bapanya bahawa beliau tidak sanggup meneruskan perkahwinan dengan seorang lelaki yang jelas tidak mencintainya.

Namun, bapanya didakwa enggan membenarkan pertunangan itu dibatalkan.

Spencer juga mendakwa, sehari sebelum majlis perkahwinan mereka pada 1981, Charles memberitahu Diana bahawa beliau gembira untuk berkahwin dengannya, tetapi tidak benar-benar mencintainya.

Komen mengenai berat badan Diana

Beberapa hari selepas pertunangan mereka diumumkan, Spencer mendakwa Charles memegang pinggang Diana sebelum berkata: "Agak berisi di sini, bukan?"

Komen itu dikatakan memberi kesan mendalam kepada Diana yang ketika itu berdepan masalah bulimia.

Menurut Spencer, ukuran pinggang Diana mengecil secara ketara antara tempoh pertunangannya sehingga hari perkahwinan.

Ratu Elizabeth II mahu kembalikan gelaran diraja Diana

Spencer turut mendakwa bahawa pada hari pengebumian Diana, Ratu Elizabeth II menawarkan untuk mengembalikan gelaran "HRH" (His/Her Royal Highness) yang ditarik balik selepas perceraian Diana dan Charles.

Menurut beliau, Diana amat terluka dengan keputusan menarik balik gelaran tersebut yang disifatkannya sebagai tindakan kecil hati dan penuh dendam.

Bagaimanapun, Spencer berkata, beliau menolak tawaran itu kerana merasakan kakaknya tidak akan menganggap pengiktirafan selepas kematian sebagai sesuatu yang bermakna.

"Saya tahu bagaimana Diana akan melihat perkara itu. Diana sudah tiada," tulisnya.

Istana Buckingham tampil pertahan Raja Charles

Penerbitan petikan buku itu menghidupkan semula perdebatan lama mengenai hubungan Charles dan Diana yang sering menjadi perhatian dunia.

Kenyataan balas yang dikeluarkan Istana Buckingham juga dianggap luar biasa memandangkan keluarga diraja Britain lazimnya tidak mengulas kandungan buku atau dakwaan berkaitan kehidupan peribadi mereka.

Setakat ini, Raja Charles III belum memberikan sebarang respons peribadi terhadap dakwaan yang dikemukakan dalam Swan Song, manakala perhatian kini tertumpu kepada penerbitan penuh buku tersebut yang dijangka mencetuskan perbincangan lebih meluas mengenai sejarah keluarga diraja Britain. - Agensi

Pengampunan bersyarat Najib dan persoalan yang bermain di fikiran rakyat

Harapandaily

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Hari ini adalah hari yang bercampur baur perasaan bagi rakyat Malaysia. Bagi penyokong Umno, pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong kepada Datuk Seri Najib Razak adalah satu perkara yang membahagiakan.

Bagi mereka yang terkilan dengan perbuatan Najib Razak berkaitan 1MDB akan berasa perjuangan mereka menjatuhkan BN Umno pada tahun 2018 sebagai suatu tragedi yang tidak mungkin dilupakan. 

Mereka berasa sepatutnya pesalah itu dihukum sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah.

Hari ini YDPA telah memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23/8/2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. 

Beliau juga hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan jika syarat itu dilanggar, beliau akan dengan serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.

Per. 42 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada YDPA untuk memberikan pengampunan. 

Mahkamah Persekutuan dalam kes Public Prosecutor v. Soon Seng Sia Heng & 9 Other Cases [1979] 1 MLRA 384; [1979] 2 MLJ 170, menyatakan, 

“When considering whether to confirm, commute, remit or pardon, His Majesty does not sit as a court, is entitled to take into consideration matters which courts bound by the law of evidence cannot take into account, and decides each case on grounds of public policy; such decisions are a matter solely for the executive. We cannot confirm or vary them; we have no jurisdiction to do so. The royal prerogative of mercy, as is recognised by its inclusion in Chapter 3 of Part IV of the Constitution, is an executive power as in Jamaica, Hinds v. The Queen [1976] 1 All ER 353 372. Criminal Application No. 12.”  

Maksudnya, dalam hal pengampunan, YDPA bukanlah berfungsi sebagai mahkamah yang perlu mematuhi kehendak pembuktian undang-undang. 

Terpulang kepada YDPA untuk menggunakan kuasanya secara eksekutif. Pengampunan ini dianggap sebagai kuasa budi bicara atas ehsan  diraja (royal prerogative of mercy).

Sebagai rakyat Malaysia, kita akur terhadap kuasa YDPA di bawah Perlembagaan dan tidak mempertikaikannya. 

Kuasa ini adalah kuasa mutlak YDPA yang baginda sendiri pun tidak terikat dengan nasihat Lembaga Pengampunan. 

Mungkin kelak nanti orang akan membandingkan betapa beruntungnya menjadi banduan VVIP yang akrab dengan orang kayangan ketimbang dengan banduan pencuri milo di supermarket yang terpaksa meringkuk di penjara biasa. 

Persepsi sebegini tidak dapat dielakkan. Mungkin ada juga yang menyuarakan apakah gunanya ada mahkamah jika seseorang itu dengan semudah itu dapat mengelak daripada hukuman penjara. 

Hakikatnya, hal ini dibenarkan oleh Perlembagaan dan kuasa pengampunan ini tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. 

Terpulanglah kepada rakyat untuk menentukan hal ini kelak di dalam kotak peti undi.

Walaupun begitu, nampaknya pengampunan DS Najib Razak ini bukanlah satu pengampunan penuh. Ianya adalah pengampunan bersyarat. 

Lagipun, syarat utama bagi mendapat tahanan rumah ini adalah Najib mestilah terlebih dahulu menjelaskan denda RM50 juta.

Kita berharap supaya syarat-syarat itu biarlah syarat yang ketat supaya nanti orang ramai tidak memandang rendah kepada institusi penjara. 

Penjara sepatutnya menjadi tempat untuk menjadi pengajaran kepada pesalah supaya jenayah yang sama tidak diulangi. 

Antara fungsi penjara adalah untuk menyekat kebebasan bergerak dan kebebasan untuk hidup seperti orang normal yang boleh berjumpa dengan kawan-kawan atau ahli keluarga. 

Oleh itu, syarat tahanan kepada Najib mestilah sebanding dengan falsafah penjara itu sendiri. Najib hendaklah disekat kebebasannya daripada berjumpa dengan kawan-kawan. 

Beliau mestilah disekat daripada berada di media sosial seperti membuat live dan sebagainya. Sebarang perjumpaan pula hendaklah hanya di kalangan ahli keluarga terdekat. 

Najib juga tidak boleh membuat sebarang aktiviti politik atau memberikan sebarang komen terhadap perjalanan politik negara. 

Biarlah beliau menghabiskan tempoh tahanan itu untuk pembangunan dirinya seperti menghabiskan pengajian PhD atau beribadat kepada Allah.

Selain itu, sudah pasti berita pengampunan bersyarat ini akan meraih publisiti antarabangsa. Ini kerana skandal 1MDB bukanlah calang-calang skandal. 

Skandal ini berkait dengan institusi kewangan antarabangsa seperti JP Morgan. 

Janganlah sampai berita pengampunan ini menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka atau lelucon masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia mengambil mudah hal isu sakau dan rasuah sehinggakan penyakau bertaraf antarabangsa yang melibatkan berbilion wang negara pun boleh mendapat tahanan rumah.

PN go for solo

Fokus 126 kerusi mungkin isyarat PN ‘jalan sendiri’, kata penganalisis

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Tumpuan PAS dan Perikatan Nasional (PN) terhadap 126 kerusi Parlimen menunjukkan gabungan itu sedang membuat persiapan sendiri menghadapi PRU16, langkah yang berpotensi menjejaskan rundingan kerjasama dengan Umno, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata kenyataan Ketua Penerangan PN Annuar Musa mengenai persiapan itu menimbulkan persoalan sama ada kerjasama antara Umno dan PAS benar-benar dapat direalisasikan pada pilihan raya umum akan datang.

“Kalau dengar kenyataan Annuar, ia membayangkan kerjasama PAS dan Umno mungkin tidak berlaku.

“Keadaan menjadi lebih sukar apabila Umno menyatakan mereka mahu kerjasama strategik dengan PAS sahaja, bukan dengan parti dalam PN,” katanya kepada FMT.

Mazlan berkata pendekatan itu juga selari dengan aspirasi PAS sebelum ini untuk mempertahankan semua kerusi Parlimen dimenanginya pada PRU15 serta memperkukuh kedudukannya sebagai parti utama dalam pentadbiran negara.

Pada PRU15, PN memenangi 74 kerusi Parlimen, dengan PAS menguasai 43 daripadanya.

Minggu lalu, Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata jentera pilihan raya PAS dan PN memberi tumpuan kepada persiapan di 126 kerusi Parlimen yang dikenal pasti mempunyai potensi tinggi, tidak termasuk kawasan di Sarawak.

Beliau bagaimanapun menjelaskan PAS tidak semestinya bertanding di semua 126 kerusi itu kerana sebahagiannya mungkin ditandingi parti sekutu.

Sementara itu, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpandangan sasaran untuk memenangi keseluruhan 126 kerusi itu sukar dicapai sekiranya PN berdepan pertandingan tiga penjuru atau lebih.

Menurutnya, persiapan berasingan seperti itu juga berisiko menjejaskan persefahaman politik yang sedang dibina bersama Umno menerusi beberapa pilihan raya negeri.

Beliau berkata kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan PN, sama ada menerusi persefahaman atau bentuk kerjasama lain, boleh menjadi faktor penting dalam usaha mana-mana blok mencapai majoriti mudah 112 kerusi di Dewan Rakyat.

“Untuk membentuk kerajaan dominan oleh sebuah gabungan politik semata-mata dalam dinamik politik Malaysia hari ini hanyalah mimpi dan angan-angan,” katanya.

Umno sebelum ini memberi isyarat bahawa rundingan politik menjelang PRU16 lebih cenderung dilakukan secara langsung dengan PAS berbanding PN secara keseluruhan.

Kelantan: Warga emas hilang selepas lapan bulan kematian isteri

Harian Metro
Kuala Krai: Perubahan ketara seorang warga emas selepas kematian isteri tercinta lapan bulan lepas membimbangkan keluarganya, sebelum lelaki berusia 74 tahun itu dilaporkan hilang di Kuala Pertang di sini, 9 Sept lalu.

Anak angkat mangsa, Syafiq Izwan Abdullah, 33, berkata bapa angkatnya, Fauzi Deris telah mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor pakar psikiatri di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai pada 12 Ogos lalu.

"Saya juga ada bawa abah jumpa doktor pakar psikiatri pada 24 Ogos tetapi janji temu seterusnya pada 15 Sept tidak sempat bawa sebab abah dah hilang enam hari sebelum itu.

"Perubahan pada diri abah berlaku sejak isterinya, Esah Mamat meninggal dunia lapan bulan lepas akibat paru-paru berair," katanya kepada Bernama di Kampung Kuala Pertang di sini hari ini.

Syafiq Izwan berkata sebelum ini bapa angkatnya sering pergi ke kedai kopi yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah dan akan pulang seperti biasa, namun pada hari kejadian dia dipercayai mengubah laluan dan tidak pulang.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Mohd Syawal Zulkefli, 30, berkata dia menyedari ketiadaan mangsa di rumah kira-kira 8.30 malam pada hari berkenaan selepas pulang daripada menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan.

"Memang setiap malam saya teman pak cik tidur di rumah tetapi hari itu saya tengok rumah masih gelap dan saya segera buka lampu untuk carinya di sekeliling rumah tetapi tidak jumpa," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian PBT II Zulhilmi Baharudin berkata walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada Selasa lepas, pihaknya tetap melakukan tinjauan secara berkala di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya akan memberi respons semula terhadap kes berkenaan sekiranya terdapat petunjuk mengenai mangsa.

"Sebelum ini, kita telah mencari mangsa dalam radius lebih lima kilometer meliputi kawasan ladang kelapa sawit dengan dibantu Unit Pengesan (K9) dan seekor anjing, serta agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan menerusi talian 09-7450999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai menerusi talian 09-9666222.

Semalam, Bernama melaporkan warga emas lelaki berusia 74 tahun yang dilaporkan hilang sejak 9 Sept di Kuala Pertang, di sini, masih belum ditemukan, dengan polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan mangsa.

Guru tari tidak mengaku amang seksual dua pelajar lelaki

 Sinar Harian
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ke atasnya. -- Foto: Sinar Harian
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ke atasnya. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang guru tari berdepan empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini pada Jumaat.

Badrulsaufi Wahid, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Berdasarkan dua pertuduhan membabitkan mangsa pertama berusia 14 tahun 10 bulan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 12 dan 13 September 2026 di sebuah rumah di Krubong, di sini.

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun pada penghujung Disember 2025 di sebuah hotel di Melaka Tengah dan awal Jun 2026 di sebuah rumah di Krubong.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan dengan menyentuh mangsa bagi maksud seksual.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan RM40,000 berserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah.

Umar berkata, anak guamnya bekerja sebagai guru tari dan jurusolek serta mempunyai alamat tetap di Krubong selain meminta mahkamah mempertimbangkan faktor tertuduh sebagai pesalah muda.

Beliau turut memaklumkan anak guamnya bersedia mematuhi syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tertuduh tidak mendekati atau mengganggu mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan.

Kes disebut semula pada 20 Oktober depan.

Petugas TNB cedera dipukul, dua lelaki ditahan

MOHD. FAHMI ISMAIL

KAJANG – Seorang petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera di kepala, muka dan tangan selain patah sebatang gigi selepas dipukul dua lelaki di Taman Bukit Segar, Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.05 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi ketika mangsa sedang menjalankan tugas membaca meter elektrik.

“Pengadu yang ternampak rakan sekerjanya kemudian memanggil nama rakannya, namun pengadu dikatakan membuat bising sebelum berlaku perselisihan faham dan pergaduhan dengan dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka dan tangan serta patah sebatang gigi sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Naazron berkata, pada pukul 1.01 petang hari ini, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 35 tahun di sekitar Batu 9 Cheras.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik, namun ujian saringan didapati negatif.

“Barang kes yang digunakan untuk mencederakan pengadu turut dirampas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Norhafdzeli Ismail di talian 010-3755508 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Polis siasat lelaki tunjuk isyarat lucah kepada wanita

ADNAN IBRAHIM
GAMBAR seorang lelaki yang menunjukkan isyarat lucah dan viral di media sosial hari ini.
BATU PAHAT- Polis akan membuka siasatan kejadian seorang lelaki yang juga pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar lantikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam kejadian di Sri Gading di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 29 tahun pada pukul 2 pagi hari ini.

Katanya, melalui laporan itu, kejadian berkenaan telah berlaku semalam kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah kawasan perumahan di kawasan Sri Gading, Batu Pahat, Johor.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa pengadu sedang melalui kawasan tersebut, terdapat beberapa orang pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar lantikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang melaksanakan operasi menangkap haiwan terbiar di kawasan berkenaan.

“Berlaku perselisihan faham di antara kedua pihak sehingga menyebabkan salah seorang pekerja kontraktor tersebut telah menunjukkan isyarat tangan yang difahami adalah berunsur lucah dan mengaibkan kepada pengadu.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) iaitu perbuatan, perkataan atau kelakuan yang menghina, mengaibkan atau mengganggu ketenteraman awam dengan niat mendatangkan kemarahan.,”katanya melalui kenyataan hari ini.

Sebelum itu tular gambar seorang lelaki menunjukkan isyarat lucah dalam media sosial hingga mencetus pelbagai reaksi dan komen dari nitizen.-KOSMO! ONLINE.

Pengampunan Najib 'kompromi politik' PH dan Umno

Qistina Nadia Dzulqarnain

Pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak disifatkan penganalisis sebagai "kompromi politik" bagi Pakatan Harapan (PH) dan BN, dengan kedua-dua gabungan dalam kerajaan itu tidak mungkin dapat mendakwa memperoleh "kemenangan mutlak" hasil keputusan tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya menegaskan bahawa Najib tidak menerima pengampunan penuh atau "kebebasan serta-merta," memandangkan dia perlu menjalani baki hukuman penjara sehingga 23 Ogos 2028, manakala tahanan rumahnya tertakluk kepada pembayaran denda yang tinggi iaitu sebanyak RM50 juta.

Memandangkan sabitan kesalahan Najib dalam kes SRC International—yang berkait dengan skandal kewangan global 1MDB—tidak "dihapuskan secara automatik," Tawfik berpendapat bahawa sifat bersyarat pengampunan itu memberikan ruang politik kepada PH dan BN dalam menangani reaksi orang ramai.

Umno, katanya, boleh mendakwa terdapat "kemajuan" dalam usaha mereka memastikan keadilan buat bekas presiden parti itu, sementara PH pula boleh menegaskan bahawa Najib tidak dibebaskan daripada tuduhan mahupun diberikan "kebebasan tanpa syarat."

"Dalam jangka masa pendek, saya tidak menjangka keputusan ini sahaja akan meruntuhkan kerajaan perpaduan.

"Risiko yang lebih besar terletak pada bagaimana parti-parti tersebut mentafsirkan keputusan itu; sama ada Umno menganggapnya sebagai kemenangan politik ke atas PH, atau jika pemimpin PH secara terbuka mencabar proses perlembagaan, (yang boleh menyebabkan) ketegangan sedia ada dalam kerajaan menjadi semakin parah," tambah pensyarah kanan itu.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa pemimpin tertinggi PH dijadualkan bertemu di pejabat Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada sekitar jam 5.30 petang ini.

Sumber menyatakan bahawa pertemuan itu—yang dijangka melibatkan Anwar sebagai Pengerusi PH, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu—akan membincangkan perkembangan terkini mengenai permohonan pengampunan Najib.

Tetap berisiko jejas sokongan pada Anwar

Tawfik berkata, walaupun keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pagi ini boleh dianggap sebagai "pendorong semangat yang ketara" bagi Umno dalam usaha menyatukan penyokong setia Najib di belakang kepimpinan parti semasa, PH pula mungkin berdepan halangan lebih besar dalam kalangan penyokongnya sendiri.

Secara khusus, Tawfik merujuk kepada penegasan semula pendirian PH pada 9 September lalu bahawa individu yang disabitkan kesalahan dalam kes berprofil tinggi melibatkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa "mesti menjalani hukuman sepenuhnya seperti yang ditetapkan oleh mahkamah".

"Penyokong (PH) yang berorientasikan reformasi mungkin mentafsirkan 'tahanan rumah' sebagai layanan istimewa untuk tokoh politik berpengaruh, (yang) boleh melemahkan naratif antirasuah PH dan memberi ruang kepada pembangkang untuk mempersoalkan konsistensi kerajaan Madani.

"Bagaimanapun, Anwar dan PH boleh menangani kritikan politik itu dengan menjelaskan bahawa ini adalah proses perlembagaan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang melibatkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong, dan bukannya keputusan sepihak oleh perdana menteri atau kabinet," katanya.

Justeru, dia berkata PH harus menghormati keputusan perlembagaan itu sambil menegaskan bahawa sabitan mahkamah terhadap Najib kekal sah dan Putrajaya akan meneruskan reformasi institusi serta antirasuah.

Namun, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyorot bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dianggotai oleh "tokoh-tokoh yang dikaitkan dengan pentadbiran Madani," termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Peguam Negara Dusuki Mokhtar.

Mengambil kira kehadiran kedua-dua individu itu dalam mesyuarat lembaga tersebut, pakar sains politik itu berkata adalah wajar bagi orang ramai mempersoalkan bagaimana keputusan sedemikian boleh dicapai sedangkan ia berisiko "merosakkan sokongan secara serius" terhadap kerajaan Anwar.

Syaza mendedahkan bahawa berdasarkan pemahamannya daripada sumber-sumber tertentu, dorongan di sebalik keputusan Lembaga Pengampunan itu "datang daripada peringkat tertinggi, di samping tekanan dan kempen berterusan daripada Umno."

“Terdapat batasan perlembagaan terhadap sejauh mana kerajaan sendiri boleh mencorakkan atau menghalang keputusan seumpama ini. Walau bagaimanapun, implikasi politiknya terhadap Anwar dan pentadbirannya adalah serius.

“Melainkan kerajaan menjelaskan dengan jelas proses perlembagaan, peranan pihak-pihak yang terlibat serta batasan kuasanya, orang ramai berkemungkinan besar akan menganggap kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Dia berpendapat bahawa walaupun PH mungkin cuba menggambarkan keputusan itu sebagai satu tindakan pengampunan bagi mengiktiraf “sumbangan” Najib sebelum ini sebagai perdana menteri—dan bukannya sebagai pembebasan daripada sabitan kesalahannya—pendekatan sedemikian mungkin tidak memadai bagi penyokong gabungan itu.

Ini kerana, menurutnya, sebahagian daripada kempen PH dan kejayaannya pada Pilihan Raya Umum 2018 didorong oleh ikrar untuk menumbangkan Najib serta mereka yang dianggap sebagai kleptokrat.

Namun, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia mengambil pendirian yang lebih optimistik mengenai perkara ini; dia beranggapan bahawa ketegangan antara PH dan Umno—yang dilihat hampir memuncak sejak kebelakangan ini—mungkin akan reda susulan keputusan hari ini.

“Saya percaya PH akan memberikan kerjasama (bagi melancarkan pelaksanaan keputusan lembaga itu) dan diharapkan isu ini tidak lagi diperdebatkan.

“Memandangkan (Najib) perlu membayar denda RM50 juta sebelum dibenarkan menjalani tahanan di rumah, keputusan ini mungkin malah membantu meredakan sebarang ketegangan antara PH dan Umno,” katanya.

Rafizi gesa dedah syarat penuh tahanan rumah Najib

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mendedahkan semua syarat yang dikenakan terhadap tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Rafizi berkata langkah itu sekurang-kurangnya perlu dilakukan kepada rakyat susulan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib hari ini.

“Biarlah rakyat biasa menjadi mata dan telinga masyarakat supaya pelepasan tahanan di rumah ini dilaksanakan secara tegas mengikut syarat-syarat dikenakan,” katanya dalam kenyataan.

Najib diberikan pengampunan bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat lain.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata bekas perdana menteri itu perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan atau pengampunan bersyarat tersebut akan dibatalkan.

Bagaimanapun, butiran syarat berkenaan tidak dinyatakan.

Rafizi berkata reaksi rakyat terhadap pengampunan bersyarat itu sememangnya berbeza, dengan ada yang marah dan kecewa, manakala sebahagian lain gembira dengan keputusan tersebut.

Katanya, Anwar serta kepimpinan PH daripada PKR, DAP dan Amanah bertanggungjawab memberikan penjelasan dan tidak seharusnya sekadar mengulangi bahawa perkara itu di luar kawalan mereka.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal hutang Anwar dan PH kepada rakyat berhubung 1MDB, khususnya individu yang tidak dikenali ramai yang mengambil risiko besar ketika menjalankan tugas sehingga isu 1MDB diketahui umum,” katanya.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata skandal berkenaan turut mendorong sebahagian rakyat yang sebelum ini tidak pernah mengundi PH untuk menyokong gabungan itu pada pilihan raya umum 2018.

“Oleh itu, sewajarnya Anwar dan kepimpinan PH menjelaskan kepada rakyat mengenai tahanan rumah yang diberikan kepada Najib, walaupun sekadar untuk memberikan penjelasan kepada mereka yang kecewa dengan keputusan itu,” katanya.

Rafizi turut menggesa supaya proses tahanan rumah itu selepas ini dilaksanakan secara “senyap” bagi mengelakkan reaksi orang ramai terus memuncak.

“Kepada Najib, keluarganya dan penyokong mereka, saya harap mereka memahami bahawa luka akibat skandal 1MDB masih mendalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya.

Najib dibenar tahanan rumah jika bayar denda RM50 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah sehingga Ogos 2028, secara bersyarat.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata ia tertakluk sekiranya bekas Ahli Parlimen Pekan itu membayar denda RM50 juta.

“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

“Beliau hendaklah mematuhi syarat ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat itu, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” katanya.

Jabatan itu bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada wujud syarat lain perlu dipatuhi Najib untuk menerima pengampunan bersyarat itu.

Terdahulu, media melaporkan LPWP bermesyuarat semula di Istana Negara hari ini bagi membincangkan permohonan pengampunan bekas presiden Umno itu seminggu selepas pertimbangannya ditangguhkan.

LPWP dipengerusikan Sultan Ibrahim dan turut dianggotai Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh serta tiga anggota lain yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan di Penjara Kajang selepas LPWP mengurangkan separuh hukuman asalnya selama 12 tahun pada Februari 2024.

Denda asal RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta.

Beliau dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Pada Disember 2025, Najib disabitkan atas kesalahan menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM2 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion.

Najib sedang merayu terhadap sabitan itu.

Tikam adik ipar ketika tidur, remaja direman 7 hari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang remaja disyaki berada di bawah pengaruh dadah direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas dipercayai menikam adik iparnya sebanyak tiga kali sehingga mengalami kecederaan pada belakang dan paru-paru semalam.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno selepas membenarkan permohonan polis untuk membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mangsa masih dirawat susulan kejadian itu.

“Keadaannya dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Berdasarkan laporan polis, kejadian dipercayai berlaku 5 pagi semalam apabila suspek menikam dada dan belakang mangsa dipercayai menggunakan pisau sepanjang 14.5 sentimeter.

Sebelum kejadian itu, suspek dikatakan melihat mangsa dan isteri yang juga adiknya berusia 14 tahun sedang bertengkar namun dia hanya berdiam diri.

Suspek dikatakan pulang ke Rengit pada malam sebelum kejadian dan kembali ke rumah didiami mangsa tanpa disedari ahli keluarga lain.

Sebaik tiba di rumah, suspek menendang mangsa yang ketika itu sedang tidur dan sebaik terjaga, suspek terus menikamnya.

Kejadian tidak disedari ahli keluarga kerana mereka semua sedang tidur.

Selepas menikam mangsa, suspek melarikan diri, manakala mangsa yang cedera parah kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) oleh ibu mentuanya.

Suspek kemudiannya ditahan di sebuah kedai menjual barangan terpakai untuk membantu siasatan.

Jeritan bawah timbunan konkrit

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KETIADAAN jentera berat dan peralatan menyukarkan usaha bawa keluar 100 mangsa yang tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan di Gaza.
KETIADAAN jentera berat dan peralatan menyukarkan usaha bawa keluar 100 mangsa yang tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan di Gaza.
Kuala Lumpur: Jeritan kanak-kanak yang terperangkap di bawah timbunan konkrit bergema dalam kegelapan ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengorek runtuhan bangunan kediaman Al-Saada, Tebing Gaza, yang runtuh mendadak awal pagi kelmarin.

Tragedi itu meragut sekurang-kurang 21 nyawa termasuk kanak-kanak manakala 14 lagi cedera dan 12 mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan tidak mengalami kecederaan.

Pengerusi Muslim Care Malaysia-Palestin Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar yang berada di Gaza berkata, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan enam tingkat berkenaan. 

Menurutnya, bangunan itu yang sebelum ini rosak akibat pengeboman tentera Israel menjadi tempat perlindungan keluarga Palestin yang kehilangan kediaman akibat perang.

"Bangunan didiami beberapa keluarga kehilangan tempat tinggal. Ketika kejadian, kira-kira 100 mangsa dipercayai berada di dalamnya atau berhampiran bangunan berkenaan.

"Pasukan pertahanan awam dan penduduk terpaksa menggunakan peralatan serba kekurangan untuk mengalihkan bongkah konkrit. Malah sebahagian operasi dilakukan secara manual menggunakan tangan bagi mencari mangsa yang masih hidup," katanya.

Menurutnya, anggota penyelamat berjaya menarik keluar kanak-kanak dari celah runtuhan manakala suara mangsa meminta pertolongan masih kedengaran dari bawah timbunan konkrit.

"Bangunan Al-Saada terletak di kawasan Al-Sinaa di barat Gaza mempunyai 24 unit kediaman sebelum ini," katanya.

Sementara itu Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, bangunan itu menempatkan keluarga rakyat Palestin yang tiada pilihan lain untuk mendapatkan perlindungan.

Menurutnya, kenyataan itu semalam, ribuan bangunan di Gaza kini berada dalam keadaan rosak dan berisiko runtuh pada bila-bila masa, namun keluarga yang kehilangan kediaman terpaksa terus menghuninya kerana kekurangan tempat perlindungan selamat.

"Anggota Pertahanan Awam Gaza sebelum ini memberi amaran terdapat 2,000 bangunan yang mengalami kerosakan masih didiami penduduk dan keluarga yang dipindahkan.

"Keadaan itu menjadikan tragedi Al-Saada bukan sekadar satu kejadian keruntuhan bangunan, sebaliknya gambaran lebih besar mengenai keadaan ribuan keluarga Palestin yang terpaksa memilih antara berlindung di bangunan yang rosak atau tinggal di khemah tanpa perlindungan mencukupi," katanya.

Menurutnya, mangsa tinggal di sebuah bangunan yang sudah rosak dan retak kerana tiada alternatif lebih selamat.

"Kekurangan jentera berat, bahan api dan peralatan menyelamat menyukarkan usaha mencari mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan," katanya.

Berdasarkan maklumat dikumpulkan, seramai lebih 8,500 penduduk Gaza yang hilang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan di seluruh Gaza setakat ini.

Pada awal September lalu, pasukan penyelamat Gaza turut menemukan jasad 55 anggota keluarga yang tertimbus mati di bawah runtuhan bangunan kediaman hampir tiga tahun lalu.

Semua mangsa tidak sempat lari menyelamatkan diri apabila bangunan didiami menjadi sasaran roket jet pejuang Israel.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menyeru masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuka laluan bantuan serta membenarkan kemasukan segera jentera pertahanan awam, peralatan menyelamat dan keperluan kemanusiaan.

Rampasan kuasa terancang terhadap takhta

Pengkhianatan tertinggi penderhaka: Rampasan kuasa terancang terhadap takhta

Anak Negeri

Kebiadapan melampau sangat terserlah apabila baru angkat sumpah di hadapan Raja Melayu kemudian mahu mengguling baginda.

Istana Lama Seri Menanti Negeri Sembilan
Pada Hari Malaysia, kita menyaksikan satu rampasan kuasa (coup d'état) yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak berpelembagaan: ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (exco) menerbitkan satu kenyataan bersama yang cuba mengesahkan cubaan merampas kuasa yang sumbang dan kelihatannya terancang, terhadap kedaulatan Raja Melayu.

Ini adalah pengkhianatan jentera negeri yang semakin memuncak, diketuai seorang menteri besar yang telah menjadi penderhaka kepada takhta.

Ini dilakukan walaupun Dewan Keadilan dan Undang (DKU)—pihak berkuasa perlembagaan dan adat tertinggi di Negeri Sembilan—telah mengisytiharkan lebih awal tindakan cuba menggugat tahta Yang Dipertuan Besar adalah penderhakaan mengikut undang-undang dan adat. Sebarang proklamasi yang cuba menyingkirkan Yang Dipertuan Besar adalah batal, tidak berpelembagaan, dan tidak berasas sejak dari mula.

Nampaknya, penderhaka ini tidak mengambil masa lama mempamerkan warna sebenar mereka. Dan lihatlah bagaimana mereka memperalatkan Adat Perpatih untuk mengelak daripada kebertanggungjawaban, mewujudkan seakan perisai di mana mereka cuba berlindung daripada penguatkuasaan undang-undang.

Kebiadapan melampau individu ini sangat terserlah. Mereka baru saja mengangkat sumpah di hadapan Raja Melayu yang sama yang cuba mereka gulingkan hanya lebih sebulan lalu, dan sebahagian mereka juga menerima darjah kebesaran daripada Yang Dipertuan Besar sama tidak berapa lama dahulu.

Untuk melutut di hadapan seorang Raja Melayu bagi menerima pengiktirafan dan mengangkat sumpah jawatan, hanya untuk berpaling semula dan terlibat secara aktif dalam rampasan kuasa menggulingkan baginda, adalah kemuncak kebankrapan moral dan pengkhianatan politik.

Pelakon-pelakon subversif berkenaan beroperasi di bawah khayalan melampau portfolio pentadbiran negeri kononnya memberi hak untuk mereka memahkota atau menyingkirkan seorang Raja Melayu.

Di Negeri Sembilan, pelantikan eksekutif langsung tidak mempunyai nilai hak kuasa berhubung pewarisan takhta—satu kuasa mutlak yang berakar umbi dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan tradisi suci Adat Perpatih.

Exco berfungsi sebagai badan pentadbir menguruskan portfolio negeri, menjalankan kuasa eksekutif semata-mata atas nama Yang Dipertuan Besar. Ia mempunyai sifar bidang kuasa perlembagaan untuk campur tangan dalam institusi Yang Dipertuan Besar.

Dalam krisis yang belum pernah terjadi ini, DKU tegas melaksanakan kuasa tertingginya mengecam gerakan exco sebagai rampasan kuasa tidak berpelembagaan dan satu perbuatan derhaka, mengisytiharkan sebarang cubaan menyingkirkan Yang Dipertuan Besar terbatal sama sekali.

Pengkhianatan itu paling ketara dalam sebuah entiti politik yang platform asasnya mendakwa memperjuang dan membela Raja-Raja Melayu. Sebaliknya, entiti tersebut memilih kepentingan politik, berbanding keluhuran perlembagaan.

Apabila mendalangi atau menyokong penderhakaan ini, mereka telah mendedahkan diri sebagai pengkhianat kepada perjuangan mereka sendiri, menukar kesetiaan yang suci kepada Raja Melayu demi kepentingan politik.

Rampasan kuasa terbabit adalah kempen persepsi direka teliti untuk menghasilkan kekacauan perlembagaan yang direka-reka. Dianjurkan di sebalik pintu tertutup, komplot itu bergantung pada mesej awam yang diselaraskan dan naratif berita sensasi digembar-gemburkan untuk memberi tekanan kepada jentera negeri dan memaksa warta rasmi.

Individu-individu ini tidak tiba di persimpangan dengan tangan yang bersih. Apabila kepentingan komersial peribadi, urus niaga tanah yang meragukan, dan konsesi sumber—seperti yang mengelilingi unsur nadir bumi (REE)—bergabung dengan usaha untuk meruntuhkan ketenteraman perlembagaan, ia menunjukkan sesuatu yang jauh lebih berbahaya daripada ketidakpatuhan mudah: cubaan terancang menggulingkan seorang Raja Melayu demi mengeksploitasi aset negeri di bawah lindungan kekeliruan adat yang palsu.

Di tengah-tengah pergolakan politik ini, penjawat awam Negeri Sembilan mesti terus teguh, setia kepada Raja Melayu, dan penuh komited menegakkan keluhuran Perlembagaan.

Penjawat awam terikat dengan sumpah jawatan rasmi mereka untuk menumpahkan taat setia yang sebenarnya kepada Yang Dipertuan Besar dan kedaulatan undang-undang, bukan kepada ahli politik yang cuba meruntuhkan pihak berkuasa diraja demi cita-cita peribadi. Untuk goyah atau tunduk kepada tekanan politik adalah satu pengkhianatan kepada kepercayaan awam dan tunggak asas pentadbiran negeri.

Gugat Raja Melayu penderhakaan tertinggi

Dari sudut sejarah, di bawah Adat Perpatih, derhaka tidak pernah dianggap ringan. Pepatah adat ‘terbuang ke rimba, dihanyutkan ke laut’ mentakrifkan keterukannya—pesalah menghadapi penarikan gelaran, pemulauan total, dan dibuang negeri. Tradisi tidak pernah bertolak ansur dengan mereka yang memperalatkan adat terhadap kedaulatan Raja Melayu.

Di luar adat, hujah perundangannya sangat jelas tanpa kekaburan. Perlindungan Raja-Raja Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 71 dan 181(1). Di bawah Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan, kesalahan menggugat kedaulatan seorang Raja membawa hukuman berkanun yang berat, termasuk penjara seumur hidup. Digabungkan dengan Akta Hasutan, menggugat seorang Raja Melayu adalah penderhakaan tertinggi di sisi undang-undang persekutuan.

Tambahan pula, daulat itu benar. Lebih kuat oportunis politik berkonspirasi terhadap seorang Raja Melayu yang sah berdarah Raja tulen, lebih kuat tindak balas yang membalas kembali. Kuasa kerohanian dan legitimasi perlembagaan bukanlah alat politik untuk dipermainkan.

Menambahkan lagi kejelasan undang-undang, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengesahkan secara rasmi bahawa exco dan menteri besar tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang untuk menyingkirkan Yang Dipertuan Besar secara unilateral, serta mengisytiharkan tindakan mereka terbatal sepenuhnya dan tidak berperlembagaan.

Pendirian berwibawa itu memadamkan sebarang sisa legitimasi yang cuba direka konspirator, sekali gus menggariskan jawatan pentadbiran tidak memberi kuasa meruntuhkan kedaulatan undang-undang.

Agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan, AGC, dan institusi negeri mesti bertanya pada diri sendiri: berapa lama lagi penderhakaan yang terang-terangan ini akan dibiarkan tanpa penguatkuasaan undang-undang?

Negeri Sembilan dibina di atas undang-undang, tradisi, dan ketenteraman perlembagaan. Ia tidak boleh diserahkan kepada ahli politik yang cuba bermain sebagai pentabal raja. Penderhakaan telah dinamakan, pelaku telah didedahkan, dan keadilan mesti ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih ketika di puncak krisis ini.

Lima maut nahas pesawat jenis Cessna T206 di Colombia

Harian Metro | 17/09/2026 
 
Bogota: Presiden Colombia Abelardo de la Espriella pada Rabu mengesahkan kematian lima individu di dalam sebuah pesawat kecil yang terhempas Ahad lalu ketika dalam penerbangan dari Condoto ke Lapangan Terbang Guaymaral di sini.

"Dukacita dimaklumkan, pihak berkuasa mengesahkan semua penumpang ditemukan meninggal dunia. Ucapan takziah saya tujukan kepada keluarga, rakan-rakan dan insan tersayang dalam saat kesakitan yang amat mendalam ini," katanya di platform X, lapor Xinhua.

Pesawat Cessna T206 dengan nombor pendaftaran HK-4985 itu dilaporkan hilang di kawasan hutan Choco pada Ahad lalu dan ditemukan pada Isnin di kawasan yang sukar diakses pada ketinggian kira-kira 2,700 meter.

Tentera Udara Colombia memaklumkan helikopter UH-60 Angel membolehkan pasukan penyelamat memasuki kawasan berkenaan bagi operasi pemeriksaan dan pencarian.

Pengawal pribumi turut mengerahkan ahli mereka bagi menyokong pencarian di darat selepas kecemasan dilaporkan.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada juruterbang dan empat wanita yang juga sebahagian daripada misi kesihatan.

Terengganu: Cahaya misteri biru ‘mendarat’ di Kuala Nerus

KOSMO!
Tangkap layar rakaman cctv yang menunjukkan cahaya biru berlaku sebanyak dua kali di kawasan Kuala Nerus semalam.
PETALING JAYA – Penduduk di beberapa kawasan sekitar Kuala Nerus, termasuk Gong Badak dan Bukit Berangan, dikejutkan kemunculan cahaya berwarna biru di langit yang disusuli bunyi gegaran sebanyak dua kali awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.40 pagi, 17 September, sebelum pengalaman misteri itu tular di media sosial selepas seorang pengguna Threads berkongsi beberapa tangkap layar dan rakaman berkaitan kejadian.

Menurut perkongsian tersebut, cahaya berkenaan muncul ketika keadaan sekitar gelap dan lampu jalan dilaporkan terpadam sebelum kembali menyala kira-kira seminit kemudian.

Malah, beberapa pengguna media sosial mendakwa turut mengalami gangguan bekalan elektrik atau ‘blackout’ sebanyak dua kali dalam tempoh antara pukul 1 hingga 2 pagi.

“Betul tadi blackout dua kali, tapi dalam masa satu, dua saat je,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna mendakwa kawasan kediamannya turut mengalami gangguan pada kipas yang dikatakan berfungsi seketika sebelum terhenti dan berulang beberapa kali.

“Kipas rumah saya berhenti sekejap, lampu menyala. Agak pelik juga kejadian semalam,” ujarnya.

Perkongsian berkenaan turut memuatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) daripada seorang jiran yang memaparkan keadaan kawasan pada sekitar 1.40 pagi, dengan cahaya terang kelihatan menerangi persekitaran.

Bagaimanapun, pemilik perkongsian berkenaan menjelaskan cahaya yang dirakam CCTV kelihatan berwarna biru, berbeza dengan cahaya hijau yang didakwa dilihatnya secara langsung.

Dalam pada itu, kemunculan cahaya misteri berkenaan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan ia berpunca daripada pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meletup, selain ada yang mengaitkannya dengan fenomena meteor.

Tidak kurang juga pengguna media sosial yang mengaitkan kejadian tersebut dengan perkara mistik, namun dakwaan berkenaan masih tidak mempunyai pengesahan.

Setakat ini, punca sebenar cahaya dan bunyi gegaran yang dilaporkan penduduk Kuala Nerus itu masih belum dapat dipastikan. – KOSMO! ONLINE

Warga China ditahan cuba curi dompet penumpang dalam pesawat

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Balik Pulau: Lelaki warga China ditahan selepas dipercayai cuba mencuri dompet milik penumpang warga Indonesia ketika dalam penerbangan dari Jakarta ke negeri ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun berhubung kejadian itu hari ini.

Katanya, ketika dalam penerbangan, pengadu melihat seorang lelaki mengambil beg miliknya dari ruang simpanan di bahagian atas pesawat sebelum membuka beg berkenaan dan mengambil dompet milik pengadu.

"Pengadu sempat merakam kejadian itu sebelum memaklumkannya kepada kru pesawat.

"Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek berusia 55 tahun itu hari ini bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Anuwal berkata, tiada kehilangan atau kerugian dilaporkan dan semua barangan milik pengadu sudah diperoleh semula.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan kes.

"Sehubungan itu orang ramai dinasihati supaya sentiasa berwaspada dan memastikan barangan peribadi berada dalam keadaan selamat, khususnya ketika menggunakan pengangkutan awam," katanya lagi.

Warga asing maut terjatuh bangunan 20 tingkat

Juwan Riduan

PENAMPANG: Pekerja binaan warga asing berusia 20 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 20 bangunan dalam pembinaan di Jalan Bundusan, di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 10.40 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa lelaki sedang menjalankan kerja pembinaan di aras berkenaan sebelum terjatuh.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Patrick Duffy Francis Dicka 013-8385335 atau IPD Penampang 088-712222.

Laungan Daulat Tuanku, tangkap penderhaka bergema di KLIA

Zarrah Morden
Kira-kira 200 penyokong berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sehari selepas percubaan untuk menyingkirkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mencetuskan pertikaian undang-undang.

Sebahagian penyokong memakai kemeja-T berwarna kuning yang memaparkan ilustrasi baginda dan tulisan “Waghih-waghih Nogori sayang Tuanku Muhriz”.

Anakanda Tuanku Muhriz, Tunku Ali Redhauddin, yang berpakaian santai dan memakai topi besbol, turut hadir menemui penyokong yang berkumpul di hadapan Bilik Kenamaan lapangan terbang itu.

Tuanku Muhriz keluar dari bilik berkenaan kira-kira jam 10.50 malam dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong serta pengamal media.

Mereka kemudian menyambut baginda dengan laungan “Daulat Tuanku!”

Ketika baginda bersalaman dengan penyokong, isteri baginda Tuanku Aishah Rohani dilihat mengesat air mata.

Orang ramai mengiringi Tuanku Muhriz hingga ke sebuah kereta BMW yang menunggu sambil melaungkan “tangkap penderhaka”.

Ketika baginda berada di dalam kereta dengan tingkap diturunkan, para penyokong menyanyikan lagu kebesaran Negeri Sembilan.

Penganjur himpunan malam ini, Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Megat D Shahriman Zaharudin pada sidang media mengecam keras pihak yang menentang Tuanku Muhriz.

Menyifatkan tindakan mereka sebagai “penderhakaan”, Megat menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sewajarnya, termasuk menangkap atau memenjarakan mereka.

“Dan mereka sebenarnya telah melakukan satu, dalam Islam, dosa besar dandalam bahasa biasa, telah melakukan satu jenayah yang sangat besar.

"Jadi saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan, menangkap atau masuk ke dalam penjara apa yang patut dari segi undang-undang,” tegasnya.

Terdahulu, poster yang tersebar di media sosial menyeru orang ramai dan beberapa NGO berkumpul di tempat letak kereta aras lima Terminal 1 bagi menyambut serta menyatakan sokongan kepada baginda.

Perhimpunan menyambut Tuanku Muhriz malam ini dikatakan anjuran NGO Profans, Waris Dato Siamang Gagap, Waris Negeri Sembilan dan Pekan.

Pengamal media dan wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mula berkumpul di balai ketibaan KLIA sejak jam 7.45 malam. Penerbangan yang membawa Tuanku Muhriz difahamkan tiba di Terminal 1 KLIA pada jam 9.50 malam.

Kepulangan Tuanku Muhriz hari ini ketika pertikaian mengenai kedudukan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semakin memuncak.

Menteri Besar Ismail Lasim pada sidang media pagi tadi, mengesahkan pentadbiran negeri telah membincangkan dan memutuskan sebulat suara pada 15 September untuk menerima perisytiharan Undang Negeri Sembilan bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Katanya, setiausaha kerajaan negeri telah diarahkan meneruskan proses pewartaan perisytiharan itu mengikut peraturan sedia ada.

Exco negeri turut mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru.

Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.

Setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin berkata menurut Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, turun takhta dan pelucutan jawatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang, terletak di bawah bidang kuasa DKU.

Katanya, nasihat DKU berhubung perkara itu bersifat muktamad serta tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun.

Jabatan Peguam Negara (AGC) pula berpandangan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku pemerintah negeri adalah tidak sah.

AGC berkata menteri besar dan exco negeri tidak mempunyai kuasa sepihak untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Esok, Tuanku Muhriz dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir di Seri Menanti, Kuala Pilah.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa NGO juga dilaporkan merancang mengadakan perhimpunan solidariti untuk baginda di lokasi sama selepas solat Jumaat.