"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saifuddin, Loke dan Dzulkefly wakil PH dalam jawatankuasa bebas darurat

 Malaysiakini 

Pakatan Harapan (PH) mengemukakan nama untuk menyertai jawatankuasa bebas bagi memberikan syor kepada Yang di-Pertuan Agong berhbung pelaksanaan darurat.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Majlis Setiausaha PH hari ini, tiga nama dicadangkan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail, Anthony Loke (Seremban) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Bagaimanapun menurut kenyataan itu penyertaan wakil pembangkang ke dalam jawatankuasa bebas terbabit sama sekali tidak mengubah pendirian PH bahawa alasan-alasan yang dikemukakan perdana menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima.

"Kami serta majoriti ahli parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan parlimen perlu bersidang segera," katanya.

Menurut kenyataan Majlis Setiausaha PH itu, surat memaklumkan nama-nama tersebut dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan hari ini.

Untuk rekod Saifuddin merupakan setiausaha agung PKR, manakala Loke kini menjadi setiausaha organisasi DAP. Dzulkefly pula bekas menteri kesihatan PH dan kini dilantik sebagai pengarah strategik Amanah.

Pembentukan jawatankuasa bebas itudi perkenankan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk menjadi badan yang mencadangkan jika pelaksanaan darurat wajar ditamatkan lebih awal.

Mengikut pengisytiharan asal, darurat sekarang sepatutnya ditamatkan pada 1 Ogos, kecuali Agong berpendapat sebaliknya.

Sepanjang tempoh itu juga perlembagaan dan parlimen digantung.

Langkah tersebut mendapat kritikan pelbagai pihak dan sesetengahnya menganggap ia dibuat bagi menyelamatkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang kini tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Sebelum ini Muhyiddin memberi jaminan pilihan raya umum akan diadakan selepas jawatankuasa itu memutuskan Covid-19 pulih sepenuhnya dan ia selamat untuk dilaksanakan.

Tiada ulasan: