"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana dunia Islam hadapi Covid-19

ZIN MAHMUD

Tidak ada apa yang istimewanya bagi dunia Islam dalam menghadapi Covid-19. Mereka seperti juga negara-negara lain sedang bertungkus lumus dalam usaha untuk mengatasi wabak ini.

Cumanya sebagai sebuah negara Islam, Malaysia tentunya wajar berasa mempunyai ukhuwah dengan bahagian dunia yang penduduknya menganut agama sama, dan membawa kepada budaya dan pemikiran sama.

Walaupun diketahui dalam beragama terdapat pelbagai aliran, dan cara fikiran yang banyak juga bernatijahkan negatif.

Adalah diharapkan bahawa dengan memegang agama yang benar, Muslimin adalah umat terbaik dan mampu menjadi pemimpin bagi dunia. Tetapi malangnya harapan itu tidak terjadi.

Selepas jatuhnya Kekhalifahan Uthmaniah segala usaha untuk bangkit sebagai dunia maju dan moden telah gagal walaupun pernah satu ketika ada tempoh yang disebur sebagai era kebangkitan Islam.

Untuk mengetahui keadaan dunia Islam menghadapi Covid-19 tidaklah sukar. Senaraikan semua negara-negara Islam dan kemudian teliti apa yang mereka sedang hadap ketika wabak Covid-19 berlaku.

Tidak ada negara Islam yang boleh dikategorikan sebagai negara maju. Apa yang ada ialah negara membangun dan mundur. Ada negara Islam yang kaya tetapi mereka tidaklah maju, baik dari segi politik, ekonomi atau sosial.

Malaysia yang dianggap sebagai negara yang lebih maju dan agak berada berbanding negara-negara Islam lain juga gagal menunjukkan contoh, apatah lagi kepimpinan dalam menghadapi Covid-19.

Sebaliknya Malaysia juga bertungkus lumus dalam menghadapinya, dan belum nampak kejayaannya. Sebaliknya, krisis kesihatan di negara ini telah membawa kepada krisis ekonomi dan krisis politik.

Malah ketika mana negara-negara Islam lain sudah pun memulakan suntikan vaksin bagi mencegah Covid-19, Malaysia belum dapat melakukannya.

Buat masa ini, vaksin adalah cara terbaik untuk melawan Covid-19. Bukan perintah berkurung. Perkara ini sudah diketahui dan pun telah diumumkan sejak Covid-19 mula melanda dunia tahun lalu. Ia menjadi keutamaan dalam perlumbaan bagi mendapatkan vaksin.

Sepatutnya inilah yang menjadi keutamaan. Lagipun sudah dijadualkan bahawa vaksin akan ditemui hujung tahun lalu dan apabila masuk 2021, proses penyuntikan boleh dimulakan.

Apabila disebut mengenai vaksin, maka di kalangan orang Islam, walaupun ia merupakan suara segelintir, timbul juga suara-suara penentangan.

Bentuk penentangan ini ada tiga jenis. Pertama, ia datang dari golongan yang mempersoalkan bahawa vaksin itu tidak jelas halalnya. Kedua, golongan yang sememangnya dari awal bersikap anti-vaksin. Mereka menolak vaksin bukan saja terhadap Covid-19 tetapi apa jua bentuk pelalian.

Ketiga, golongan yang gemar terhadap teori konspirasi dan menganggap vaksin ini adalah agenda Yahudi hendak menguasai manusia khususnya umat Islam.

Untuk menjawab tiga golongan ini, ia perlu satu tulisan berasingan. Tetapi apa yang hendak disebut di sini ialah fenomena ini bukan saja berlaku di kalangan umat Islam, iaitu termasuk Malaysia dan Indonesia.

Isu ini juga timbul di kalangan orang Kristian, malah orang Yahudi.juga. Soal halal tentulah tidak timbul di kalangan orang Kristian.

Tetapi golongan anti vaksin memang wujud di Amerika Syarikat. Sementara di Israel, ada orang Yahudi yang juga percaya bahawa Covid-19 adalah konspirasi orang Islam untuk menghapuskan mereka dan menakluki dunia.

Bagi mengatasi golongan ini, caranya ialah meningkatkan mutu pendidikan di negara-negara Islam.

Bukan saja pendidikan formal tetapi juga pendidikan awam. Bukan saja pendidikan agama tetapi juga pendidikan sains an cara hidup moden.

Kejahilan membawa kepada fikiran-fikiran ekstrem yag tidak berpijak pada realiti. Dalam bidang agama, ia juga harus meliputi ruang lingkup luas termasuk Maqasid Syariah.

Perlu diakui pendidikan di negara-negara Islam jauh ketinggalan. Malaysia adalah antara negara yang terkehadapan dalam bidang pendidikan di kalangan negara-negara islam. Itupun dalam masyarakat Malaysia, fikiran karut-marut terus wujud.

Pendidikan juga tidak menjamin bahawa masyarakat akan berfikiran rasional. Sifat manusia yang mempunyai pelbagai pandangan akan terus ada.

Lihatlah Amerika dan Eropah, Dalam mana pendiikan mereka telah maju, terus wujud anggota masyarakat yang ekstrem dan tidak rasional. Ia adalah sebahagian daripada ciri masyarakat demokratik.

Tetapi sekurang-kurangnya ia merupakan anasir pinggiran dan bukannya arus perdana.

Dalam menghadapi Covid-19, sememangnya diharapkan bahawa dunia Islam berada di depan dan negara-negara Muslim berada pada tahap kemajuan.

Selepas Perang Dunia Kedua, iaitu sekitar tahun 1950 hinggalah 2020, iaitu 70 tahun, ia merupakan suatu jangka masa yang cukup untuk maju. Iaitu selepas mencapai kemerdekaan hingga ke hari ini.

Lebih-lebih lagi ada negara Islam seperti Turki, Iran, Mesir, Iraq, Syria dan Arab Saudi yang bermula lebih awal lagi iaitu selepas Perang Dunia Pertama untuj menggapai kemajuan. Tetapi perkara itu tidak berlaku.

Banyak faktor yang menjadikan keadaan demikian, antaranya ialah cara orang Islam mengamal agamanya.

Dalam membangun vaksin melawan Covid-19, ia datang dari Eropah, Amerika, Israel, Rusia, China dan Jepun. Tiada dari negara Islam walaupun ada berita menyatakan Iran turut membangun vaksin itu.

Di belakang vaksin utama yang dibangun Pfizer adalah pasangan saintis asal Turki. Tetapi mereka bekerja di Jerman. Orang Islam juga mempunyai keupayaan tetapi persekitarannya tidak menggalakkannya.

Dalam menghadapi Covid-19, Arab Saudi bertindak cekap dan tegas. Baru-baru ini apabila timbul varian baharu Covid-19 dari United Kingdom, mereka terus tutup sempadan. Arab Saudi adalah antara negara awal yang mengambil vaksin.

Maka disiarkanlah berita ulama asal Mauritania, Abdullah bin Bayyah dari King Abdul Aziz University, Jeddah disuntik vaksin itu. Beliau pakar fiqh empat mazhab Sunnah wal jamaah dan pendukung ajaran Sufi.

Begitu juga Indonesia adalah antara negara awal yang memperoleh vaksin dengan menunjukkan Presiden Joko Widodo disuntik di bawah poster halal dan selamat. Di Turki, ribuan petugas barisan hadapan juga telah disuntik.

Tetapi malang pula bagi rakyat Palestin. Mereka dinafikan suntikan vaksin walaupun Israel menduduki wilayah itu. Israel yang membangun vaksin sendiri merancang untuk menyuntik semua warga negaranya termasuk orang Arab yang menjadi warga negara mereka.

Dalam satu laporan awal Nigeria yang berpenduduk majoriti Islam pula menolak tawaran Gates Foundation yang mahu membiayai vaksin melawan Covid-19 ke negara itu. Mereka termakan dengan teori konspirasi yang mendakwa Bill Gates yang merancang wabak ini untuk menguasai dunia.

Sebaliknya Nigeria mendakwa mereka sudah membangun vaksin sendiri dengan menggunakan herba tempatan. Tetapi Nigeria ditadbir oleh kerajaan yang tidak berwibawa.

Ada pihak mencurigai Gates, syarikat-syarikat besar farmasi atau Big Pharma dan sistem kapitalis itu sendiri. Tetapi realitinya dunia hidup dalam sistem itu, beserta dengan amalan demokrasi, sains dan teknologi.

Sistem itu boleh dikaji dan diusahakan untuk diperbaiki. Tetapi ketika menghadapi wabak, seperti waktu ini, ia bukan masanya untuk mempertikaikan sistem. Keutamaaan adalah menyelesaikan dahulu masalah wabak.

Malaysia hanya dapat mula suntikan vaksin itu pada Mac ini. Berbanding dengan negara lain, itu dikira lambat. Rakyat Malaysia terpaksa melalui perintah kawalan pergerakan untuk bulan Januari dan mungkin Februari.

Untuk itu, banyak orang kehilangan pendapatan dan pekerjaan.

Akhirnya, Malaysia yang pada satu masa boleh dijadikan contoh negara Islam yang maju, moden dan demokratik, kini dilihat sudah ketinggalan.

ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.

Tiada ulasan: