"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hapus hutang, tapi peneroka didakwa kena serah kebun kepada Felda?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Minggu lalu, kerajaan secara dasar telah bersetuju dengan cadangan FELDA untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dalam kenyataannya sempena Hari Peneroka Felda 2021 berkata, pelupusan itu akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.

Bagaimanapun tidak diketahui apa syarat perjanjian yang ditetapkan untuk ditandatangani warga peneroka Felda.

Di Facebook, seorang pengguna akaun bernama Pakcik Kacak mendakwa keputusan kerajaan itu satu percaturan yang mempermainkan warga peneroka.

Menerusi satu keratan surat yang disertakan di akaun Facebook berkenaan, surat itu menyatakan bahawa peneroka perlu menyerahkan pengurusan kebun mereka kepada Felda sebagai balasan penghapusan pinjaman tersebut.

“Sebagai balasan terhadap penghapusan pinjaman tersebut, peneroka bersetuju untuk menyerahkan pengurusan kebun peneroka di tanah rancangan untuk diuruskan oleh Felda bermula daripada tarikh perjanjian itu,” tulis surat itu.

Sebahagian syarat yang dikenakan

“Bagus punya game (permainan) kerajaan. Hapuskan hutang peneroka Felda tapi peneroka kena serahkan kebun mereka kepada Felda.

“Macam manalah rakyat tak tuduh Melayu kencing Melayu,” tulis pengguna Pakcik Kacak itu.

Terdahulu, Mantan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Datuk Mazlan Aliman mendedahkan terma perjanjian antara Felda dengan peneroka yang dianggap berat sebelah.

Katanya, Penyata Penghapusan hutang yang mengelirukan atau tidak menggambarkan jumlah sebenar hutang peneroka.

Mazlan berkata, tempoh 14 hari yang terlalu singkat, apatah lagi di waktu covid 19, waris (Generasi Baharu Felda) berhadapan dengan kekangan rentas negeri dan daerah untuk berbincang dengan bapa atau adik beradik.

“Saya merayu kepada pengurusan tertinggi Felda agar tempoh 14 hari yang diberikan hendaklah dilanjutkan kepada suatu tempoh yang lebih munasabah.

“Juga, penglibatan Ngo-Ngo Felda agar pindaan terhadap terma perjanjian dapat dibuat.

“Saya telah mendapatkan kerjasama dari pengamal undang-undang yang biasa terlibat dengan kes peneroka, untuk membuat semakan. Input awal akan diperolehi tidak lama lagi,” katanya yang dihubungi ramai peneroka dan waris Generasi Baharu Felda mengenai beberapa isu berkaitan.

Pada 7 Julai lalu, Mahiaddin berkata pelupusan sebahagian hutang peneroka itu akan memudah cara proses penjanaan semula atau ‘restart’ FELDA, bagi mengembalikan kedudukannya sebagai sebuah syarikat perladangan terulung dunia.

Beliau juga amat berharap dengan perjanjian baharu yang akan ditandatangani oleh peneroka dengan Felda di bawah inisiatif pelarasan pinjaman bersyarat itu menjadikan warga peneroka akan lebih komited dalam memenuhi segala terma yang dipersetujui kelak.

Tiada ulasan: